Kasih Seharum Lavender – Bab 6

Posted by Unknown on 24 September 2011. Filed under: ,


KEESOKAN harinya, Miss Snooty demam secara mengejut. Badannya panas. Seisi rumah risau dan bimbang dengan keadaannya. Puas diajak ke klinik, tapi dia menolak. Ayat lazim keluar dari mulutnya - lepas makan ubat, sihatlah. Walau makan ubat pun, tapi perlu juga diperiksa oleh doktor. Takut penyakit lain menimpa.Begitu pun, siapalah aku hendak memaksanya.

Aku menjengukkan kepala di dapur. Kelihatan Kak Syima dan Kak Ayu sedang sibuk menyiapkan makanan tengahari. Hari ini, tugas mereka berdua memasak. Kebiasaannya, kami akan masak hanya pada hari minggu sahaja. Hari-hari lain kami terlalu sibuk dengan kuliah dan assignment yang bertimbun-timbun.

Perlahan-lahan aku merapati mereka. Di atas meja makan, telah tersusun pinggan dan cawan. Cuma makanan yang belum terhidang.

Fikiran aku kembali memikirkan tentang hubunganku dengan Miss Snooty. Patutkah aku meminta maaf darinya? Kejadian yang berlaku semalam, sah-sah salahku. Aku yang sengaja merancang. Dari detik aku mengusulkan penceritaan kisah seram hinggalah ke saat Miss Snooty melangkah masuk ke bilik. Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?

Besar sangatkah dosanya padaku sehingga aku tergamak membuatkan dia terlantar sakit begitu? Tidak pernah aku duga proses membalas dendam akan jadi begini. Anggapanku, dia pasti akan terkejut lalu menjerit. Setakat itu saja. Berpikul-pikul perasaan bersalah menimpa diri.

Sentuhan seseorang di bahu membawa aku ke alam nyata semula.

“Huh?” Itu yang terkeluar dari mulutku. Nampak sangat fikiranku terawang-awang sebentar tadi. Kak Ayu dan Kak Syima saling berpandangan. Pelik dengan perangaiku.

“Akak tanya, dah lapar ke?” Kak Ayu bersuara. Tangannya lincah mengacau kuah kari di atas dapur.

“Ingatkan apa tadi, Kak Ayu tanya pun tak dengar?” Soal Kak Syima padaku. Jawapan apa yang perlu aku beri? Pening-pening. Baik diamkan diri, fikirku.

Makanan yang telah siap dimasak, dihidangkan di atas meja. Kemudian mereka menarik kerusi lalu duduk. Tanganku ditarik oleh Kak Syima sebagai isyarat untuk aku turut duduk di situ. Dalam serba-salah, aku turuti jua. Aku dapat agak topik apa yang ingin mereka bincangkan.

“Akak tengok dari pagi tadi Hani seperti orang bermasalah. Asyik mundar-mandir, kenapa? Ada sesuatu yang menganggu fikiran Hani ke?” Duga Kak Syima. Matanya memandang tepat ke wajahku.

Aku jadi gelisah dipandang begitu. Serba-salah aku dibuatnya. Aku berkira-kira samada hendak berterus-terang tentang hubunganku dengan Miss Snooty atau tidak. Juga tentang apa yang telah aku lakukan padanya semalam. Buntu fikiranku.

“Hani, kat sini kita tak ada family, saudara-mara atau kawan-kawan lain yang boleh bantu dan jaga kita. We only have each other. Kalau ada problem, ceritakan. Jangan simpan seorang. Insya-Allah, kalau akak boleh tolong, akak akan tolong.” Lembut suara Kak Ayu menusuk masuk ke pendengaranku. Alas meja makan di hadapan, kurenung lama. Masih lagi aku berfikir.

Kedengaran Kak Syima mengeluh perlahan. Barangkali pening memikirkan sikapku yang berdiam diri.

“Kalau Hani tak nak cerita, tak apalah. Akak tak paksa. Cuma akak harap, apa jua masalah Hani, settle kan baik-baik,” Tambah Kak Ayu lalu bingkas berdiri.

“Kak Ayu…,” Panggilku sambil memegang lengannya. Menghalang dia dari pergi. Aku sudah membuat keputusan untuk menceritakan segala-galanya tentang aku dan Miss Snooty.

Lantas aku ceritakan saat pertemuan pertama aku dengan Miss Snooty, kejadian di kafeteria universiti, hadiah sebotol lalat yang aku terima dan kejadian semalam.

Kedua-duanya menggeleng kepala sambil mengucap panjang setelah aku selesai bercerita. Seakan susah untuk mereka mempercayainya. Teruk sangat ke perangaiku? Buat pasal sampai demam-demam anak orang. Memang tidak sedar diri sungguh aku ni.

“ Masa malam Hani dan Lynn saling perli-memerli, Akak dah syak ada sesuatu yang tak kena dengan kau orang berdua. Tapi, Akak tengok dua tiga hari lepas tu, okey aje. Dah tak ada sesi macam tu lagi.” Kak Syima memberi komen.

Mana tidaknya, aku dan Miss Snooty tidak pernah berbalah. Apa sahaja yang kami rasa kami simpan di dalam hati masing-masing. Untuk menunjukkan rasa tidak puas hati atau nak membalas dendam, kami buat secara senyap-senyap. Dia dengan botol lalatnya dan aku dengan telekungku.

Kak Ayu menambah, “Akak tak nak salahkan sesiapa. Bagi Akak, dua-dua salah. Seperti yang Akak cakap tadi, hidup di negara orang, hanya kawan tempat kita bergantung harap. Seharusnya kita saling bekerjasama, tolong-menolong, merapatkan silaturrahim antara kita. Bukannya bergaduh dan bertengkar. Esok-esok kalau Akak, Kak Syima, Kak Suzi dan Fariza tak ada di sini, tiba-tiba Hani sakit, nak mintak tolong pada siapa?”

Pandanganku ditundukkan ke bawah. Melihat jari-jemariku yang berada di bawah meja. Tidak berani aku hendak memandang wajah salah seorang dari mereka. Apa yang dikatakan itu benar belaka. Hanya kerana peristiwa kecil yang sepatutnya dilupakan, kami telah memperbesar-besarkannya. Itulah padahnya kalau terlalu menurut nafsu amarah. Bak kata orang, ikut hati mati, ikut nafsu binasa. Kesal menyelubungi hati.

“Hani pernah dengarkan sabda Rasulullah – Tidaklah beriman seseorang di antaramu hingga ia menyintai saudaranya sebagaimana ia menyintai dirinya sendiri? Agama sendiri menggalakkan kita mengeratkan ukhwah sesama kita. Jika semua umat Islam bergaduh hanya disebabkan perkara remeh-temeh, bagaimana kita nak bersatu? Hani suka kalau kita bergaduh sesama sendiri?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Kak Syima.

Terdiam aku di situ.

“Lynn kan roommate Hani, kau orang tinggal dalam satu bilik, takkan selama-lamanya nak macam ni? Tak bertegur sapa? Berdosa Hani kalau kita tak bertegur sapa lebih dari tiga hari,” Tokok Kak Ayu pula.

“Hani, fikirkanlah. Hani dah besar, dah boleh fikir sendiri. Dah kenal yang mana baik dan yang mana buruk. Bukannya budak kecil yang masih perlu diasuh.”

Nasihat Kak Ayu dan Kak Syima meresap jauh ke sanubari. Aku benar-benar rasa bersalah terhadap Lynn. Akan kupohon kemaafan darinya. Dan , harapan aku moga-moga dia sudi memaafkan kesalahanku.

“Memang dalam perkara ni, Hani yang bersalah. Hani dah sedar dan Hani akan minta maaf pada Lynn. Mulai hari ini, Hani akan berbaik-baik dengan Lynn,” Janjiku bersungguh-sungguh.

Senyuman puas hati dan perasaan lega terukir di kedua-dua wajah kakakku itu. Gembira dengan janji yang aku lafazkan tadi. Hatiku turut berasa lega.

“Biar Hani bawakan lunch Lynn ke bilik.” Aku menawarkan diri. Sebagai langkah pertama membina semula hubungan aku dan dia.

Pintu bilik dikuak perlahan. Wajahku terjengah ke dalam. Masih lena rupanya dia.

Dengan dulang di tangan, aku melangkah menghampiri katil Lynn. Asyiknya dia tidur. Tidak sampai hati aku hendak gerakkan dia bangun untuk makan. Dalam masa yang sama, aku bimbang reaksinya nanti jika dilihatnya aku berada di sini membawa makanan untuknya. Mahukah dia menjamah makanan itu?

Kelopak matanya terbuka perlahan-lahan. Tahukah dia, aku berada di sini? Matanya yang terbuka sedikit, dijegilkan seluas-luasnya. Aku tahu dia tidak percaya aku berdiri di sisi katil sambil memegang dulang berisi makanan.

Lunch,” Ujarku seraya menghadiahkan sebuah senyuman buatnya. Dia memejamkan matanya kembali. Dan, sesaat kemudian dibukanya semula.

Tidak payahlah nak pejam mata dua tiga kali, Lynn, aku bukannya hantu. Hatiku berkata.

“Bangunlah, makan. Perut tu mesti lapar kan?” Lembut suaraku memujuknya.

Kerusi meja study aku tarik dan aku duduk mengadapnya. Sorotan anak matanya merenungku dengan pandangan ragu-ragu. Takut aku mengenakan dia lagi agaknya. Aku ikhlas membawakan makanan. Mana tahu, ada peluang untuk aku memulihkan hubungan kami yang semakin dingin.

“Kak Syima dan Kak Ayu masakkan bubur nasi untuk awak. Makanlah,” Pujukku lagi.

Sedikit pun dia tak berganjak. Bangun pun tidak. Bersuara apatah lagi. Ligat otakku memikirkan cara untuk memujuknya. Bab pujuk-memujuk, aku bukannya pandai sangat.

Lynn memalingkan wajah dariku. Selimut yang menutupi tubuhnya ditarik ke paras dada. Adakah kesejukannya itu disebabkan kehadiranku atau dia sememangnya dalam kesejukan?

“Apa motif awak bawakkan makanan untuk saya?” Keluar juga suaranya. Walaupun nadanya menyoal penuh kedinginan. Aku tidak kisah janji dia mahu bercakap. Tidaklah seperti aku bercakap dengan dinding.

“Tak ada motif. Saya ikhlas.”

“Pasal telekung semalam… awak sengaja, kan?” Soalnya lagi. Tetap dengan nada dingin seperti tadi.

Aku kehilangan kata-kata. Dia terlebih dahulu bertanya sebelum sempat aku menerangkan segala-galanya.

“Emm… sa…sa.. ya…” Tergagap-gagap aku mencari kata-kata yang sesuai. Tiada satu pun ayat atau perkataan yang muncul di benak. Dan rasa gementar mula menyerang tubuh.

“Tak payah nak berdalih. Saya tahu itu semua rancangan awak nak kenakan saya.” Dia mendengus kasar. Wajahnya menjadi terlalu serius. Sehinggakan aku hampir kehilangan kekuatan untuk berterus-terang.

Namun, aku kuatkan semangat melawan rasa gementar yang melanda tubuhku. Aku perlu menyatakan hal yang sebenar sekaligus memohon kemaafan darinya. Tentang salahnya padaku, aku sudah lupakan. Biarlah aku yang mengalah. Lagipun kesalahan aku padanya lebih besar jika nak dibandingkan dengan salahnya padaku.

“Saya bukan nak berdalih. Saya mengaku… kejadian semalam, saya dah rancang awal-awal. Dan sebab itu, saya nak mintak maaf pada awak.” Perlahan aku bersuara. “Sebenarnya saya sakit hati, marah bila awak kenakan saya minggu lepas. Saya tahu awak yang suruh kawan awak bagi lalat tu pada saya. Tapi sekarang, saya tak nak ungkit pasal tu lagi. Saya dah maafkan awak.”

“Senangnya awak nak minta maaf. Setelah hampir separuh mati awak kenakan saya semalam.” Dia membalas diiringi ketawa sinis.
Separuh mati saja? Hampir-hampir ayat itu aku luahkan. Geram apabila dia terus-terusan mengungkit kisah itu walhal aku sudah mengaku salah dan memohon maaf. Hati… sabarlah kau.

Kenapa susah sangat dia nak cakap ‘saya maafkan awak’? Berhati batukah dia? Mahal sangatkah perkataan maaf padanya? Atau dia tidak tahu nak menyebutnya? Kalau itulah masalahnya, dengan rela hati aku sudi mengajarnya erti sebuah kemaafan. Bukannya susah pun.

“Sekali lagi saya nak beritahu awak, saya dah sedar kesalahan saya. Tak sepatutnya saya membalas apa yang awak buat pada saya dengan cara begitu. Tapi saya memang tidak menyangka, akibat perbuatan saya, awak akan sakit begini. Saya benar-benar minta maaf,” Tuturku bersungguh-sungguh.

Nasib dia baik kerana aku tidak mahu mengungkit perbuatannya padaku. Jelas dia yang melakukannya kerana dia sedikit pun tidak menyangkal tuduhanku sebentar tadi. Tiada guna aku berbuat begitu, tidak ke mana perginya. Cukuplah setakat ini persengketaan kami. Aku tidak mahu mencari pasal. Bukan sebulan dua aku akan bersama dengannya tapi dua tahun lebih lagi.

Lynn hanya berdiam diri. Sepatah pun tidak menjawab. Dan, aku masih setia menanti dia berkata sesuatu.

Satu minit. Dua minit. Tiga minit. Malas aku nak menunggu lebih lama apabila dia tetap mendiamkan diri. Hendak mendengar dia menyatakan kemaafan amat payah. Bagaikan menanti buah yang tak gugur.

Dulang yang aku pangku, kuletakkan di atas kerusi. Sebelum melangkah keluar, aku berkata padanya,“Terpulanglah pada awak nak maafkan kesalahan saya atau tak. Itu hak awak. Tapi saya nak awak tahu. Semua kesalahan awak saya dah maafkan. Niat saya ikhlas. Kalau boleh, saya tak nak kita bergaduh dan bermasam muka lagi.” Dan aku berlalu pergi meninggalkan dia.

*  *  *

SELESAI makan tengahari, aku menjejakkan kaki ke park. Tempat yang bisa memberikan kedamaian dan ketenangan pada jiwaku. Kerusi yang sama menjadi pilihan. Sebenarnya aku rimas jika berada terlalu lama di rumah. Hatiku tidak tenang. Berserabut.

Di sini, bunyi desiran angin yang berpuput lembut dan berlagu indah seakan-akan memulihkan jiwa dan perasaanku yang sedang ‘sakit’. Sungguh merdu dan enak di dengar. Aku tenang berada di sini.

Aku melarikan anak mata ke sekeliling. Menebarkan pandangan pada insan-insan lain yang turut berkongsi park ini denganku. Macam-macam ragam dan kerenah yang boleh dilihat. Tanpa sedar, senyuman kecil terukir di bibirku.

Adakalanya, aku gemar memerhatikan gelagat manusia yang pelbagai ragam. Dari ekspresi wajah dan lenggok badan mereka, aku dapat mengagak perasaan mereka di kala itu. Kalau muka masam mencuka sudah semestinya orang itu berada dalam keadaan marah atau tidak puas hati. Dan kalau wajah berseri-seri bak bulan purnama, maknanya dia sedang bergembira. Sekurang-kurangnya dengan berbuat begitu, aku dapat melupakan sedikit masalah yang terbeban di fikiranku ini.

Entah di mana daya tarikannya, mataku tertancap pada dua orang gadis sedang berjoging di hujung sana. Sibuk benar mereka bersembang. Dan sesekali gelak ketawa mereka meletus. Keceriaan dan kegembiraan terserlah di wajah masing-masing. Ah, firasatku, mereka berdua sudah tentulah sahabat baik.

Dan tanpa diduga, ingatanku melayang mengingati Lynn di rumah. Aku tidak tahu samada Lynn menjamah bubur nasi yang kubawa padanya. Penat saja Kak Ayu memasak kalau dia tidak makan. Kak Ayu masak khas untuk dia seorang. Bertuah badan, dapat layanan istimewa.

Mengingati Lynn, benakku mula diasak dengan pelbagai persoalan. Terutama sekali, sudah pasti perihal kemaafanku. Dia sudah maafkan aku atau tidak? Masih ada lagikah sisa kemarahan dalam dirinya? Buntu aku memikirkan.

No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 6

Leave a Reply