Kasih Seharum Lavender – Bab 3

Posted by Unknown on 17 September 2011. Filed under: ,


HARI yang dinanti tiba jua. Tidak sabar-sabar aku menanti orangnya. Dan, untuk menyambut kedatangan orang baru, semalam seharian aku mengemas bilik. Meletakkan barang-barangku di sebelah dan memberikan ruang untuk bakal teman baruku itu nanti. Excited habis!

Ring!!!! Ring!!!!

Loceng rumah berbunyi dengan nyaring.

Sebelum sempat aku melangkah ke arah pintu, kelihatan Fariza sudah di hadapan pintu. Yang lain tiada d irumah. Hanya tinggal aku dan Fariza. Kata mereka, ada kerja yang perlu dilakukan. Aku tidak berapa pasti jenis kerja yang dimaksudkan itu. Mungkin ke perpustakaan membuat research agaknya.

“Masuklah.” Kedengaran Fariza menjemput si dia masuk. Pintu utama ditolak ke tepi. Seraut wajah menyapa.

Hampir tercabut jantungku tatkala melihat wajahnya. Tergamam. Terkaku. Terkedu. Aku menelan air liurku berkali-kali.

Biar benar! Takkanlah dia? Katakan ini hanya satu mimpi bukan realiti.

Aku mencubit lenganku. Sakit! Benarlah ini realiti. Tapi, kenapa mesti dia? Kali pertama jumpa pun, sudah berangin satu badan. Kalau satu bilik, mahu meletup agaknya bilik itu nanti. Oh, takutnya aku membayangkan hidup kami kelak.

Miss Snooty! Bakal roommateku! Berkali-kali ayat itu berlegar-legar di ruang kepala. Sukar otakku memproses input yang disampaikan.

“Jemput. Jemput,” Suara Fariza mematikan segala ingatan yang berlegar di fikiran.

Di saat mata Miss Snooty bertaut dengan mataku, dapat kubaca riak wajahnya. Jelas dia juga terkejut seperti aku. Tentu dia pun tidak menyangka yang kami akan tinggal serumah.

Itu baru serumah, Miss Snooty. Kau belum tahu lagi yang kita bakal tinggal sebilik! Desis hatiku sinis.

Perlahan-lahan Miss Snooty melangkah masuk sambil membimbit beg pakaiannya. Lagaknya seperti wanita sopan yang penuh dengan kelembutan dan keayuan. Amat berbeza sekali dengan kelakuannya sewaktu pertama kali kami bertemu. Nak termuntah pula aku menengoknya.

“Duduklah. Saya, Fariza, dan yang ni roommate awak, Hani.” Fariza memperkenalkan dirinya dan diriku. Aku memandang Miss Snooty sekilas sebelum melarikan pandangan ke arah lain. Tidak kuasa hendak menilik wajahnya lama-lama.

“Nurul Adlynn.” Jawabnya sepatah. Heh, jawab pun macam hendak tidak hendak saja! Rungutku dalam hati.

“Eh, Hani. Bawaklah dia ke bilik kau. Simpan barang dia. Takkan kau nak suruh dia ‘parking’ kat sini.”

Aku mula terasa gundah dengan permintaan Fariza. Kenapalah tiba-tiba saja dia ‘ter’ramah mesra ni? Apa kata, kalau dibiarkan aje Miss Snooty duduk kat sini, hinggalah salah seorang kakakku balik? Lepas itu, boleh suruh diaorang tunjukkan Miss Snooty di mana biliknya. Idea jahat tercetus di fikiranku.

Apa kata aku suruh saja Fariza yang tunjukkan bilik pada dia. Idea bernas muncul tiba-tiba. Menghalang idea jahat dari terjadi. Aku bersyukur! Sekurang-kurangnya, aku masih lagi mempunyai sifat perikemanusiaan pada insan yang pernah dan masih mendapat tempat di dalam kawah berapi hatiku ini.

“Kaulah yang bawak,” Ujarku pada Fariza dengan wajah kelat. Beriak mukanya mendengar jawapan balasku.

“Apa pulak… Kan dia roommate kau. Kaulah yang bawak.” Fariza menyanggah.

Saat itu juga, aku menjeling Miss Snooty dengan ekor mata dengan tujuan ingin melihat reaksinya.

Dia benar-benar tersentak. Matanya terpaku pada Fariza. Lama. Langsung tidak berkelip kelopak matanya itu. Dan dari air mukanya, dapat aku baca yang dia juga tidak selesa dengan situasi kami.

She really didn’t believe her ears, gumamku. And she’s squirming in her seat! Kesian. Pada dia dan pada aku jua.

“Lagipun, kau dengan dia boleh berkenalan nanti,” tambah Fariza. Dengan selambanya, dia duduk kembali di atas sofa. Membuktikan padaku keputusannya muktamad. Tidak boleh tidak, terpaksa dituruti.

“Habis, kau tak payah berkenalan?” soalku. Lama aku merenung wajah Fariza yang sedang enak -enak duduk bersantai di atas sofa.

“Aku bila-bila masa pun tak apa. Kau tu nak share bilik dengan dia. Patutnya kau yang harus kenal dia terlebih dahulu.”

Ini yang membuatkan aku lemah segala sendi. Rasa seperti hendak demam pun ada. Teringin ke aku hendak berkenalan dengan dia? Aku seperti tidak yakin.

Share bilik… mampuslah aku nak hidup sebilik dengan dia. Mampu ke? Bingung. Pening. Aku rasa seperti nak pengsan.

Dalam keterpaksaan yang teramat, aku bergegas jua ke bilikku. Pantas aku berjalan mendahuluinya. Sedikit pun aku tidak mengajak Miss Snooty. Fariza pula yang terpaksa menyuruh dia menurut jejak langkahku.

Sepanjang perjalanan ke bilik, sepatah perkataan langsung tidak terluah antara kami. Masing-masing membisu.

Daun pintu bilik kutolak perlahan. Lynn a.k.a Miss Snooty mengikut masuk dari belakang.

“Katil awak yang tu…,” Ujarku sambil mengunjukkan arah pada katil yang terletak di sebelah kanan bilik.

Miss Snooty melangkah ke arah katilnya. Dengan susah payah, diangkat beg pakaiannya dan diletakkan di atas katil.

Huh, beg berat macam isi batu! Tapi, tak akan satu itu saja beg dia? Nak tanya pada dia? Aku rasa kalau aku baru nak buka mulut, terus terbakar bilik ni akibat aura kepanasan dari dalam badanku.

“Saya keluar dulu,” Aku bersuara dan meninggalkan dia di situ keseorangan. Rimas! Tak sanggup nak berlama-lama di situ.

* * *

SUASANA malam riuh dengan suara kakak-kakakku, Fariza dan Miss Snooty. Kebanyakan isi perbincangan tertumpu pada perihal Si Miss Snooty. Sementara aku pula, berpura-pura khusyuk membaca buku sedangkan dalam diam aku memerhati dan mendengar setiap perbualan mereka. Nampaknya, Miss Snooty seronok benar menjadi perhatian. Senyuman dan tawa tidak pernah lekang dari bibirnya.

“Hani, sudah-sudahlah baca buku tu. Tak nak join kitaorang ke?” Tanya Kak Syima tiba-tiba. Yang lain berpaling memandangku. Tiba-tiba sahaja, aku menjadi perhatian mereka. Terasa diri bagaikan berdiri di atas pentas lakonan dan cahaya lampu spotlight dihalakan kepadaku seorang. Sememangnya kan aku berlakon dari tadi. Detik hatiku.

“Gigih konon, Hani. Exam lambat lagi. Semester baru nak mula.” Tambah Kak Ayu sambil menggelengkan kepalanya.

“Membaca tak semestinya untuk exam semata Kak Ayu. Hani baca sebagai preparation untuk lecture esok.” Balasku sambil mata masih tertumpu pada buku ditangan. Pura-pura membaca. Padahal apa yang aku baca pun aku tidak tahu. Asyik mengulang baris yang sama lima atau enam kali.

“Dia kan nak jadi top student , Kak Ayu.” Tiba-tiba Miss Snooty menyampuk. Aik, budak ni… sibuk aje. Nak cari pasal ke? Nada macam nak perli aku.

Pap! Aku menutup buku di tangan. Pandangan dihalakan kepada mereka.

Sejak meninggalkan Miss Snooty keseorangan di bilik siang tadi, aku langsung tidak masuk ke bilik. Sehinggalah dia keluar dari situ. Ayat ‘saya keluar dulu’ menjadi ayat terakhir di antara kami.

“Memang pun… At least Hani ada impian dan matlamat, kan Kak Ayu?” Soalku pada Kak Ayu. Senyuman yang paling manis kuukirkan buat kakakku itu. Dalam masa yang sama, aku cuba mengawal hatiku ini yang sudah sedikit ber‘angin’ ketika mendengar kata-kata Miss Snooty tadi. Sekilas aku menjelingnya.

“Impian... Entah-entah angan-angan Mat Jenin. Saja nak tunjuk rajin kat sini.” Miss Snooty berkata perlahan. Malangnya telinga lintahku ini sempat menangkap bait-bait katanya itu. Aku merenungnya tajam.

“Ada orang jealous… Hani nak jadi top student,” Balasku. Sedikit keras nada suara yang keluar.

“Tak kuasa nak jealous… buang masa. Macam awak tu pandai sangat,” Balasnya tajam. Matanya tidak dihalakan padaku.

“Memang pun saya pandai. Kalau dah bodoh macam Pak Pandir tu, takkan saya ada kat sini? Sia-sia awak datang belajar di sini kalau itu pun awak tak tahu,” Balasku selamba. Bibirku mengukir senyuman sinis.

Mencerlang matanya merenungku setelah kata-kataku singgah ke telinganya. Aku buat-buat tidak nampak. Membuka kembali buku yang ditutup tadi.

Suasana sunyi-sepi seketika. Tiada sesiapa yang berkata-kata.

“Memanglah… Kalau awak bodoh macam Pak Pandir dah tentulah awak tak ada di UK ni…” Ujarnya seperti berjenaka. Senyuman palsu melekat di wajahnya.

“Bodoh macam Pak Pandir. Kuat berangan macam Mat Jenin…” Dialunkan dua baris ayat itu. Sinis sekali bunyinya. Seperti ditujukan padaku!

Serta-merta, hatiku yang sedikit berangin tadi, menjadi bertambah-tambah berangin.

Geramnya! Berani sungguh minah ni mencari pasal. Ringan aje tangan aku ni nak ‘membelai’ kulitnya yang mulus tu…

Rasa marah mengasakku dan membuatkan aku terasa hendak berbuat sesuatu yang mungkin akan memanaskan lagi keadaan kami. Namun, tahap kesabaran yang masih meninggi mendesak aku agar terus bertahan. Nyata, tahap kewarasan aku masih ada. Oleh itu, aku tidak akan mencemarkan tapak tanganku ini dengan menyentuh dia.

Sabar, Hani, sabar! Sabar itu sebahagian daripada iman!! Berkali-kali perkataan itu aku nyanyikan di ruang mindaku. Menjadi ubat penyejuk hatiku.

Aku sempat menangkap sorotan mata Kak Ayu padaku sebelum matanya dialihkan ke wajah Miss Snooty. Kak Syima, Kak Suzi serta Fariza juga memandang kami berdua silih berganti. Seolah-olah mereka dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena di antara kami. Air muka masing-masing serius menunjukkan mereka tidak suka dengan situasi ini. Aku mula terasa tidak selesa.

Sebelum ruang tamu ini berbahang, lebih baik aku angkat kaki. Tidak guna menghabiskan air liur bertekak mengenai benda-benda begini. Buang masa aku saja. Buat sakit telinga. Buat sakit mata. Buat sakit tekak. Buat sakit hati. Buat sakit jiwa.

“Hani nak membaca dalam biliklah. Kat sini, tak boleh concentrate. Telinga Hani ni asyik terdengar bunyi bluebottle. Bingit!” Ujarku tiba-tiba. Malas nak menunggu lagi.

Bluebottle?” Penuh kehairanan Kak Suzi bertanya. “Tapi, akak tak dengar apa-apa pun.”

“Mana nak dengar. Akak, Fariza dan ‘Lynn’ asyik bersembang dari tadi. Tak perasan agaknya. Hani dengarlah sebab minda Hani was trying to concentrate.” Balasku selamba. Sebuah senyuman sinis kuhadiahkan ikhlas buat Miss Snooty seorang. Teman sebilikku yang paling aku ‘sayang’.

Aku meninggalkan mereka berempat di ruang tamu. Melangkah ke bilikku yang berdekatan dengan dapur.

Di dalam bilik, aku menyalakan lilin aromaterapi. Haruman lavender mengisi ruang yang sepi dan gelap. Sengaja aku tidak membuka lampu. Lavender sememangnya menjadi pilihanku kerana kelembutan harumannya dapat memberikan ketenangan.

Aku merenung siling sambil berbaring di atas katil.

Macam mana nak survive hidup dengan minah itu? Dan, mengelakkan kejadian tadi dari berulang? Teman serumah lain jelas tidak berapa suka menonton ‘drama’ yang berlaku tadi.

Mulai hari ini, aku akan cuba mengelakkan diri dari Miss Snooty. Mungkin itulah cara yang terbaik.

No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 3

Leave a Reply