Antara Kata & Rasa - 14

Posted by Unknown on 14 January 2013. Filed under: ,
No Comments »

Why me?” Aku kurang bersetuju.

“Budak-budak tu lagilah segan dengan dia.”

“Tapi…”

“Kau aje harapan aku. Please…” Apa yang patut aku buat?

“Kita pergi semua sekali lah…”

“Nanti nak kena datang ke sini balik. It’s just a waste of time. Kau pergilah dengan dia.”

“Kalau kita pergi berdua?”

“Kita bukannya ada lesen memandu antarabangsa. Kau nak kena cekup dengan polis?”


“Kau pergilah dengan abang kau.”

“Aku nak pergi tengok koleksi musical instrument pulak. Budak-budak tu nak ikut aku sekali. Kau kan tak berminat dengan benda-benda macam tu. Sementara kau pergi beli makanan, sempat lah aku dengan dia orang melawat galeri tu.”

“Aku bawak salah seorang dari dia orang temankan aku, boleh?”

“Aku rasa takkan ada yang berminat. Nanti ada pula yang cakap tak adil kalau terpaksa ikut kau.”

“Takkan aku dengan dia aje? Tak manis lah…”

“Manis ke, masam ke, kelat ke, bukannya boleh dirasa. Boleh dipandang aje. Lagipun, kau bukannya nak buat apa pun dengan dia. Just keluar beli makanan aje…”

Macam mana ni…

“Alah, boleh lah. Jangan fikir lagilah,” katanya muktamad. Sebarang bantahan tidak akan dilayan.

“Ataupun… kau nak pergi dengan abang aku?” Lambat-lambat soalan berbaur ugutan itu terpacul pula.
Membesar anak mataku mendengar usulan Kamilia itu. Pergi dengan Abang Khaizuran? Berdua? Nak menempah maut namanya tu. Dengan ‘gosip sumbang’ yang tengah panas dijaja dan direka oleh mereka, tersangatlah tak sesuai andai aku dan Abang Khaziuran pergi berdua.

“Baiklah, aku setuju. Lebih baik aku pergi dengan Abang Faid daripada pergi dengan abang kau.” Bersetuju juga aku akhirnya. Itupun setelah menerima ugutan terakhir dari Kamilia.

Abang Faid menanti di bawah sepohon pokok di hujung pavement. Tiada dedaun merimbun yang memayunginya. Musim sejuk baru saja hendak beralih arah. Walaupun secara rasminya kami sudah memasuki musim bunga, tetapi salji masih terdapat di mana-mana. Pokok-pokok masih belum berbunga sepenuhnya. Rerumput masih malu-malu ingin menonjolkan diri di celah-celah butiran salji.

Aku mengorak langkah menghampiri dia yang menanti.

“Dah sampai nanti, call. Kita jumpa kat mana-mana,” laung Kamilia. Dia dan yang lain mengambil jalan bertentangan dari aku dan Abang Faid. Maka terpisahlah aku dari kumpulan mereka.

Aku sekadar melambai tanda mendengar laungannya itu.

Abang Faid menanti dengan sabar aku mendekatinya. Derap langkahku yang diatur lambat-lambat bagaikan tak berpenghujung. Sedangkan penghujungnya cuma beberapa kaki sahaja lagi. Memanglah… kalau sesuatu itu dilakukan tanpa rela, bahu terasa membawa satu beban yang bertan-tan beratnya.

“Kalau tak nak pergi, tak apa.” Sapaan itu menyambut diriku untuk berdiri bersama-sama Abang Faid di bawah pohon gondol itu.

“Ha?” Blur aku sesaat.

“Kalau Leen tak nak pergi tak apa. Abang pergi sendiri,” tuturnya kali ini lebih panjang.

Peluang datang tanpa dipinta. Tapi tegakah aku membiarkan Abang Faid pergi sendiri? Membawa makanan dan minuman untuk kami bertujuh seorang diri? Dan mampukah dia hendak membawa kesemuanya? Timbul pula rasa kasihan di hati. Tak patut juga kalau aku membiarkan dia sendiri. Seperti tak berhati perut pula aku ini. Sedangkan memang aku mempunyai hati dan perut.

Sebenarnya, pergi bersama Abang Faid atau Abang Khaizuran sama saja masalahnya. Kalau dengan Abang Khaizuran, aku terasa ‘selamat’ tapi bila memikirkan mulut Kamilia, aku jadi tidak sanggup. Dah pasti kini dan selamanya aku bakal dinobatkan menjadi ‘kakak ipar’ di bibirnya.

Kalau berdua dengan Abang Faid, telinga rasa selamat. Tetapi hati… Aduh, sekarang pun dah bermula semula gendang Chinese New Year. Tak sanggup juga tapi sekurang-kurangnya aku seorang saja yang tahu dan merasa. Tak ada orang yang nak memperkatakan tentang itu.

“Err… Biarlah Leen temankan Abang Faid. Nanti susah nak bawa semua makanan tu,” kataku menolak ‘tawaran’nya.

“Ikhlas ke ni?” Dia bertanya.

Aku terdiam sesaat. Ikhlas atau tak, tanggungjawab perlu dilaksanakan.

Transparent sangat ke bahawa aku sedang terbeban dengan tugas ini?

Memandang wajahnya, aku menganggukkan kepala.

With all your heart?

My heart isn’t working . Ia terlalu sibuk nak bergendang. Ayat itu bergema di pelusuk fikiran.

“Kalau dengan separuh hati aje, boleh tak?” kataku serius.

Semerta Abang Faid ketawa. Rendah saja gelak tawanya itu. Kataku sebentar tadi tu, serupa dengan lawak antarabangsa ke?

“Tak bolehlah dengan separuh hati. Kalau nak buat, kena dengan sepenuh hati…”

“Tapi apa masalahnya?”

“Abang tak nak tengok muka Leen yang tak manis tu sepanjang perjalanan nanti…”

Pulak…

Aku menarik nafas panjang. Menyemak semula tahap keikhlasan aku di ketika ini. Masih terasa beban atau tidak. Dan entah di mana ajaibnya, aku merasakan berat bertan-tan yang ditanggung tadi hanya tinggal bergram-gram sahaja. Sudah menyusut nampaknya.

“Leen dah bersedia nak temankan Abang Faid dengan sepenuh hati. With all my heart.” Sengaja aku mengulang ayatnya.

Dia ketawa lagi. Kenapa asyik-asyik ketawa aje ni?

Tiba di tempat meletak kereta, aku diserang gusar. Teragak-agak ingin membuka pintu kereta. Pintu belakang atau depan? Kalau duduk dibelakang, dapatlah merasa jadi madam besar hari ini. Jarang-jarang peluang sebegitu datang bergolek ke kaki. Tapi, Abang Faid pula akan dianggap driver nanti. Pemandu tanpa gaji yang tak pernah diupah.

“Duduklah di depan,” pelawa Abang Faid lalu membuka pintu di bahagian pemandu.

Dalam ragu-ragu aku membuka juga pintu di sebelahnya. Duduk membatu menunggu Abang Faid menghidupkan enjin kereta.

“Leen boleh tolong Abang Faid?” ajunya meminta pertolongan.

“Nak Leen bantu apa?”

“Tolong jadi pembaca peta.” Disuanya peta New Haven yang diambil dari dashboard. Tadi, dia yang menjadi pembaca peta, Abang Khaizuran pemandu. Sekarang dia pula pemandu dan aku pembantunya. Ish, macam-macam dunia sekarang. Kerjaya boleh bertukar-tukar dalam sekelip mata.

“Dah hampir sebulan duduk sini tapi Abang Faid masih tak hafal jalan,” akuinya dengan jujur.

Patutlah peta itu dah hampir lunyai dibuatnya. Dibuat bungkus belacan pun belum tentu ada yang nak membeli. Mesti peta tu diusung merata-rata. Dijadikan ‘ tour guide’ semasa mereka hendak ke mana-mana. Nasib kaulah peta…

* * *
Abang Faid. Tak aku duga dia seorang yang peramah. Berdua dengannya, banyak hal yang kami bualkan. Tapi tidaklah sehingga menyentuh hal peribadi. Aku mahupun dia, tiada keberanian hendak membangkitkan soal itu. Bagiku, hal peribadi adalah suatu isu sensitif. Tak layak diperbualkan oleh kerana status perkenalan kami yang masih baru.

“Di mana Abang Faid nampak?”

Perbualan kami tetap bersambung. Dari dalam kereta hinggalah ke dalam restoran.

Dan sementara menanti pesanan siap, kami berdua duduk menunggu di meja yang dikhaskan untuk dua orang. Pada awalnya aku ingin membantah. Yalah, macam pasangan bercinta pula nak duduk di meja sebegitu. Tetapi mengenangkan kami bukannya nak menjamah makanan, aku turutkan jua cakap pelayan lelaki yang menyambut kami.

“Dalam kawasan Wooster Square. Ada flower patch kat tepi jalan. Memang boleh nampak.”

“Wooster Square?” Aku mengulang hairan. Pernah ke aku ke situ?

“Tak pernah pergi?”

“Tak pasti pernah pergi atau tak. Kadang-kadang nama tempat tak tahu, tapi dah pernah pergi.”

“Pernah tengok street archway yang ada lambang Elm Tree? Ataupun patung gangsa Christopher Columbus?”

Aku cuba mengorek kotak memori. Berusaha mengingati patung dan archway yang Abang Faid maksudkan. Seperti terbayang-bayang di ingatan. Tapi entahlah…

“Rasa pernah nampak kot,” jawabku dalam keraguan. Tak yakin dengan memoriku.

“Itulah kawasan Wooster Square.”

Dekorasi restoran disorot lagi. Segala ceruk tak lepas dari curahan mata. Begitulah nasibnya. Ke kanan dan ke kiri kepalaku bergerak. Dah seperti robot lagaknya. Leher dah terasa sengal. Alangkah indahnya dunia kalau dapat menopang dagu. Ada juga tongkat sakti buat penahan kepala…

“Banyak tak bunga tulipnya?” Aku menyoal, mata dipaku pada gambar masjid. Walhal di hati tertera bunga-bunga tulip yang pelbagai warna.

Quite a lot. Dalam 20 kuntum.”

“Apa warnanya?” Agak girang aku menambah soalan. Dan dalam banyak-banyak warna, aku paling suka yang berwarna pink.

“Kebanyakannya warna pink. Merah dan kuning ada jugak.”

“Wah, mesti comel, kan?” kataku teruja. Alangkah bahagianya jiwa kalau aku ikut sama menatapnya.

“Eh, untuk bunga boleh gunakan kata adjektif comel ke?” Semerta aku ketawa. Bunyinya seperti Abang Faid terkejut dengan bahasa yang aku gunakan.

“Dunia sekarang dah lain sikit. Setengah perkataan ada yang digunakan tak kira tempat.”

Selamba sahaja aku menuturkan. Memang betul pun. Dah tak ramai yang gunakan bahasa melayu dengan betul. Grammar lari, ejaan perkataan berterabur.

“Macam Leen?” Dia menyoal mengaitkan namaku.

Ya, macam aku. Orang yang tak arif nak mengadun ayat. Apatah lagi nak mengadun tepung. Main sebut aje.
Tapi… kenapa mesti terang-terangan namaku yang dikenakan…

Lantas aku mendongak dan pandangan kami bertaut. Abang Faid senyum segaris. Aku terpana menyaksikan panorama indah itu. Hati berdebar-debar semacam. Degupan jantung terasa bergema di seluruh tubuh. What’s happening to me?
 
Cuba meredakan rasa hati, aku menarik muncung. Cuba menolak jauh-jauh apa yang aku rasakan tadi. Abang Faid ketawa.

“Tapi, betul-betul ke Abang Faid? Leen tak pernah nampak pun kat Hartford. Entah-entah Abang Faid temberang Leen tak…?” Walau terasa bibir berat untuk bersuara, aku gagahkan juga. Tak mahu terkesan di mata Abang Faid apa yang sedang aku alami. Maka, bersungguh-sungguh aku meminta kepastian dari dia.
Jangankan sedozen, sekuntum pun payah nak cari di Hartford.

“Leen dah berapa lama kenal Abang Faid? Takkan Abang Faid nak tipu.”

Aku tertawa. Ewah, memory lost lah tu. Dia ingat sebulan tu setahun ke?

“Kita kan baru kenal tak sampai sebulan?”

“Iya?” Abang Faid nampak terkejut. Pura-pura atau apa? Mustahil dia tak sedar tentang jarak masa perkenalan kami.

Aku mengangguk untuk mengesahkan.

“Abang Faid rasa macam dah bertahun kita kenal.”

Aku menelan liur dengan tuturan kata hatinya. Selalu ayat itu aku dengar sebagai mukadimah bagi pasangan yang bakal berpasangan. Ataupun untuk menarik perhatian seseorang. Tapi takkanlah…

No way! Imaginasi aku dah lari berkeliaran entah ke mana. I need to wake up. Kalaulah Abang Faid tak ada, pasti aku dah ketuk-ketuk kepala sendiri.

“Itu ayat skema. Selalu digunakan kalau kita rasa close dengan seseorang.” Jawapan bagus itu yang aku hidangkan pada dia. Bijak tak? Bijak tak bijak, hatiku juga termakan dengan jawapanku itu.

“Maknanya, kita pun dah close?”

Aku hampir terbatuk saat soalannya menerjah telinga. Rapat ke kami? Kami dah rapat ke?

Abang Faid ni sengaja nak menguji hati aku atau apa? Kenapa soalan-soalan ‘alien’ begitu yang disoal? Dan kenapa aku seolah merasakan perbualan kami telah memasuki level baru? Melibatkan perasaan.

“Sejak bila minat dengan tulip?” Aku melepas nafas lega. Lega kerana topik kami telah bertukar. Fuh!

Apabila berbalik kepada perkara yang aku suka, ringan sahaja aku membalas, “Sejak baca buku ‘Don’t Die My Love’.” Buku fiksyen remaja itu sehingga kini menjadi salah satu dari buku kegemaranku.

“Bunyi macam kisah cinta tragis aje,” sahut Abang Faid, meneka isi cerita berdasarkan tajuknya.

“Lebih kurang macam tu lah kisahnya. Sedih. Touching sungguh.”

Terbayang kembali saat-saat meruntun jiwa tatkala halaman terakhir novel itu selesai kubaca.

Aku mengelap air mata dengan hujung jari. Esakan cuba kutahan.
 
“Ain?” Namaku diseru perlahan.
 
Bibirku ketap kuat. Agar esakan tak kedengaran.
 
“Kenapa ni?” Abang mengambil tempat di hadapanku. Tangan yang menutup wajah, cuba dia leraikan.
 
Dia terkejut melihat mataku yang pastinya sudah kemerahan. Yang pasti sudah sembap.
 
“Ain menangis?” Dia bertanya lagi walau sudah jelas di matanya keadaanku. “Kenapa? Talk to me.”
 
Aku menggeleng tak mahu bercerita. 
 
“Kenapa ni?” Dia mendesak.
 
“Luke…” Aku menyebut sebaris nama itu.
 
“Kenapa dengan Luke?” soal abang hairan.
 
He can’t make it.” 
 
“Hah? Maksud Ain?”
 
“Dia meninggal.” 
 
Abang menyapu air mataku yang mengalir. “Shhh… beritahu abang bila dia meninggal? Dan siapa Luke ni? Abang tak pernah kenal pun. Abang tak tahu pula Leen ada kawan bernama Luke.” 
 
“Dia bukan kawan Ain lah,” balasku bersama sendu. Pilunya rasa hati tak terkira. Why? Why must he die?

“Kalau bukan kawan, siapa?” 
 
“Hero dalam novel tu.” Aku menunjukkan novel Don’t Die My Love yang berada di atas meja. Baru sebentar tadi aku menghabiskannya.
 
Terbahak-bahak abang ketawa. Aku menolak bahunya. “Ain tengah sedih, abang ketawa pulak!” Dia tambah ketawa.
 
“Hmm… baca novel pun boleh dibayangkan macam mana rupa tulip tu?” Suara Abang Faid menghambat pergi memori lama. Aku senyum kelat. Memori yang singgah meninggalkan seribu rasa di hati.

“Tentulah tak. Masa tu Leen pun tak dapat bayang rupa tulip tu bagaimana. Maklumlah, tak pernah jumpa kat Malaysia. Lepas tu, first time tengok, terus terpaut.”

Irama Spring karya Vivaldi berkumandang tiba-tiba. Membantutkan perbualan kami.

“Lagu kita,” kata Abang Faid sambil mencapai napkin merah hati di atas meja.

Aku tertelan liur sendiri. Hanya dua perkataan yang dia sebut. Namun, seakan bernilai ertinya. Satu tanda bahawa kami ada berkongsi sesuatu.

Aku melihat Abang Faid melipat-lipat napkin merah hati itu. Apa yang hendak dibuatnya? Origami? Tapi bolehkah di buat dengan kain?

Pelayan datang menghampiri kami bersama pesanan yang sudah siap.

Here’s your order, sir.” Diletakkan dua bungkus beg kertas.

Abang Faid bangun menolak kerusi. “Thank you… By the way, may I have this?”
 
Aku tidak tahu apa yang diminta Abang Faid kerana asyik mengira jumlah bungkusan di dalam setiap beg. Bimbang sekiranya tidak mencukupi. Ada pula yang terpaksa mengikat perut nanti.

It’s for the lady…” tambah Abang Faid.

Kerana ayat yang disebutnya, aku cepat mengangkat muka. Melarikan anak mata padanya.

Sure… sure…” sahut pelayan itu membenarkan.

Pandanganku jatuh ke tangan Abang Faid. Napkin… bukan lagi napkin, tetapi sudah berubah transformasi menjadi sekuntum bunga ros, berada dalam genggamannya.

Kuntum bunga ros itu kemudian disua kepadaku.

“Untuk Leen. To welcome spring season…

Lidahku jadi kelu.
»»  read more

Antara Kata dan Rasa - 13

Posted by Unknown on 18 October 2012. Filed under: ,
No Comments »

Aku memerhatinya. Dan dia juga dari tadi sepertinya memandangku. Tangannya menyapu wajah sedikit demi sedikit. Cukup 360 darjah pusingan dibuatnya. Dialah penyambut setia setiap kali aku menjejak New Haven. Dan hari ini juga dia setia menanti.

 

“Berkenan ke?” tegur Kamilia di belakangku.

 

Sort of…” Aku mengiringkan kepala ke kanan. Memerhatinya lagi.

 

“Tak cute mana pun…”

 

“Aku tahu. Still, ada something tentang dia…”

 

“Di mana keistimewaannya? Biasa aje aku tengok.” Kamilia berdiri di tepiku. Matanya tertancap ke arah yang sama.

 

Special in it’s own way… Dah lama dia tergantung di situ. Pasti dah banyak kisah dan cerita dia kutip. Kalau dia boleh bersuara, pasti banyak ceritanya.”

 

Kamilia ketawa bebas. Tapi nasib baiklah tidak terlalu kuat. “Kau ni suddenly jadi melodramatic ni, kenapa?”

 

Aku senyum dengan tegurannya. Bukan sengaja sesuka hati nak jadi melodramatic. Tak juga sengaja nak jadi overdramatic. Tapi cubalah direnung seketika. Berapa ramai yang sedar kehadiran jam itu? Dan berapa ramai pula yang menghargainya? Kalau dihitung pasti jumlahnya tak seberapa. Entah-entah ada yang langsung tak sedar ia di situ.

 

“Bukan melodramatic. Just trying to appreciate something that we always take for granted.”

 

8.47 a.m. Berubah jarumnya, bertambah seminit. Pagi-pagi weekdays begini, stesen agak sesak dengan penumpang. Ada yang ingin ke tempat kerja. Ada yang ingin pulang ke rumah. Ada yang hendak berjalan-jalan seperti aku. Bukan sahaja di New Haven Union Station, malahan juga di Hartford Union Station. Untung juga Kamilia dah booking tiket secara online.

 

Kami berlima berdiri di bahagian belakang ruang menunggu. Tidak mahu bersesak di tengah ruang. Aku, Kamilia, Humaira, Maisara dan Intan Amira. Habis satu rumah kami ‘angkut’ ke New Haven.

 

“Lama lagi ke abang Kak Kammy nak sampai?” Humaira bertanya tidak sabar.

 

“Akak dah hantar sms pada dia sebelum kita naik train.”

 

“Tak nampak pun bayang dia…” sampuk Intan Amira dengan kepala ke kiri dan kanan. Mencari Abang Khaizuran di celah-celah penumpang yang ada.

 

“Agaknya dia budget masa lebih kot…” Aku meneka. Barangkali Abang Khaizuran menjangkakan kami akan tiba lebih dari 50 minit masa yang dianggarkan.

 

“Jom duduk dululah… Sara tak laratlah nak berdiri lama-lama,” usul Maisara dengan mimik muka kesian. Timbul rasa kasihan di hatiku pada gadis genit itu.

 

“Jomlah… jomlah…” Cepat saja Humaira bersetuju. Ditolaknya Amira dan Maisara ke depan. Menyuruh kedua-dua temannya bergerak.

 

Aku tergelak lalu menggeleng perlahan. “Eh, kau orang ni buat malu company betul la… Belum keluar berjalan sejam dah lelah.”

 

“Ingat, kita ada one full day tau nak teroka New Haven hari ni…” Kamilia menambah kata dalam senyuman. Sekadar mengingatkan mereka.

 

“Siapa nak ‘pancit’ awal-awal bagitahu. Senang akak nak tinggalkan kat stesen ni. Masa nak balik nanti, akak dengan Kak Kammy datang ‘collect’.”

 

Kamilia menghamburkan tawa mendengar usikanku. Ketiga-tiga mereka sudah mencebik. Berdiri tegak tak berganjak.

 

“Boleh ke tinggal dia orang kat sini?” Kamilia ikut menambah.

 

“Boleh… Polis kan ada dalam building ni? Kita minta tolong jagakan dia orang sekejap. Kita ‘drop’ dia orang kat balai tu dulu then kita proceed dengan rancangan kita.”

 

“Ooo.. kalau Kak Leen ada fikiran sebegitu, nampak sangatlah akak dengan Kak Kammy ada niat nak buat double date hari ni,” kata Maisara mengangkat kedua-dua keningnya.

 

Double date? Aku memandang Kamilia. Dia pula memandangku. Langsung tak terlintas di hati akan perkara itu.

 

“A’ah, betullah!” Mencelah Intan Amira sambil mengetip jarinya. “Abang Faid dengan Kak Kammy. Abang Khaizuran dengan Kak Leen.”

 

“Jadi, akak bawak kita orang bertiga ni just nak kaburi mata orang ramai la?” Humaira menyoal seperti benar saja telahan Maisara.

 

Parah! Ketiga-tiga mereka dah berfikir terlampau jauh. Lengkap dengan bayangan yang bukan-bukan. Sakit juga nak mencari jalan keluar.

 

“Cik adik bertiga, kalau Kak Leen dan Kak Kammy betul-betul nak double-date, buat apa susah-payah nak ajak cik adik bertiga. U.S lain dari Malaysia. Kat sini, we’re free to do as we wish. Buat apa pun orang tak pandang,” terang Kamilia agak berjela panjangnya.

 

“Lagipun kan… Kat manalah Kak Kammy nak campak mamat Tebrau dia tu nanti?” Aku pula mencelah. Teringat kekasih hati Kamilia yang berada di Kanada. Semester yang lepas, adalah sekali dia datang melawat ke sini. Bukan main riuh Kamilia bila dapat tahu. Itu belum lagi dapat berjumpa. Sewaktu kekasihnya tu datang, hampir-hampir diriku dia lupakan. Sampai hati betul!

 

So, akak tak termasuklah dalam senarai Sara tu, kan? Tapi kalau Kak Leen ni… akak tak tahulah.” Kamilia mengalih perhatian padaku. “Kau ada hati ke dengan abang aku?”

 

Pertanyaan tak beralas yang dilontarkan itu nyaris membuatkan jantungku gugur. My heart? Pada Abang Kamilia?

 

Spontan tanganku menampar perlahan lengannya. “Jangan nak merapulah Kammy. Aku mana ada feeling dengan abang kau.” Aku menyanggah. Pandai saja dia cuba melaga-lagakan aku dan abangnya.

 

“Kau tak nak jadi kakak ipar aku?” Dia melontar soalan sambil menjongketkan kening. Seperti mencabar aku untuk menjawab.

 

Merapu betul Kamilia. Buat offer mengarut.

 

“Tak tahulah aku,” jawabku dalam perasaan yang terumbang-ambing. Terkejut dengan soalan tentang perasaan yang dibangkitkan tiba-tiba dari Kamilia. Tak menyangka dengan tawarannya.

 

“Kenapa sebelum ni aku tak terfikir pasal ni? Kau dan abang aku… Hmmm…” Kamilia bertanya pada dirinya sendiri. Diurut dagunya memikir.

 

Memang kes kronik!

 

“Tak tahu tu maknanya adalah tu…” usik Maisara tersengih. Mata aku jengilkan padanya. Bertambah tersengih dia.

 

“Kak Leen, selalunya kalau tak tahu tu, maksudnya suka.” Intan Amira pula menyampuk.

 

“Tunggu apa lagi Kak Leen… Sampai bila nak maintain solo?” suara Humaira turut menyumbang pada usikan terhadapku.

 

Akibat diserang bertubi-tubi dengan usikan itu, aku tidak dapat bertahan lagi. Segera aku mengangkat kaki. “Akak tunggu di luar lah…” Lontarku terus melangkah ke pintu masuk. Langsung tak berpaling lagi. Ketenangan perlu di cari setelah puas ‘diasak’ oleh mereka.

 

“Leen, tunggulah dulu!” Suara Kamilia mengekor. Aku tidak ambil peduli.

 

Mata seolah tak terfokus. Pintu di sebelah kiri dicari dalam keributan fikiran. Dan…

 

Buk!

 

Perjalananku nyaris terpesong. Cepat sepasang tangan menahan di lenganku.

 

Alamak! Tembok besar mana yang aku rempuh pula ni?

 

* * *

 

Aku berdiri terpacak. Mataku tak berganjak menekur fleece jacket hitam merah yang memenuhi pandangan. Kecut perut tak usah dikira. Segala sendi rasa nak terburai. I’m totally dead!

“Omo!!” Terpacul perkataan Korea itu entah dari bibir siapa. Di antara mereka berempat yang pasti mengekoriku dari belakang.

 

Pegangan di lenganku terasa dilepaskan. Aku memejamkan mata rapat-rapat. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Yakin telingaku bakal menerima hamburan kemarahan sebentar lagi.

 

Aku menanti namun tiada sepatah perkataan yang dihambur.

 

Sedikit demi sedikit, aku memberanikan diri mendongak. Walau segarang mana pun wajah insan ini, aku harus memandangnya. Kerana sudah salahku melanggar dia.

 

Dari jaket hitam merah yang dipakai, anak mataku berlari pula ke kolar jaketnya. Kemudian di dagu. Dalam hati, berbakul-bakul doa aku titipkan mengiringi tingkahku.

 

Ya ALLAH, janganlah suaranya kuat seperti box speaker. Kalaupun dia ingin meledakkan kemarahannya, biarlah dalam nada yang rendah. Sekuat speaker laptop aku pun tak apa. Sekurang-kurangnya tak ramai penonton kami kelak.

 

I’m sorry,” pohonku terlebih dahulu sebelum melihat muka pemilik si empunya tubuh.

 

Dan akhirnya wajah insan itu menjelma di mata.

 

Erk?!

 

Terundur aku ke belakang beberapa tapak. Terkejut. Dia juga begitu. Kemudian, diperhatinya wajahku agak lama. Seperti ada sesuatu yang dicari.

 

“Kenapa ni? Leen tak apa-apa ke?” Dia bertanya sedikit resah lalu memandang sekeliling. Seluruh ruang menunggu itu menjadi sasaran perhatiannya.

 

“Okey. Tak ada apa-apa… Leen minta maaf. Tak sengaja terlanggar Abang Faid.”

 

“Ada orang kacau ke?”

 

“Tak ada.”

 

“Habis, kenapa abang tengok Leen macam melarikan diri dari seseorang?” Terselit nada risau dalam suaranya. Mungkin dia fikir aku sedang diganggu seseorang.

 

Aku berpaling ke belakang. ‘Kumpulan pengganggu’ berdiri mematung satu dua meter di belakang senyap tak bersuara. Ternyata mereka juga terkejut dengan insiden yang berlaku di antara aku dan Abang Faid.

 

Jaga kau orang! Aku menutur dengan gerak bibir. Kamilia menjongketkan bahunya ditemani sengihan nakal. Seronok gamaknya, dapat menonton aksi filem Hindustan di tanah orang putih ini.

 

“Tak, Leen nak ambil angin kat luar aje,” tuturku menjawab soalan Abang Faid. Aku cuba berselindung. Cerita sebenar tak ingin disampaikan pada dia.

 

Dia merenung wajahku, berusaha mendapatkan keyakinan dan kepastian. “Betul ni?”

 

Perlahan aku menggangguk. Kalau Abang Faid sedar cerita di sebalik ‘pelarianku’ pasti lebih kecoh jadinya. Hendaknya janganlah perempuan berempat tu menyambung semula usikan nakal mereka. Janggal jadinya kalau Abang Khaizuran tahu. Bagaimana aku nak berinteraksi dengan dia selepas itu?

 

“Leen, Faid, apahal kau orang berdua berdiri kat entrance hall ni?” tegur Abang Khaizuran yang baru muncul. Silih berganti dia memandang kami berdua. Terpateri rasa hairan melalui dahinya yang berkerut-kerut itu.

 

Abang Faid menggosok lehernya yang tertutup. “Aku tak sempat nak jemput dia orang kat dalam, tengok-tengok dia orang dah nak keluar.”

 

Beralih pula Abang Khaizuran pada mereka berempat yang beratur bagaikan dalam kawad cam. “Hah, yang kau orang berempat ni kenapa pula tercegat kat situ? Dah tak kenal Abang Faid?”

 

Keempat-empat mereka tersengih semacam dan segera menghampiri kami. Kemudian, kami mengikut Abang Khaizuran keluar dari situ.

 

Abang Khaizuran dan Abang Faid mendahului kami. Aku dan Maizara berjalan bergandingan. Manakala Humaira, Intan Amira dan Kamilia berjalan di belakang.

 

“Rugi, rugi…” Aku terdengar Kamilia bersuara.

 

“Kenapa pulak Kak Kammy?” suara Intan Amira menyoal hairan. Aku tidak meyahut apa-apa.

 

“Kalau abang akak yang datang dulu tadi bukan ke bagus. Ini Abang Faid pulak yang datang…” ujarnya seperti orang kecewa.

 

“Kalau tidak, pasti berjalan rancangan Kak Kammy, kan?”

 

Dah mula lagi…

 

Mendengar bicara mereka, aku berhenti melangkah. Stop on the spot.Kammy, stop it!” Ton nada rendah yang aku gunakan. Mengelak dari didengari oleh abang berdua di depan kami. Mereka yang tidak sedar apa-apa, terus berjalan.

 

Stop what?” soalnya pula berpura-pura tidak faham.

 

That conversation.”

 

“Owh, pasal kau dan…” Sepantas halilintar aku menutup mulutnya. Mengunci bicaranya. Memang nak kena tampal mulut Kamilia ni..

 

“Kerana mulut badan binasa, kerana kau aku bakal terkena.” Sempat pula aku berpantun dua kerat. Mengingatkan dia tentang risiko yang dia ambil. Kerana cuba mengusik aku dan abangnya. Tak sedarkah dia bahaya yang sedang ditempahnya? Apa pula Abang Khaizuran fikir kalau dia tahu pasal hal ini.

 

Kamilia ketawa suka. Membuatkan aku bertambah geram.

 

Ok, sorry. Aku tak cakap lagi,” katanya setelah aku menjatuhkan tangan.

 

“Janji?” pintaku.

 

“Janji.” Dia mengangkat tangan. Empat jari ditutup, hanya anak jari yang dibuka.

 

Kami meneruskan perjalanan. Tiba di hujung stesen berdekatan tempat meletak kereta, Abang Khaizuran menyuruh kami menanti di situ sementara dia dan Abang Faid mengambil kereta MPV yang mereka sewa untuk trip kami hari ini.

»»  read more

Antara Kata & Rasa - 12

Posted by Unknown on 19 April 2012. Filed under: ,
No Comments »

“Balqis dah online!” maklum Abang Hamzah girang. Tersenyum gembira dirinya. Mentang-mentanglah ‘buah hati’ sudah muncul. Pantas jari-jemarinya menari di atas keyboard. Berakhirlah sebuah penantian yang bermula sejak 15 minit yang lalu.

Aku cuba mengintai skrin laptop silver milik Abang Hamzah. Berniat untuk tumpang melihat orang yang dinanti. Tetapi kecewa. Jangankan wajah, kotak yahoo messenger pun tak terlihat.

Pertengahan minggu lalu, Abang Hamzah ada menyampaikan hajat. Katanya Nurul Balqis, anaknya di Malaysia teringin hendak berbicara denganku di alam maya. Atas sebab itu, Abang Hamzah memilih hari ini untuk mengatur pertemuan kami. Setelah dipastikan aku, dia dan anaknya masing-masing bebas dari sebarang agenda.

Aku tidak tahu apa yang membangkitkan keinginan kanak-kanak itu untuk ‘bertemu’ denganku. Selama hampir 7 bulan ini, aku sekadar mengenali dia melalui nama. Melalui sekeping foto yang kaku. Dan juga melalui cerita-cerita yang sering aku dengar dari mulut Abang Hamzah. Barangkali tiba masanya aku melihat dan mengenali orangnya dengan lebih dekat. Biarpun hanya setakat di alam siber. Ada rezeki kelak, insya-ALLAH mungkin kami dapat bertemu secara fizikal.

Justeru itu, dengan ditemani Kamilia, aku menunggu di universiti. Di tempat yang telah aku dan Abang Hamzah janjikan. Aku tidak terus pulang ke rumah seperti selalu. Tapi ketika ini, entah ke mana Kamilia pergi. Dia memberitahu ada hal sekejap tapi tak pula dimaklumkan ke mana. Kalau dia terlambat, tak dapatlah dia melihat Nurul Balqis. Sedangkan itulah juga salah satu niatnya menemaniku.

Abang Hamzah didepanku membisu. Seluruh perhatiannya melekap di skrin laptop. Hanya bunyi keyboard ditekan mengisi suasana kami. Asyik dia melayan anaknya. Aku yakin kerinduan yang di tanggung buat anaknya terlalu sarat. Lalu aku membiarkan dia melepas rindu dahulu.

Aku menumpahkan perhatian di skrin laptop sendiri. Membaca satu-persatu isi-isi yang terkandung di laman web Wikipedia yang aku sedang layari. Sehinggalah Abang Hamzah menegurku semula.

“Giliran Leen pula…” Seraya itu, laptop dipusing mengadapku. Lalu aku menolak laptop milikku ke sebelah kiri sebelum menarik laptop Abang Hamzah ke hadapan.

“Dah tak sabar Balqis nak berbual dengan Leen,” sambungnya teruja. Terlampau excited dapat meluah kerinduan barangkali.

Di kotak webcam, terhias wajah seorang kanak-kanak perempuan. Dia sedang tersenyum manis. Membariskan giginya yang putih. Tangannya melambai-lambai. Rambutnya yang diikat dua, tergoyang-goyang dengan rentak badannya. Seorang perempuan dalam penghujung belasan tahun, duduk menemani disampingnya. Siapa agaknya gadis itu?

Sesekali kedua-dua wajah mereka menjadi blur seakan berkotak-kotak dan bergerak perlahan-lahan. Mungkin kerana kedudukan kami yang terpisah beratus ribu batu jauhnya yang menjadi punca. Aku menghadiahkan senyuman kepada mereka.

- Assalamualaikum

Aku mengambil langkah pertama menyapa. Tak dapat menahan rasa ingin tahu, pada Abang Hamzah aku bertanya, “Siapa gadis di sebelah tu, Abang Hamzah?”

Di kotak pesanan, gadis itu menaip sesuatu.

>Waalaikummussalam… Ini Kak Leen ke?

“Itu adik abang, Suzana namanya…”

Pertanyaan Suzana tidak dibiarkan sepi. Aku membalasnya,

-Ya. Suzana dan Balqis apa khabar?

Kelihatan Suzana membicarakan sesuatu kepada Balqis. Bibir Nurul Balqis bergerak-gerak sedikit. Sukar  untuk ditangkap butir bicaranya. Selang beberapa saat selepas itu, Suzana menunduk. Mungkin menaip…
Balqis yang masih kecil itu belum tentu kenal huruf sepenuhnya. Apalagi kalau hendak mengeja. Jadi berkemungkinan Suzana telah ‘dilantik’ menjadi orang perantara. Menyampaikan pesanan kepada Nurul Balqis dan begitulah sebaliknya.

>Sihat aje. Balqis tanya, Kak Leen kawan baik papa dia ke?

- Iya. Tapi bukan Kak Leen seorang aje. Ada lagi kawan papa Balqis yang lain.

> Ramai ke kawan abang?

- Ramai la jugak. Classmates, housemates, kawan senegara. Balqis bimbang papa dia tak ada kawan ke?

Di layar webcam, aku nampak Suzana menyampaikan apa yang aku tulis kepada Balqis. Selepas Balqis berkata-kata, dia menaip semula.

>Kata Balqis, kat Malaysia, papa ada dia. Tapi bila papa ke sana, dia tak dapat nak ikut. Dia kesian kalau papa tak ada kawan.

Ayat yang muncul itu aku baca. Mendengar tanpa suara kata hati anak itu, membuatkan jiwaku dilanda kesayuan. Betapa anak yang sekecil itu, yang masih mentah umurnya, sudah merasai perasaan itu. Ya, rasa kasihan. Bimbang akan diri ayahnya yang hidup seorang diri di benua lain.

> Abang selalu sebut nama Kak Leen. Sebab tu Balqis nak sangat tengok muka akak…

Muncul pula ayat berikutnya. Belum lagi aku membalas ayat yang sebelumnya.

Aku ketawa nipis. Hilang rasa sayu sesudah motif ‘pertemuan’ kami didedahkan. Abang Hamzah selalu bercerita tentang aku pada Balqis, kah? Cerita tentang apa? Hmm… jangan yang teruk-teruk sudahlah…

-  Apa yang dia sebut?

> Pasal Kak Leen satu course dengan dia. Pasal Kak Leen yang rapat dengan dia dalam banyak-banyak Malay girls kat sana. Macam-macam lagilah…

- Akak seorang aje Malay girl yang satu couse dengan dia pun.

Aku cuba memaklumkan pada Suzana kenapa aku dan Abang Hamzah rapat. Agar dia memahami. Banyak kelas yang kami hadiri bersama. Berbanding dengan pelajar Malaysia yang lain. Lantas kami kerap bertemu dan kerana itu hubungan kami lebih akrab. Bukan seperti apa yang orang lain fikirkan.

Selama ini, aku sedar dan tahu. Apa anggapan pelajar lain tentang hubungan kami. Konon-kononnya kami berdua bukan sekadar berkawan biasa. Ada hubungan istimewa antara kami. Tapi, samakah apa yang orang pandang dengan apa yang kami rasa?

Sungguh, antara kami berdua tiada rasa istimewa itu. Sekelumit pun tidak wujud. Abang Hamzah pun tidak pernah mengatakan apa-apa. Tersangat teranglah yang hatinya juga seperti hatiku. Bebas dari molekul-molekul cinta.

Entah-entah di hatinya masih berbekas dengan ingatan terhadap bekas isterinya. Siapa tahu? Cinta pertama hingga ke jinjang pelamin. Pasti banyak kenangan manisnya. Pasti banyak yang masih dikenang. Bukan terlalu mudah hendak disisihkan begitu saja.

Apa-apa pun, padaku hubungan kami tak lebih dari hubungan seorang abang dan adik. Hanya itu. Biarlah orang lain mahu memikirkan apapun. Bukan tak pernah di terang, dicerita dan dimaklumkan hal sebenar. Tetapi mereka sendiri yang tak mahu mendengar. Sengaja mahu terus-menerus mempercayai kata hati dan omongan orang. Takkan aku hendak menyaman mulut mereka yang tiada insuran itu?

Mujurlah teman-teman serumah memahami keadaanku.

Di sebelah sana, kelihatan seperti Suzana sedang menunjuk-ajar sesuatu pada Balqis. Aku memandang kotak pesanan.

‘Zana is typing...’

Aku menanti dengan sabar.

>Aunty Leen tolong jaga papa, boleh?

Aunty? Aunty?! Biar benar?

Bibirku hampir-hampir melopong. Mujur aku sempat menahan diri. Nafas terasa semput. Udara seolah tak mencukupi untuk aku bernafas. Wajah muda belia begini, sesuai ke di panggil aunty? Bukan nak perasan muda tetapi bila dipanggil aunty, terasa seperti diri ini dah berumur sangat. Seolah-olah sudah separuh abad! Sedangkan umurku belum pun memasuki suku abad.

Aku memandang Abang Hamzah di depanku. Ralit dengan buku rujukan yang sedang dibaca. Seperti menyedari dirinya sedang dipandang, dia mendongak. Berkerut dahinya apabila aku memandangnya tanpa kata. Hairan.

“Kenapa?” soalnya masih dengan kerutan di dahi.

“Balqis panggil Leen, Aunty ke?”

Dia mengganggukkan kepalanya. “Kenapa?” diulang soalan yang sama.

Hendak cakap ke tidak? Sungguh aku tak dapat terima ‘anugerah’ yang abang Hamzah berikan untukku. Hendak bercakap terang-terang, malu pula kalau dikenakan abang Hamzah. Takut diperli, aku nak perasan muda selalu.

“Kenapa tak boleh panggil kakak aje?” saranku takut-takut.

Abang Hamzah tersenyum. Perli aku ke? Tidak mahu melihat senyumannya yang mengandungi pelbagai rasa itu, aku memandang ke luar tingkap kafeteria.

“Umur Leen dengan Balqis kan jauh bezanya. Abang rasa sesuai kalau panggil Aunty Leen.”

“Jadi, abang yang suruh Balqis panggil macam tu?”

Dia menggangguk mengiyakan telahanku. Malas nak memperbesar-besarkan hal yang kecil begitu, aku membiarkan saja. Menerima tanpa rela ‘darjah kebesaran’ yang dikalung pada namaku. Aunty pun, aunty lah…

Selepas itu, aku terus melayan Balqis dan Suzana bersembang. Sambil cuba-cuba membahasakan diri Aunty pada Balqis. Walau agak janggal, aku cuba juga berusaha.

Kamilia datang semula kemudian. Setelah hampir setengah jam dia lesap. Dia membawa bersama 3 cawan kopi panas. Diletakkan kopi itu di atas meja. Satu untuk setiap orang. Aku segera memendekkan perbualan dengan Balqis. Ingin memberi laluan kepada Kamilia pula. Sempat juga dia kembali. Aku fikirkan tadi peluangnya sudah tertutup.

“Dah daftar nama untuk field trip ke Pennsylvania next week?” Abang Hamzah menyoal. Tahu soalan itu dilontarkan untukku. Kerana Kamilia tak terlibat.

Sebelum menjawab, aku mencapai kopi yang terselit di dalam cup carrier. Nikmat kalau dapat menghirup kopi dalam cuaca begini. “Lusa tarikh akhir untuk daftar, kan?”

Cuma anggukan kepala menjadi jawapan Abang Hamzah.

“Leen belum daftar lagi?” Nadanya sedikit terkejut apabila mengajukan soalan baru.

“Leen tak pergi.”

Why?

“Ingat nak spend spring break kat rumah aje…”

“Boleh dapat apa kalau duduk di rumah? At least kalau ikut field trip ni, dapat juga pengetahuan dan pengalaman.” Abang Hamzah seakan tak bersetuju dengan keputusan yang aku ambil.

Betul apa yang Abang Hamzah katakan itu. Bukannya aku tak sedar. Lebih dari sedar. Tapi entahlah, aku tiada minat nak ikut serta. Awal-awal lagi aku sudah merancang untuk duduk di rumah saja. Cuti pun cuma seminggu, bila lagi nak rest sepenuh hati. Tambahan pulak, tiada seorang pun classmates perempuan yang ikut serta. Masing-masing ada hal. Habis, takkan aku seorang nak join lelaki-lelaki tu? Sekuntum bunga nak diringi berbelas ekor kumbang? No way! Bukan sehari dua trip tu. Lima hari!

“Kalau pergi nanti Leen seorang diri aje…” jawabku. Kopi dihirup perlahan. Panasnya!

“Siapa kata? Abang kan ada… Classmates yang lain pun ada…”

Aku mencebik sedikit. Sungguh Abang Hamzah tak faham dengan maksudku.

It’s true…” akuiku. “Tapi Leen perlukan females companion. Tak ada seorang pun girls yang nak pergi. Tak naklah Leen hang around dengan males aje.”

You’re sure?” Abang Hamzah bertanya tak percaya. Mungkin dia tak tahu agaknya.

“Takkan Leen nak tipu abang. Leen dah tanya dia orang last week lagi…” kataku yakin.

“Kalau ada pun, kau tak boleh nak pergi jugak, Leen,” tiba-tiba Kamilia mencelah perbualan kami. Matanya terhala ke arahku. Rupanya dia memasang telinga mendengar perbualan kami.

“Kenapa Leen tak boleh pergi?” Abang Hamzah bertanya memandangnya.

“Dia dah janji nak ke New Haven.”

“Buat apa? Bila?” Dua soalan dihambur serentak oleh Abang Hamzah.

Maybe on Monday or Tuesday. Dah promise dengan abang Kammy nak jumpa dia kat sana.” Lancar mulut Kamilia menyampaikan.

“Jumpa dia seorang aje?”

“Tentulah tak. Jumpa sekali dengan kawan dia, Abang Faid. Abang Hamzah kenal kan? I’m sure you have met him masa kitaorang buat kenduri hari tu. Banyak agenda dah di atur. Cuma masa aje tak tahu cukup ke tak…”

Semerta, anak mata Abang Hamzah menyapu wajahku. Sepertinya ada perkara yang tak kena di matanya.
Tak mengambil endah, aku menghirup lagi air kopi sebelum ia bertukar sejuk. Sekarang pun dah tinggal suam-suam kuku saja. Seperti renungan mata Abang Hamzah yang dapat aku rasa habanya…
»»  read more

Antara Kata & Rasa - 11

Posted by Unknown on 19 March 2012. Filed under: ,
No Comments »

“Leen, kau mengaku ke tak kau ada buat sesuatu tanpa kerelaan aku?”

Soalan itu menyapa ketika aku tiba di rumah. Kamilia sedang berdiri menunggu di ruang tamu. Ternyata Kammy sedang menanti kepulanganku. Dan sebaik aku muncul di hadapan matanya, terus dilontarkan pertanyaan.

Hah? Tanpa kerelaan? Apa yang telah aku buat?

“Apa yang aku buat tanpa kerelaan kau? Aku ada heret kau ke mana-mana ke?” tanyaku musykil. Ish, bukan ke dia di rumah dan aku di universiti? Bila masanya aku buat adegan ‘tanpa rela’ ni?

“Cuba kau ingat,” arahnya dengan mata yang tertancap padaku. Membuatkan aku terasa seperti orang bersalah walau tidak aku tahu hujung pangkal pertanyaannya.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Pada masa yang sama cuba mengingati. Ada ke?

Sesaat… dua saat…

Aku menggelengkan kepala perlahan akhirnya. “Aku tak tahu. Cuba kau beritahu apa yang dah aku buat?”
Sesungguhnya memang aku tak tahu. Serasaku tiada pula aku melakukan seperti apa yang dikatanya. Melainkan kalau aku melakukannya di luar sedar. Tapi bila?

“Kau jumpa siapa hari ni?” Dia bertanya soalan lain pula. Belum pun soalan awalnya tadi bertemu jawapan.

Aku melabuhkan diri di sofa. Kaki yang penat melangkah tadi sudah tak termampu hendak berdiri. Sepasang mata Kamilia memerhati tingkahku tanpa suara. Dia menanti jawapan untuk soalannya.

“Jumpa classmates and professor akulah… Who else am I supposed to meet?

“Selain dari tu?” Kamilia terus menyoal. Sudah seperti ajen FBI saja lagaknya, menyoal bertalu-talu.

Aku jadi teringat pada Puteri Jelita yang aku temui sewaktu hendak ke kedai buku.

“Puteri. Selain dari tu dah tak ada sesiapa. Kenapa kau bertanya macam-macam ni?” tanyaku pula ingin tahu. Pelik dengan perangainya hari ini. Sesusuk tubuhnya yang berdiri di depanku menjadi santapan mata.

“Kau beri apa pada dia?” Dia bertanya lagi. Aduh, tak habis-habis dengan soalan ni…

“Erm…” Adakah soalan-soalannya itu kerana aku memberi nombor telefonnya pada Puteri Jelita? Terdetik soalan itu di hati.

“Nombor telefon kau?” kataku hati-hati. Di hati mengesyaki apa yang terlintas di benakku tadi adalah benar. Semua ini ada kaitan dengan pertemuan aku dan Puteri Jelita tadi.

“Betul.” Dia mengiakan dengan anggukan.

“Jadi… Yang kau kata aku buat sesuatu tanpa kerelaan kau tu, maksud kau, aku beri nombor phone kau pada dia?” Aku cuba meneka. Sekaligus menyatakan apa yang sedang bermain di fikiran.

Dia menggangguk untuk kali kedua. Mengesahkan anggapanku itu memang seperti yang dia maksudkan.

“Tapi apa masalahnya?” Aku tak mengerti. Dari kedudukan menyandar pada kerusi, aku menegakkan tubuh. Kenapa harus timbul masalah jika nombor telefonnya diketahui Puteri? Salahkah perbuatanku? Bukankah lebih elok kalau Puteri Jelita menyimpan nombor telefon Kamilia? Ada juga gunanya di masa kecemasan. “Puteri Jelita tu kan perempuan, bukannya lelaki. Takkan dia nak flirt dengan kau? Apa yang kau takut sangat?”

Terhambur ketawa dari bibir Kamilia. Lenguh berdiri agaknya, dia turut melabuhkan diri di sisiku.

“Aku tak kisah kalau dia nak flirt dengan aku…” selorohnya bergurau. Semerta aku ikut ketawa. “Tapi malangnya bukan aku yang dia cari…”

Aku mengerutkan dahi kehairanan.

“Habis, buat apa dia minta nombor kau?” Cepat aku bertanya. Sebelum sempat Kamilia meneruskan ceritanya.

Kamilia mengeluh panjang. Seolah terlalu sarat apa yang sedang menghuni dimindanya.

She’s asking for Abang Faid’s phone number…” Satu-satu ayat itu Kamilia lepaskan.
Membuntang mataku demi mendengarkan kata Kamilia.

What? For real?” ujarku tak percaya. Untuk apa Puteri Jelita meminta?

“Katanya ada perkara yang dia nak tanyakan pada Abang Faid. Entahlah, aku rasa itu hanya alasan dia. I think she has a feeling for him. And she’s trying to make her move.

Puteri Jelita menyimpan perasaan pada Abang Faid? Benarkah? Bukankah Puteri Jelita sudah mengenali ramai jejaka? Tidak cukup lagi ke? Sebanyak mana yang dia mahu? Sedozen? Dua dozen? Dan tiadakah sesiapa di antaranya yang berjaya menambat hatinya. Perlukah perbualan mereka pada malam itu dipanjangkan lagi? Perlukah hubungan mereka dihiasi dengan perasaan antara lelaki dan perempuan? Seriuskah Puteri ataupun sekadar ingin dijadikan teman biasa.

Bagaimana pula dengan Abang Faid?

Luckily, aku tak ada nombor Abang Faid. Tak dapatlah aku nak beri pada dia…” Aku seperti terkurung dalam dunia asing. Apa yang Kamilia katakan hanya bagaikan angin lalu yang menyapa pergi. Sedikitpun tak menyinggah di benakku lantaran fikiran yang asyik berputar ligat memikirkan hal Puteri Jelita dan Abang Faid.

Aku cuba mengimbas kembali adegan majlis makan beberapa hari yang lalu. Tentang bagaimana interaksi yang terjalin di antara Puteri Jelita dan Abang Faid. Mereka nampak mesra. Puteri Jelita ramah bercerita manakala Abang Faid sentiasa bersedia menjadi pendengar setia. Memang ternyata ‘layanan’ Puteri Jelita terhadap Abang Faid agak istimewa.

Hatiku mula merasakan sesuatu. Debarnya juga lebih rancak dari biasa. Agaknya akibat rasa terkejut dengan berita yang disampaikan Kamilia.

Ah, hubungan Abang Faid dan Puteri Jelita bukan ada kena-mengena dengan diriku. Itu hal mereka. Apa perlunya aku bersusah-payah memikir.

“Apa pendapat kau kalau kita ke New Haven on the second week of March?”  Soalan Kamilia yang seterusnya menghentikan kotak mindaku dari terus memikirkan tentang Puteri Jelita dan Abang Faid. Sekaligus menukar topik perbualan kami di petang ini.

Mendengar cadangan itu, mengingatkan aku pada janji Kamilia terhadap Abang Khaizuran. Janji yang ditebar tanpa tarikh dan masa yang nyata. Segala-galanya bergantung pada keadaan.

Aku kembali menyandar. Melekapkan tubuh badan pada sofa agar kedudukanku lebih selesa.

“Tarikhnya?” Ringkas pertanyaanku. Aku faham mengapa minggu bulan Mac itu yang menjadi pilihan. Minggu itu merupakan spring break. Universiti akan bercuti selama 9 hari. Jadi, sudah tentu minggu itu kami semua akan bebas seketika dari hal-hal yang berkaitan dengan pengajian. Bolehlah juga kaki ‘merayap’ ke mana-mana. Melawat tempat-tempat yang popular di Connecticut. Tak pun melawat ke negeri bersebelahan. New Jersey, Rhode Island atau New York.

Tapi… alah… dapat ke New Haven pun dah kira okey. Terisi juga waktu cuti.

Kamilia bangun dari duduknya lantas mengeliat seketika. “9 atau 10 haribulan…”

Aku memejamkan mata. Seminit dua pun jadilah…

“Ok…” sahutku perlahan sebelum telingaku menangkap bunyi tapak kaki Kamilia melangkah entah ke mana.
»»  read more

Antara Kata & Rasa - 10

Posted by Unknown on 05 March 2012. Filed under: ,
No Comments »

Subsurface exploration

Interpretation of geomorphology

Terdaftar baris-baris ayat itu di telinga sebelum ianya mengisi baris-baris kosong.

Suara Prof. Richard Lewandowski kemudian bersambung semula. Tips, penerangan dan informasi yang dia beri, aku catitkan ke dalam buku catatan B5 yang sering aku usung ke sana sini. Itulah harta paling berharga, sumber rujukan untuk aku menjalani rutin harian sebagai seorang pelajar. Kebanyakan nota-nota penting dan ringkas aku simpan di dalam buku yang sudah hampir lusuh kulitnya itu.

Don’t judge the book by it’s cover…

Walau lusuh dan berkulat sekalipun, isi di dalamnya teramatlah bernilai. Bukan tak pernah terfikir untuk menukar buku baru, tapi bagiku, barang yang lama itu lebih bernilai. Lagipun, masih ada lagi mukasurat yang belum habis diguna.

Biarlah… sudah penuh satu buku tu nanti, baru aku buat koleksi peribadi.

That’s all… If you still have some problem or questions, you can come and see me again.” Ayat penyudah itu menyapa telinga.

Maka, buku catatan itu aku tutup dan menyimpannya semula ke dalam beg galas bersama sebatang pen hitam yang digunakan untuk menulis.

Thank you, Prof. Lewandowski. I really got stuck around forty percent along the way,” ujarku berterima kasih.

Prof. Richard mengangguk. “Once you understand the concept and requirement, I’m sure your research could be submitted before the dateline.”

Aduh, sakit kepala juga nak siapkan research ni. Kajiannya minor aje tapi susahnya mengalahkan buat projek besar. Bukan setakat memeningkan kepala, boleh memintalkan urat saraf sekali.

Individual research macam nilah. Everything has to be done alone. Terpaksa jadi ‘lone-ranger’. Mujur bukan Power Rangers.

Teringat aku pada seseorang yang amat meminati cerita itu sewaktu dia masih kecil.

Oh no!

Terus aku menarik nafas perlahan-lahan.

Sebelum ingatan itu pergi lebih menjauh, membawa aku hanyut melayari kenangan lama, aku perlu mengingati diri di mana tempatnya aku berada sekarang.

Selesai perjumpaanku dengan Prof. Richard, aku berkira-kira hendak ke kedai buku kampus di bangunan Harry Jack Gray Center. Ada satu dua buku yang disarankan oleh Prof. Richard tadi. Buku-buku itu boleh membantu dalam menyiapkan research yang sedang aku jalankan ketika ini.

“Leen!”

Ada orang memanggilku?

Tika itu aku baru sahaja melepasi pintu keluar Charles A. Dana Hall yang letaknya bersebelahan dengan United Technologies Hall – bangunan untuk College of Engineering, Technology, and Architecture. Kedua-dua Hall bersama dengan Biology-Chemistry Building terletak di dalam kompleks yang sama iaitu Integrated Science, Engineering, and Technology Complex atau dikenali juga dengan nama ISET.

Aku agak teragak-agak untuk memberi reaksi pada panggilan itu. Bukannya apa, bimbang kalau aku tersilap dengar. Bimbang itu hanya imaginasiku. Apa yang akan berlaku kalau nama yang dipanggil itu bukan ditujukan padaku?

So, tak perlulah aku nak perasan di tengah walkway begini yang diriku ini sedang dipanggil ‘peminat’. Mungkin nama pendek itu ditujukan pada somebody yang bernama Linda. Ataupun Lindsay…Tak pun Angeline…

“Leen!”

Nama yang senada dan seirama dengan namaku itu di laungkan lagi. Hendak berpaling atau tidak?

Hey!

Satu sentuhan mendarat di bahu. Tersentak! Melayang separuh dari semangatku. Degup jantungku berlari laju. Betapa terkejutnya aku disapa seperti itu dalam keadaan fikiran yang galak memikir. Lantas aku menoleh ke sisi.

Puteri Jelita.

I was calling for you, you know…” Katanya bersama riak tidak puas hati. Marah barangkali aku tidak melayan panggilannya. Malah membiarkan dia melaung-laung sendirian.

“Maaf…” pohonku dengan wajah bersalah. Sedar kesalahan yang telah aku lakukan walaupun bukan dengan sengaja.

Aku menyambung kata, “Aku ingatkan bukan aku orangnya.”

Dalam pada itu, aku diserbu rasa hairan. Hairan kerana dipanggil oleh Puteri Jelita. Kami jarang hendak berbual. Kalau terjumpa di mana-mana sekalipun, hanya senyuman yang seringkali dihulurkan sebagai sapaan.

Jadi, apabila dipanggil dan dicari seperti ini, adalah sedikit aneh keadaannya.

Of course I panggil you,” tuturnya sambil menguis rambut lurusnya ke belakang. Ada persamaannya dengan  iklan syampu yang selalu aku lihat di kaca TV. Dia pernah menjadi model ke?

Anyway, I nak tanya. You tahu tak Kammy di mana? Almost all day I tried looking for her…

“Kammy?” Ada apa dia mencari Kammy?

“Kenapa kau cari dia?” Aku menyoal. Bukan nak busybody tapi sekadar bertanya ingin tahu.

There’s something I want to ask her.”

Begitu rupanya…

“Dia ada di rumah, petang ni dia tak ada kelas,” maklumku lancar. Memang telah aku hafal rutin hidup Kammy seperti mana dia juga yang telah maklum dengan jadualku.

“Erm.. kalau begitu, boleh bagi I phone number dia?” pintanya.

“You tak ada nombor dia?” soalku pula. Padahal sudah terang-terang Puteri meminta. Sudah semestinya dia tiada nombor telefon Kammy. Soalan yang langsung tak layak untuk disoal…

Dia mengeluh. Nafasnya dilepas agak kasar. “Kalau I ada, takkan I nak minta…”

Pantas aku mencari handphone di dalam poket kot. Memang aku tak rajin nak menghafal nombor telefon sesiapa. Selalunya tugas itu diserahkan pada phonebook sahaja. Kerja pun mudah. Kalau emergency dan handphone tak dapat digunakan, masih ada buku telefon yang aku simpan di dalam beg. Sebagai langkah keselamatan.

Thanks,” ucapnya setelah selesai menyalin nombor telefon Kamilia ke dalam telefonnya.

I’ll leave you then. See you later..” Dia beredar dari situ dalam gerak langkah yang pantas. Seolah mengejar sesuatu.

Bye…” ucapku perlahan meski aku sedar dia sudah jauh untuk mendengar ucapanku.

»»  read more

Kasih Seharum Lavender – Bab 10

Posted by Unknown on 16 October 2011. Filed under: ,
No Comments »


NAK sikit coklat,” Pinta Lynn sambil menadahkan tangan.

Plastik coklat M&M itu aku terbalikkan ke bawah, di atas tangannya. Tiada isi yang keluar. Aku meneropong ke dalam plastik. Kosong.

“Dah habis…” Aku mencapai tisu di dalam beg galas. Lalu mengelap warna coklat yang terlekat di tangan. Nama saja - melt in your mouth, not in your hands, tapi , cair juga di tangan.

“Tak aci, aku baru makan sikit. Kau makan banyak,” Protesnya. Mukanya masam mencuka.

Aku mempamerkan riak muka bersalah. Aku tidak sedar langsung coklat itu sudah habis. Semuanya gara-gara terlalu leka mendengar Lynn bercerita pasal kawannya tanpa henti dari tadi. Aku, selaku pendengar setia dengan mulut tidak bersuara, mengunyah sajalah kerjanya; satu demi satu bebola coklat itu disumbatkan ke dalam mulut.

Sorry. Aku tak sedar dah habis. Kau tu bercerita panjang sangat. Rasa macam makan popcorn sambil tengok wayang. Asyik…” Ujarku dengan diiringi ketawa kecil. Sengaja mengusiknya.
Lynn mencebik.

“Kalau macam tu, kau tak payah pergi tengok wayang lagi lah. Kau bagi aje duit tiket wayang tu kat aku. Tiap-tiap malam aku boleh cerita kat kau. Pilih aje nak dengar cerita apa. Casablanca? Titanic? Lord Of The Ring? Star Wars?” Balasnya.

Dia tersengih seperti kerang busuk. Pandai dia mengenakan aku balik. Bijak, bijak. Agaknya, masa kanak-kanak dulu, mamanya selalu beri dia minum susu Everyday..

Perubahan mendadak berlaku dalam hubungan aku dan Lynn. Daripada dua orang insan yang sentiasa dingin di antara satu sama lain, kami menjadi sahabat baik. Semuanya berubah setelah kami berbaik-baik semula beberapa minggu yang lalu. Sungguh tidak disangka.

Dan kini, bilik kami tidak lagi sunyi dan sepi. Sentiasa terisi dengan celoteh kami berdua. Acapkali juga, kami akan bertukar-tukar cerita tentang diri masing-masing sebelum tidur. Saling mengenali di antara satu sama lain. Alhamdulillah… tiada lagi perasaan marah dan ‘berangin’ yang membalut hatiku.

Kadang-kadang aku hairan. Bagaimana dulu kami boleh tinggal sebilik tanpa bercakap walau sepatah. Jangankan nak bercakap, memandang muka dia pun aku tidak ingin. Tapi sekarang, hilang saja muka dia di rumah, mulalah aku sibuk bertanya di mana dia berada. Benarlah kata orang, mula-mula benci, lama-lama jadi suka.

Orang yang paling gembira dengan perubahan ini, sudah tentulah Kak Ayu dan Kak Syima. Tidak sudah-sudah mereka menasihati kami agar meneruskan hubungan baik yang telah terjalin ini. Menasihati kami agar tidak sekali-kali bersikap seperti dahulu – bergaduh hanya kerana hal remeh-temeh.

Setelah mengenalinya, barulah aku tahu Lynn tidaklah seteruk yang aku sangka. Walaupun dia banyak menunjukkan sikap sombongnya dahulu, tapi sebenarnya tersembunyi sikap lain yang membuatkan aku senang bersahabat dengannya.

“Dah lama tunggu?” Sapa seseorang.

Serentak kami berdua menoleh ke belakang. Wajah Fariza menyapa. Peluh kelihatan memercik di dahinya. Bagaikan baru lepas berlari. Barangkali kelasnya baru sahaja tamat lalu dia bergegas dengan cepat ke kafeteria universiti.

Semalam, Fariza mengajak kami berdua menemaninya ke Loch Street. Kami terus bersetuju. Memandangkan Fariza habis kelas sejam lebih lewat daripada kami berdua, kami berjanji untuk menunggu di kafeteria. Dan, dari kafeteria, kami akan pergi bersama-sama.

“Lama tak lama, habislah satu bungkus coklat M&M,” Jawabku kepadanya. Beg galas kusandangkan ke bahu. Aku bangun dari kerusi. Bersedia untuk bertolak.

Kami mengorak langkah. Sepanjang perjalanan, bermacam-macam perkara kami bualkan. Dari sekecil-kecil berita panas di universiti hinggalah ke sebesar-besar berita tentang kejadian yang berlaku di seluruh dunia. Sebagai seorang pelajar universiti, perkembangan hal-ehwal dunia perlu juga diambil tahu.

Keadaan di sekitar Loch Street agak lengang saat kami tiba. Tidak banyak kereta mahupun pengunjung. Mungkin kerana hari ini hari bekerja jadi tidak ramai pengunjungnya. Apatah lagi, Loch Street bukanlah tempat tumpuan perniagaan utama. Tiada bangunan pejabat di sini. Hanya kedai-kedai menjual pelbagai barangan yang teguh menyokongnya.

Selain dari penduduk setempat yang kelihatan, ada juga beberapa orang pelajar sedang berjalan di sepanjang sidewalk yang memanjang sehingga ke penghujung jalan. Meninjau-ninjau melalui cermin kaca setiap kedai, barang yang dipamerkan. Nampaknya bukan kami sahaja yang ingin menghabiskan waktu petang di sini.

“Aku nak tengok baju. Kita masuk butik depan tu,” Ujar Fariza. Sebuah kedai butik berpapan tanda ‘Welly’s Attire’ menjadi tumpuan langkahnya. Aku dan Lynn mengekori dari belakang.

Tujuan utama kami ke sini semata-mata menemankan Fariza. Mana saja kedai yang dimasukinya, terpaksalah kami ikut. Hatta ke tandas sekalipun, kami akan turuti jua. Kiranya untuk hari ini, kami menjadi pengawal dia . Seronok juga, boleh berangan jadi Special Agent untuk sementara waktu.

Kedatangan kami disambut oleh seorang pelayan butik. Mungkin dia pemilik butik tersebut. Senyuman memekar indah di wajahnya. Fariza menjadi rambang mata melihat deretan baju-baju yang tergantung di rak. Pelbagai corak dan warna. Aku yang datang sebagai special agent pun, berpinar-pinar mata melihatnya. Dua helai baju berwarna biru dan merah dicapainya dan dibawa ke bilik persalinan.

Sebelum menarik langsir, dia berpesan,

“Kau orang tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana.”

“Kalau kau posing maut dalam tu lebih dari setengah jam, kita orang blah.” Lynn memberikan amaran. Dia tersenyum penuh makna memandangku. Kemudian, dilabuhkan punggungnya di sofa kecil merah.

Aku ketawa kecil mendengar ancaman Lynn. Saja dia nak kenakan Fariza. Pelayan butik itu yang mendengar perbualan mereka, tercengang-cengang. Manalah dia faham apa yang mereka katakan. Ajaiblah kiranya, seandainya pelayan itu tahu berbahasa Melayu.

Sehelai sweater berjaya mencuri tumpuanku. Cantik! Hasil buatan tangan yang halus. Kagum aku dengan sesiapa yang mengaitnya. Mengait benang kapas untuk dijadikan sweater bukannya kerja mudah. Memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

“Cantiknya,” Ujar Lynn. Tidak sedar bila masanya dia berdiri di sebelahku.
“Memang cantik.” Aku mengiakan. Jari-jemariku membelai kesempurnaan teksturnya. Nampaknya, Lynn turut ‘tergoda’ dengan kecantikan sweater yang aku pegang kerana dia turut melarikan jari-jemarinya di permukaan sweater itu.

“Belilah,” Usulnya.

Aku berfikir sebentar. Di kepalaku, terbayang sekeping kertas. Siap dengan debit dan kredit. Lancar otak kiriku mengira baki yang tinggal untuk bulan ini. Setelah selesai dicampur dan ditolak, rasanya aku masih lagi mempunyai lebihan wang. Satu petanda baik. Hajatku untuk memiliki sweater itu akan tercapai.

“Aku ambiklah. Rugi rasanya kalau tak beli.” Aku membuat keputusan. Lancar tanganku meleraikan penyangkut baju yang digunakan untuk menyangkutkan sweater itu.

Kemudian aku menoleh kepada Lynn di sisi.

“Kau tak nak beli apa-apa ke?” Soalku.

Lynn lantas mengunjukkan sehelai sweater yang tersangkut di tangan kirinya. Tidak kurang cantik juga. Sweater pilihannya itu bercorak abstrak. Gabungan tona warna biru dan kuning cair. Lembut saja mataku melihatnya.

“Mana boleh kau dengan Iza aje yang beli? Putih matalah aku macam tu,” Ujarnya dalam sengihan.

Jealous lah tu…” Usikku.

Yes, of course,” Jawabnya berdrama. Dia tersenyum kecil.

Kami berdua menyerahkan sweater dan wang kepada pelayan tersebut. Dan, pelayan itu segera berlalu ke kaunter menjalankan urusannya. Membungkus kedua-dua sweater dan menyediakan baki bayaran untuk kami.

“Jom duduklah. Lenguh berdiri lama-lama.” Aku bersuara lalu melangkah ke arah kerusi kosong. Lynn mengekor dari belakang.

“Hani… Apa kata nanti kita tukar sweater tu?” Perlahan suara Lynn menampar cuping telingaku. Segera aku berpaling menghadapnya. Permintaannya itu benar-benar membuat aku keliru.

“Lah… kenapa tak cakap kau suka sweater tu? Kalau kau cakap tadi, aku boleh bagi pada kau…”

“Bukan itu maksud aku,” Tingkahnya.

“Habis?” Sepatah aku bertanya.

“Maksud aku, bila-bila masa kau nak pinjam sweater aku tu, minta aje. And I’ll do the same. Macam mana?” Soalnya sambil menjungkitkan kening. Meminta persetujuan dariku.

Aku terdiam sebentar. Menimbang-nimbang ideanya. Ah, apalah salahnya…

Akhirnya aku bersetuju, “Okey.”

Senyuman kami bertaut. Dalam pada itu, pelayan tadi kembali semula bersama dua buah beg kertas dan pulangan wang baki.

“Ada tak setengah jam aku kat dalam tu?” Fariza menyoal sesudah keluar dari bilik persalinan. Diserahkan baju berwarna merah yang telah dicuba kepada pelayan yang setia menanti.

I’ll take this one.” Baju berwarna biru pula diserahkan kepada pelayan itu. Lalu pelayan butik itu bergegas ke kaunter pembayaran bersama baju yang dipilih Fariza.

“Cepatnya kau keluar. Kau buat aksi Charlie Chaplin ke?” Soalku sambil tersengih.

“Aku nak beritahu kau orang, tapi janji korang takkan beritahu sesiapa.” Fariza berbisik tiba-tiba. Lagaknya seperti apa yang bakal disampaikannya merupakan rahsia besar.

Aku dan Lynn yang kehairanan dengan bisikannya, pantas menganggukkan kepala. Didekatkan bibirnya ke telinga kami berdua. Telinga kami sedia menadah suaranya yang akan keluar pada bila-bila masa…

“Dulu aku bercita-cita nak jadi pengganti Charlie Chaplin,” Katanya perlahan. Beberapa saat kemudian, dia menghamburkan tawa.

Ceh! Ingatkan benda serius apalah yang nak dibisikkan. Bila difikir balik, betul juga. Kalau dia cakap Melayu pun, bukannya ada orang faham. Tidak perlu berbisik-bisik.

“Macam sungguh-sungguh nak bagi tau rahsia.” Lynn menampar lembut bahu Fariza. “Kami tunggu kat luar.”

Fariza melangkah ke kaunter membuat bayaran manakala aku dan Lynn menuju ke pintu utama butik. Sesuatu yang menyapa pandangan mataku membuatkan aku berhenti secara tiba-tiba di luar pintu. Dari ekor mataku, aku lihat Lynn turut mematikan langkahnya. Bagaikan terpukau dengan apa yang kami saksikan ketika itu.

Do you see what I see?” Soalku perlahan tanpa memandang wajah Lynn.

Yes,” Jawabnya juga dalam nada perlahan.

“Aku rasa macam nak lorek aje kat lamp post tu – Lynn was here,” Katanya tanpa mengalihkan anak matanya dari tiang lampu yang terpacak di ruang pejalan kaki. Tiang lampu yang meninggalkan kenangan dalam diri kami berdua. Yang mengabdikan saat-saat bermulanya persahabatan kami.

Not Lynn was here. Lynn’s forehead was here,” Tukasku sambil ketawa. Dia turut ketawa bersamaku. Memori…
»»  read more

Kasih Seharum Lavender – Bab 9

Posted by Unknown on 27 September 2011. Filed under: ,
No Comments »

 

TERNYATA Lynn mengotakan janjinya. Apa yang dia lafazkan bukan sekadar omongan kosong. Sampai empat hari berturut-turut, telingaku tidak pernah lekang dari mendengar kata-kata maaf darinya. Semalam, dia meletakkan sekeping sampul surat berwarna merah jambu yang berisi kad yang tertulis ‘I’m sorry’ di atas meja belajarku. Dia benar-benar berhempas-pulas supaya aku memaafkannya. Aku dulu pun tidaklah segigih dia begini.

 

Sedikit pun aku tidak memberikan tindak balas di atas usahanya itu. Reaksiku, pH neutral. Keasidan tidak, kealkalian pun tidak. Walaupun pada hakikatnya, hatiku nan satu ini sudah pun lembut. Biasalah, bak kata orang, hati perempuan umpama kerak nasi. Lambat-laun, akan lembut juga.

 

Tetapi, aku saja nak tunjuk keegoanku. Ingin menduga sejauh mana dia sanggup berusaha. Bukan senang nak jumpa perempuan yang sanggup memujuk perempuan lain sampai begini. Siap dengan kad sekali. Kalau lelaki nak pujuk perempuan, tidak usah cakaplah… dah naik lali mata ni menengok.

 

Hari ini, kelas tamat lebih awal dari hari biasa. Kata profesor, dia mempunyai urusan yang perlu dibereskan. Ramai pelajar yang seronok menerima khabar berita itu. Riak wajah masing-masing penuh dengan keceriaan apabila melangkah keluar dari kelas. Itu bagi mereka, tetapi aku tidak.

 

Kebetulan hari ini, Fariza terpaksa pulang lewat ke rumah. Dia perlu berjumpa dengan teman sekursusnya untuk menyiapkan kerja berkumpulan mereka. Kak Syima dan Kak Suzi hanya akan habis kelas pada pukul 6 nanti. Kak Ayu pula nak ke rumah kawan petang ini. Dan, mungkin akan bermalam di sana.

 

Apa yang aku hendak buat kalau balik rumah sekarang? Mesti bosan kerana tidak ada sesiapa di rumah nanti.

 

Aku melihat jam tangan seimbas lalu. Baru pukul tiga petang. Kalau hendak menapak ke perpustakaan, buat masa ini semangatku untuk menelaah tiada. Buang masa saja kalau pergi pun.

 

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di bandar berdekatan untuk mencuci mata. Untung-untung, ada barang menarik yang boleh dibeli. Lagipun, rasanya sudah lama aku tidak membeli-belah. Masa mula-mula menjejakkan kaki dulu, ada juga aku ke sana. Tapi, sejak kebelakangan ini aku sudah jarang ke bandar(nama bandar) semenjak diri sering dirantai dengan tugasan yang menimbun.

 

Aku membawa langkah kaki menyusuri deretan kedai-kedai yang tersergam indah di sepanjang kiri dan kanan jalan utama di dalam bandar itu. Sudah dua tiga kedai aku lewati, namun tiada satu pun yang menarik minatku. Semasa asyik menjamu mata, aku terperasan kelibat seseorang di belakangku. Rasa-rasanya dari tadi dia mengekori aku.

 

Sudah… dia hendak menculik aku ke? Rompak? Rogol? Atau paling teruk, bunuh? Ya ALLAH, Kau lindungilah hamba-Mu ini, aku berdoa. Dadaku berdebar serta-merta. Perasaan takut melanda. Segera aku mematikan langkah dan berpaling untuk melihat manusia tersebut.

 

Lynn! Alangkah leganya. Rentak jantungku kembali perlahan.

 

Dia berseorangan. Dilemparkan sebuah senyuman padaku. Langkahnya diatur pantas menghampiri aku yang berdiri terpacak di hadapan sebuah butik.

 

Tidak kubalas senyumannya itu. Mataku merenungnya dari atas ke bawah. Aku tidak percaya dia juga berada di sini. Bila masa pula aku upah dia jadi pengawal peribadi tidak rasmiku? Adakah dia sengaja mengekoriku atau memang dia membeli-belah di bandar ini?

 

“Sorang saja?” Soalnya ramah. Dia berdiri tegak di hadapan mataku.

 

Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Adat orang Melayu yang tinggi budi bahasa, sentiasa begitu. Walaupun sudah terang lagikan bersuluh, masih mahu bertanya.

 

Aku memandang sekeliling, berpura-pura mencari kawanku yang tiada di sisi. Dia ketawa besar melihat tingkahku.

 

“Tak payah berpura-pura. Awak memang seorang diri,” Katanya dalam ketawa yang masih bersisa.

 

Tahu pun dia. Saja aku malas nak menjawab soalannya. Biar dia yang jawab sendiri. Aku meneruskan langkah yang terhenti sebentar tadi. Pandanganku diliarkan ke setiap kedai.

 

“Awak masih marahkan saya?” Soalnya lagi. Beriringan dia berjalan denganku. Dia ni memang tidak tahu menyerah kalah. Aku respect sungguh. Kalau aku… dah lama aku ucapkan selamat tinggal.

 

Aku tidak melayan soalannya. Berpura-pura taksub dengan deretan kedai yang kami lewati. Dia bergerak sedikit ke hadapan. Kali ini, dia berjalan dengan memusingkan badannya , membelakangkan para pejalan kaki. Hendak mengambil perhatian akulah itu.

 

“Saya minta maaf,” Pohonnya lagi. Sesekali dia menoleh ke hadapan. Memastikan tiada orang yang berada di laluannya.

 

Aku cuba menahan senyum yang ingin terlukis di bibir. Hati ini bagai digeletek melihat dia bersungguh begitu. Sanggup berjalan melawan arus di tengah-tengah bandar ini. Dua tiga orang yang lalu-lalang sempat mencuri pandang ke arahnya. Dia buat muka selamba saja.

 

“Saya benar-benar minta maaf,” Sekali lagi dia memohon. Kini, jaraknya agak jauh dariku kerana dia berjalan agak pantas.

 

Tiba-tiba, aku tersedarlaluannya sudah berubah. Dia semakin melencong ke arah sisi jalan.

 

Segera aku menjerit padanya, “Lynn, watch out!

 

Malangnya, amaranku terlambat. Sebaik sahaja dia memusingkan tubuhnya menghala ke hadapan semula…

 

Buk! Mukanya mencium sebatang tiang lampu yang berdiri megah di tepi laluan. Dia terawang-awang seketika. Tangannya segera menyentuh dahinya yang berlaga tadi. Digosoknya perlahan.

 

Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkannya. Cemas menguasai diri. Takut dia mendapat luka serius. Janganlah dia pengsan kat sini. Aku berdoa di dalam hati. Setakat berdarah, aku boleh uruskan lagi.

 

“Lynn, kau tak apa-apa ke?” Aku menyoal tatkala aku di sisinya. Perasaan bersalah mula berputik di hati. Seandainya aku memaafkan dia tadi, tentu tidak terjadi perkara macam ni. Kesal menghimpit jiwa yang sudah diselubungi cemas.

 

“Tak pasti…” Jawabnya perlahan. Tangannya masih lagi mengosok dahi.

 

Aku menggawangkan tangan di hadapan matanya. Memastikan dia berada di dalam keadaan sedar.

 

“Ini berapa?” Soalku. Aku menegakkan jari tengah dan jari telunjuk.

 

“Dua.”

 

Nampaknya dia sedar. Aku mengalihkan tangannya yang mengosok dahi. Cuba melihat kecederaan yang dialaminya. Nasib baik tiada luka dan tak berdarah. Cuma bengkak sedikit. Aku mengajaknya duduk di kerusi yang tersedia di situ. Disebabkan keadaannya yang masih pening-pening lalat, aku terpaksa memapahnya.

 

“Dahi kau bengkak,” Ujarku. Aku menghembus di tempat yang bengkak itu. Untuk mengurangkan benjol di dahinya. Kalau di rumah, boleh didemah dengan kain. Kalau di sini, susah sedikit untuk melakukannya.

 

“Teruk ke?” Soalnya. Sesekali terdengar dia mengaduh kesakitan. Kesian dia!

 

“Tak sangat.”

 

“Ada darah?”

 

“Tak ada. Nasib baik.”

 

Kami masing-masing mendiamkan diri buat seketika. Namun, aku masih meniup dahinya yang benjol itu agar cepat surut.

 

“Maaf. Sebab aku, kau jadi begini,” Kataku perlahan. Perasaan kesal bertimpa-timpa di hati.

 

“Eh, bukan salah kau. Aku yang jalan tak tengok depan. Salah aku. Tak ada kena-mengena dengan kau,” Tingkahnya.

 

“Tapi kalau aku maafkan kau, mesti accident ni tak terjadi.”

 

Don’t blame yourself. Benda dah nak jadi. Nak buat macam mana.”

Kami terdiam lagi.

 

“Aku dah maafkan kau.” Perlahan aku menuturkan ayat.

 

“Kejam betul. Aku dah sakit begini, baru nak maafkan,” Katanya dalam nada pura-pura sedih.

 

No offense. Saja nak mengusik.” Cepat-cepat dia menambah. Senyuman lebar terukir di wajahnya.

 

Aku membalas senyuman itu. Sesungguhnya di saat ini, sisa-sisa kemarahan dan sakit hatiku padanya telah hilang. Bertukar dengan perasaan risau dan keinginan untuk memulihkan hubungan kami. Sekaligus mengenalinya dengan lebih dekat. Harapanku biarlah segala memori hitam antara aku dan dia akan terus terkunci rapat di dalam dasar memoriku. Tidak ingin kuingat dan kenang semua peristiwa lama. Dan aku dapat merasakan dia juga berperasaan begitu.

 

“Maaflah… sebenarnya dah lama aku maafkan kau. Tapi saja nak tengok setakat mana kau nak berusaha.” Aku berterus-terang.

 

“Betul?” Soalnya seperti tidak yakin. Lynn merenung anak mataku sedalam-dalamnya. Mencari kepastian.

 

Aku mengangguk.

 

“Jadi… kosong-kosong lah ye. Kita mulakan balik persahabatan kita. Kalau boleh aku nak lupakan semua kenangan pahit kita dulu. Setuju?” Aku bertanya. Sebuah senyuman terukir buatnya.

 

“Setuju.” Dia menyatakan persetujuan. Kepalanya dianggukkan.

 

“Nur Irdina Farhani,” Aku memperkenalkan diri padanya. Memulakan hubungan baru kami.

 

“Nurul Adlyn,” Ujarnya pula.

 

Kami berbalas senyuman. Sempat aku melihat benjol di dahinya yang telah surut sedikit. Serta-merta, perasaan lega bercambah di hati.

 

“Kita pergi klinik, nak?” Pelawaku.

 

Walaupun secara fizikal tiada apa-apa kesan teruk, aku risau kalau-kalau ada kecederaan dalaman. Apatah lagi, perlanggaran tadi bersangkut-paut dengan kepala. Bahaya!

 

“Tak payahlah. Sikit aje rasanya.”

 

Are you sure?” Tekanku.

 

Dia mengangguk.

 

“Selalunya tengok orang langgar tiang kat dalam TV aje. Tapi hari ini, terjadi kat diri sendiri. Tak sangka betul,” Kkatanya sambil menggelengkan kepala seperti tidak percaya.

 

“Seronoklah kau, boleh tengok siaran langsung,” Tambahnya.

 

Aku menatap wajahnya. Serius ke dia? Aku nak ketawa rasanya mendengar dia berkata begitu. Sedaya upaya, aku cuba bertahan. Tidak elok ketawakan orang yang ditimpa musibah. Lagipun, nanti apa katanya jika aku mentertawakan dia. Silap-silap haribulan, perang dingin kedua melanda.

 

Dia juga seperti sedang berusaha menahan tawa. Sebuah senyuman kecil terlepas dari bibirnya. Kemudian, perlahan-lahan senyuman itu bertukar menjadi semakin lebar. Dan akhirnya kami berdua menghamburkan tawa di situ.


»»  read more

Kasih Seharum Lavender – Bab 8

Posted by Unknown on 26 September 2011. Filed under: ,
1 Comment

TIGA hari telah berlalu semenjak kehilangan diari Lynn. Hubunganku dengan yang lain tetap seperti dulu. Seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Sekembalinya ke rumah malam aku melarikan diri itu, Kak Ayu berkali-kali memohon kemaafan. Memohon maaf atas keterlanjurannya ‘menyoal-siasat’ diriku. Aku bersyukur kepada ALLAH kerana mengembalikan kepercayaan mereka terhadapku. Dan juga kerana melindungi hati mereka dari terpengaruh dengan tuduhan Lynn yang tak berasas.

Sejak kejadian itu, aku lihat Lynn semakin menjauhkan diri. Bukan sekadar menjauhkan diri dariku, tetapi juga dengan mereka semua. Tiga malam berturut-turut dia mengurungkan diri di dalam bilik. Jika keluar pun hanya sekejap. Sekadar untuk mengambil makanan atau minuman di dapur. Malukah dia kerana rancangannya tidak berjaya?

Ada ketikanya aku kasihan melihat dia begitu. Bagaikan orang terasing di rumah ini. Silapnya juga. Dia yang rela hati memilih untuk menjauhkan diri. Padahal, mereka yang lain tidak pernah menunjukkan rasa tidak suka atau kurang senang dengan kehadirannya. Baru semalam, Kak Ayu menjengoknya di bilik. Risau dengan sikapnya dua tiga hari kebelakangan ini.

“Hani,” Lembut suara seseorang menyapa di telinga.

Aku mendongakkan kepala. Terhenti nafas seketika apabila seraut wajah menyapa pandangan mata. Tidak berkelip mataku merenung dia yang berdiri terpacak di depanku.

Panjang umur sungguh! Baru diingat-ingat, dia sudah muncul. Bahaya macam ni… Aku kena lebih berwaspada bila memikirkan tentang dia selepas ni.

Apa mahunya? Kehadirannya yang secara tiba-tiba ini, amat mengusarkan hatiku.

“Boleh saya duduk?” Soalnya.

Aku tidak menjawab. Berfikir sebentar. Menimbang buruk-baiknya membenarkan dia berada dekat di sisiku. Mungkin aku perlu mendengar apa yang mahu dikatakannya. Buku-buku yang berada di sebelah, kualihkan ke atas riba. Juga sebagai isyarat membenarkan dia duduk di situ.

Pada mulanya, dia kelihatan sedikit teragak-agak. Tidak pasti sama ada mahu duduk ataupun tidak. Namun, setelah aku memberi isyarat supaya dia duduk, barulah dia berbuat begitu.

Aku menanti dia berkata-kata tetapi dia mendiamkan diri. Entah apa yang sedang difikirnya. Timbul rasa takut di hatiku. Takut seandainya ini merupakan salah satu dari senarai ‘pembalasan dendam’nya. Beranikah dia melunaskan dendamnya di kawasan universiti ini? Di hadapan pelajar yang lalu-lalang?

Apa susah? Aku jerit saja nanti kalau dia betul-betul hendak menuntut bela. Pasti ramai ‘putera buku’ yang sudi menolong puteri yang cantik ini. Omelku di dalam hati.

“Saya nak minta maaf sebab menuduh awak ambil diari saya,” Satu-persatu ayat itu terlontar dari mulutnya yang merah bak delima merekah itu.

Tergamam aku seketika. Kugosok-gosok telinga kiri yang dilitupi tudung hijau ini. Memastikan telinga yang menerima suaranya itu menghantar isyarat gelombang yang betul. Juga untuk memastikan agar tiada isyarat yang tersekat di mana-mana di sepanjang laluannya ke gegendang telingaku. Risau jugak kalau-kalau aku tersilap dengar.

“Diari tu… diari saya…” Berterabur ayat-ayatnya. Tersekat-sekat. Macam budak-budak baru belajar bercakap.

Aku setia menadah telinga. Tidak mahu menyampuk walau sepatah perkataan.

“Diari yang hilang tu, saya dah jumpa… Terjatuh di bawah katil. Saya tak perasan. Ingatkan diari tu saya letak atas meja study. Terlupa yang sebelum tidur malam tu, saya letak di sebelah bantal. I’m really sorry,” Terangnya lancar.

Aku tertanya-tanya sejauh mana keikhlasannya meminta maaf dariku dan tentang kebenaran ceritanya. Adakah kemaafan yang dipintanya itu datang dari hati yang benar-benar rasa bersalah atau sekadar untuk menutup kesalahannya? Aku tidak mempunyai sebarang jawapan. Dari sudut sisi begini, agak sukar untuk aku melihat reaksi dan kejujuran yang terlukis di wajahnya yang cantik itu.

Cantik. Adakah benar aku memujinya tadi? Kuakui Lynn seorang yang cantik. Berkulit putih cerah dan berwajah manis. Tudung yang dipakai, melindungi mahkotanya yang separas bahu dari pandangan mata orang lain.

“Mesti awak susah nak maafkan saya, kan?” Soalnya tiba-tiba. Mematikan gambaran aku tentang dirinya.
Aku masih mendiamkan diri. Tiada apa yang ingin aku katakan. Biarlah dia sahaja yang berceloteh seorang diri. Aku lebih memikirkan perasaanku yang berperang sesama sendiri. Suara hatiku membisikkan kata-kata bahawa Lynn jujur dengan pengakuannya manakala suara hatiku yang lain membangkang keras. Berkecamuk fikiran…

“Masa kita ‘accident’ dulu… bukan niat saya nak menengking awak. Tapi disebabkan fikiran saya yang keliru dan berserabut kerana masalah, tak pasal-pasal awak menjadi mangsa. Sepanjang hari, saya bad mood. Bila awak memalukan saya di café petangnya, lagi bertambah-tambah sakit hati saya. Saya bukannya sengaja nak langgar awak.” Dia memulakan cerita. Membuka kembali sejarah lama yang pernah tercatat dalam diariku. Hari penuh malang yang ingin aku hapuskan dari kotak memoriku ini. Sesekali dia menoleh ke arahku sekilas.

“Tiap kali tengok muka awak, saya mesti teringatkan semula kejadian di café. Dan tiap kali itulah saya rasa sakit hati. Waktu pertama kali menjejakkan kaki ke rumah sewa kita, sukar nak percaya yang awak bakal roommate saya. Walaupun hati ini berat tapi saya terpaksa juga tinggal di situ. Dan pada malam awak memperli saya, saya bertekad nak mengenakan awak. Saya berpakat dengan coursemate saya untuk menghadiahkan awak lalat tu dan sengaja membuat awak menunggu lama di park. Semata-mata untuk membuat awak marah.” Dia berhenti seketika. Menarik nafas panjang.

Akhirnya, dia mengaku juga di depanku. Botol lalat itu rupanya dikirim olehnya. Sekian lama aku menanti pengakuannya itu. Jadi, memang benarlah tekaanku selama ini.

“Malam awak kenakan saya balik…” Ingatanku melayang mengingati malam aku membalas balik perbuatannya. Masih segar di ingatan keadaan dia waktu itu. Terduduk di atas lantai dengan wajah penuh ketakutan. Terbit rasa bersalah di hati.

“Saya betul-betul takut. Mana taknya, masuk bilik aje nampak ‘hantu’. Rasa macam nak tercabut nyawa ni. Bertambah sakit hati saya bila awak pura-pura tak tahu apa yang terjadi. Esoknya… bila awak datang meminta maaf saya nekad takkan maafkan awak. Malangnya, kata-kata awak yang terakhir asyik terngiang-ngiang di telinga. Kemudian saya sedar, sedikit sebanyak saya juga bersalah dalam hal ni. Saya mula terfikir untuk cuba membaiki hubungan kita yang semakin tegang. Lepas tu, secara tiba-tiba diari saya hilang. Saya ingatkan awak yang ambil. Saya dah tak terfikir nak siasat dahulu. Disebabkan rasa marah, saya beritahu Kak Ayu, awak ambil diari tu. Salah saya… Saya minta maaf. Saya benar-benar minta maaf.” Panjang lebar dia meluahkan isi hatinya.

Kerana itukah dia mengasingkan diri? Kerana dia tahu dia bersalah menuduh aku tanpa bukti? Bolehkah aku memaafkan dirinya setelah apa yang dia lakukan? Aku tidak pasti. Yang pasti, buat masa sekarang, hati aku belum terbuka untuk memaafkannya walaupun kadangkala aku simpati dengannya. Aku tidak dapat melupakan sakitnya hati yang aku rasai di saat dia menaburkan fitnah dulu.

“Kak Ayu dah tahu awak tak bersalah. Saya dah beritahu dia semalam,” Ujarnya lagi.

“Baguslah,” ujarku sepatah sambil mataku leka memerhatikan pelajar yang lalu-lalang. Seolah-olah apa yang dikatakannya itu sedikit pun tidak memberi impak padaku. Patutlah lama benar Kak Ayu di bilikku semalam. Mesti dia kena ‘brainwash’.

“Saya tak pinta awak maafkan saya sekarang sebab saya tahu awak masih marahkan saya. Tapi, saya akan meminta maaf dari awak setiap hari sampai awak maafkan saya. Macam awak buat pada saya dulu.” Dia melemparkan senyuman.

Terbeliak mata aku mendengar butir-bicaranya. Minta maaf tiap-tiap hari? Biar benar dia ini. Bersungguh-sungguhkah dia? Benar, aku ada meminta maaf padanya dulu. Selama tiga hari berturut-turut, tapi sedikitpun dia tidak peduli. Semenjak itu, aku sudah berputus asa.

Bagus juga dia berjanji begitu. Boleh aku lihat sejauh mana dia sanggup berusaha untuk mendapatkan kemaafan dariku. Secara tidak langsung, aku dapat menduga keikhlasan hatinya ingin memulihkan hubungan kami.

“Dah habis? Saya perlu ke library.” Lantas aku berdiri sambil mengendong buku-buku di tangan. Tanpa melihat reaksinya, aku berlalu pergi. Lagakku umpama tiada perkara penting yang dikatakannya.

Bukan maksudku untuk bersikap kurang ajar seperti itu. Cuma aku mahu dia tahu apa yang aku rasa bila dia melayan aku begitu sedikit masa dulu. Bukan juga untuk membalas dendam. Sekadar untuk peringatan agar dia tidak mengambil mudah akan perasaanku. Dan agar dia benar-benar menghargai persahabatan yang mungkin akan terjalin di antara kami nanti.

»»  read more