Kasih Seharum Lavender – Bab 10

Posted by Unknown on 16 October 2011. Filed under: ,
No Comments »


NAK sikit coklat,” Pinta Lynn sambil menadahkan tangan.

Plastik coklat M&M itu aku terbalikkan ke bawah, di atas tangannya. Tiada isi yang keluar. Aku meneropong ke dalam plastik. Kosong.

“Dah habis…” Aku mencapai tisu di dalam beg galas. Lalu mengelap warna coklat yang terlekat di tangan. Nama saja - melt in your mouth, not in your hands, tapi , cair juga di tangan.

“Tak aci, aku baru makan sikit. Kau makan banyak,” Protesnya. Mukanya masam mencuka.

Aku mempamerkan riak muka bersalah. Aku tidak sedar langsung coklat itu sudah habis. Semuanya gara-gara terlalu leka mendengar Lynn bercerita pasal kawannya tanpa henti dari tadi. Aku, selaku pendengar setia dengan mulut tidak bersuara, mengunyah sajalah kerjanya; satu demi satu bebola coklat itu disumbatkan ke dalam mulut.

Sorry. Aku tak sedar dah habis. Kau tu bercerita panjang sangat. Rasa macam makan popcorn sambil tengok wayang. Asyik…” Ujarku dengan diiringi ketawa kecil. Sengaja mengusiknya.
Lynn mencebik.

“Kalau macam tu, kau tak payah pergi tengok wayang lagi lah. Kau bagi aje duit tiket wayang tu kat aku. Tiap-tiap malam aku boleh cerita kat kau. Pilih aje nak dengar cerita apa. Casablanca? Titanic? Lord Of The Ring? Star Wars?” Balasnya.

Dia tersengih seperti kerang busuk. Pandai dia mengenakan aku balik. Bijak, bijak. Agaknya, masa kanak-kanak dulu, mamanya selalu beri dia minum susu Everyday..

Perubahan mendadak berlaku dalam hubungan aku dan Lynn. Daripada dua orang insan yang sentiasa dingin di antara satu sama lain, kami menjadi sahabat baik. Semuanya berubah setelah kami berbaik-baik semula beberapa minggu yang lalu. Sungguh tidak disangka.

Dan kini, bilik kami tidak lagi sunyi dan sepi. Sentiasa terisi dengan celoteh kami berdua. Acapkali juga, kami akan bertukar-tukar cerita tentang diri masing-masing sebelum tidur. Saling mengenali di antara satu sama lain. Alhamdulillah… tiada lagi perasaan marah dan ‘berangin’ yang membalut hatiku.

Kadang-kadang aku hairan. Bagaimana dulu kami boleh tinggal sebilik tanpa bercakap walau sepatah. Jangankan nak bercakap, memandang muka dia pun aku tidak ingin. Tapi sekarang, hilang saja muka dia di rumah, mulalah aku sibuk bertanya di mana dia berada. Benarlah kata orang, mula-mula benci, lama-lama jadi suka.

Orang yang paling gembira dengan perubahan ini, sudah tentulah Kak Ayu dan Kak Syima. Tidak sudah-sudah mereka menasihati kami agar meneruskan hubungan baik yang telah terjalin ini. Menasihati kami agar tidak sekali-kali bersikap seperti dahulu – bergaduh hanya kerana hal remeh-temeh.

Setelah mengenalinya, barulah aku tahu Lynn tidaklah seteruk yang aku sangka. Walaupun dia banyak menunjukkan sikap sombongnya dahulu, tapi sebenarnya tersembunyi sikap lain yang membuatkan aku senang bersahabat dengannya.

“Dah lama tunggu?” Sapa seseorang.

Serentak kami berdua menoleh ke belakang. Wajah Fariza menyapa. Peluh kelihatan memercik di dahinya. Bagaikan baru lepas berlari. Barangkali kelasnya baru sahaja tamat lalu dia bergegas dengan cepat ke kafeteria universiti.

Semalam, Fariza mengajak kami berdua menemaninya ke Loch Street. Kami terus bersetuju. Memandangkan Fariza habis kelas sejam lebih lewat daripada kami berdua, kami berjanji untuk menunggu di kafeteria. Dan, dari kafeteria, kami akan pergi bersama-sama.

“Lama tak lama, habislah satu bungkus coklat M&M,” Jawabku kepadanya. Beg galas kusandangkan ke bahu. Aku bangun dari kerusi. Bersedia untuk bertolak.

Kami mengorak langkah. Sepanjang perjalanan, bermacam-macam perkara kami bualkan. Dari sekecil-kecil berita panas di universiti hinggalah ke sebesar-besar berita tentang kejadian yang berlaku di seluruh dunia. Sebagai seorang pelajar universiti, perkembangan hal-ehwal dunia perlu juga diambil tahu.

Keadaan di sekitar Loch Street agak lengang saat kami tiba. Tidak banyak kereta mahupun pengunjung. Mungkin kerana hari ini hari bekerja jadi tidak ramai pengunjungnya. Apatah lagi, Loch Street bukanlah tempat tumpuan perniagaan utama. Tiada bangunan pejabat di sini. Hanya kedai-kedai menjual pelbagai barangan yang teguh menyokongnya.

Selain dari penduduk setempat yang kelihatan, ada juga beberapa orang pelajar sedang berjalan di sepanjang sidewalk yang memanjang sehingga ke penghujung jalan. Meninjau-ninjau melalui cermin kaca setiap kedai, barang yang dipamerkan. Nampaknya bukan kami sahaja yang ingin menghabiskan waktu petang di sini.

“Aku nak tengok baju. Kita masuk butik depan tu,” Ujar Fariza. Sebuah kedai butik berpapan tanda ‘Welly’s Attire’ menjadi tumpuan langkahnya. Aku dan Lynn mengekori dari belakang.

Tujuan utama kami ke sini semata-mata menemankan Fariza. Mana saja kedai yang dimasukinya, terpaksalah kami ikut. Hatta ke tandas sekalipun, kami akan turuti jua. Kiranya untuk hari ini, kami menjadi pengawal dia . Seronok juga, boleh berangan jadi Special Agent untuk sementara waktu.

Kedatangan kami disambut oleh seorang pelayan butik. Mungkin dia pemilik butik tersebut. Senyuman memekar indah di wajahnya. Fariza menjadi rambang mata melihat deretan baju-baju yang tergantung di rak. Pelbagai corak dan warna. Aku yang datang sebagai special agent pun, berpinar-pinar mata melihatnya. Dua helai baju berwarna biru dan merah dicapainya dan dibawa ke bilik persalinan.

Sebelum menarik langsir, dia berpesan,

“Kau orang tunggu kat situ. Jangan pergi mana-mana.”

“Kalau kau posing maut dalam tu lebih dari setengah jam, kita orang blah.” Lynn memberikan amaran. Dia tersenyum penuh makna memandangku. Kemudian, dilabuhkan punggungnya di sofa kecil merah.

Aku ketawa kecil mendengar ancaman Lynn. Saja dia nak kenakan Fariza. Pelayan butik itu yang mendengar perbualan mereka, tercengang-cengang. Manalah dia faham apa yang mereka katakan. Ajaiblah kiranya, seandainya pelayan itu tahu berbahasa Melayu.

Sehelai sweater berjaya mencuri tumpuanku. Cantik! Hasil buatan tangan yang halus. Kagum aku dengan sesiapa yang mengaitnya. Mengait benang kapas untuk dijadikan sweater bukannya kerja mudah. Memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi.

“Cantiknya,” Ujar Lynn. Tidak sedar bila masanya dia berdiri di sebelahku.
“Memang cantik.” Aku mengiakan. Jari-jemariku membelai kesempurnaan teksturnya. Nampaknya, Lynn turut ‘tergoda’ dengan kecantikan sweater yang aku pegang kerana dia turut melarikan jari-jemarinya di permukaan sweater itu.

“Belilah,” Usulnya.

Aku berfikir sebentar. Di kepalaku, terbayang sekeping kertas. Siap dengan debit dan kredit. Lancar otak kiriku mengira baki yang tinggal untuk bulan ini. Setelah selesai dicampur dan ditolak, rasanya aku masih lagi mempunyai lebihan wang. Satu petanda baik. Hajatku untuk memiliki sweater itu akan tercapai.

“Aku ambiklah. Rugi rasanya kalau tak beli.” Aku membuat keputusan. Lancar tanganku meleraikan penyangkut baju yang digunakan untuk menyangkutkan sweater itu.

Kemudian aku menoleh kepada Lynn di sisi.

“Kau tak nak beli apa-apa ke?” Soalku.

Lynn lantas mengunjukkan sehelai sweater yang tersangkut di tangan kirinya. Tidak kurang cantik juga. Sweater pilihannya itu bercorak abstrak. Gabungan tona warna biru dan kuning cair. Lembut saja mataku melihatnya.

“Mana boleh kau dengan Iza aje yang beli? Putih matalah aku macam tu,” Ujarnya dalam sengihan.

Jealous lah tu…” Usikku.

Yes, of course,” Jawabnya berdrama. Dia tersenyum kecil.

Kami berdua menyerahkan sweater dan wang kepada pelayan tersebut. Dan, pelayan itu segera berlalu ke kaunter menjalankan urusannya. Membungkus kedua-dua sweater dan menyediakan baki bayaran untuk kami.

“Jom duduklah. Lenguh berdiri lama-lama.” Aku bersuara lalu melangkah ke arah kerusi kosong. Lynn mengekor dari belakang.

“Hani… Apa kata nanti kita tukar sweater tu?” Perlahan suara Lynn menampar cuping telingaku. Segera aku berpaling menghadapnya. Permintaannya itu benar-benar membuat aku keliru.

“Lah… kenapa tak cakap kau suka sweater tu? Kalau kau cakap tadi, aku boleh bagi pada kau…”

“Bukan itu maksud aku,” Tingkahnya.

“Habis?” Sepatah aku bertanya.

“Maksud aku, bila-bila masa kau nak pinjam sweater aku tu, minta aje. And I’ll do the same. Macam mana?” Soalnya sambil menjungkitkan kening. Meminta persetujuan dariku.

Aku terdiam sebentar. Menimbang-nimbang ideanya. Ah, apalah salahnya…

Akhirnya aku bersetuju, “Okey.”

Senyuman kami bertaut. Dalam pada itu, pelayan tadi kembali semula bersama dua buah beg kertas dan pulangan wang baki.

“Ada tak setengah jam aku kat dalam tu?” Fariza menyoal sesudah keluar dari bilik persalinan. Diserahkan baju berwarna merah yang telah dicuba kepada pelayan yang setia menanti.

I’ll take this one.” Baju berwarna biru pula diserahkan kepada pelayan itu. Lalu pelayan butik itu bergegas ke kaunter pembayaran bersama baju yang dipilih Fariza.

“Cepatnya kau keluar. Kau buat aksi Charlie Chaplin ke?” Soalku sambil tersengih.

“Aku nak beritahu kau orang, tapi janji korang takkan beritahu sesiapa.” Fariza berbisik tiba-tiba. Lagaknya seperti apa yang bakal disampaikannya merupakan rahsia besar.

Aku dan Lynn yang kehairanan dengan bisikannya, pantas menganggukkan kepala. Didekatkan bibirnya ke telinga kami berdua. Telinga kami sedia menadah suaranya yang akan keluar pada bila-bila masa…

“Dulu aku bercita-cita nak jadi pengganti Charlie Chaplin,” Katanya perlahan. Beberapa saat kemudian, dia menghamburkan tawa.

Ceh! Ingatkan benda serius apalah yang nak dibisikkan. Bila difikir balik, betul juga. Kalau dia cakap Melayu pun, bukannya ada orang faham. Tidak perlu berbisik-bisik.

“Macam sungguh-sungguh nak bagi tau rahsia.” Lynn menampar lembut bahu Fariza. “Kami tunggu kat luar.”

Fariza melangkah ke kaunter membuat bayaran manakala aku dan Lynn menuju ke pintu utama butik. Sesuatu yang menyapa pandangan mataku membuatkan aku berhenti secara tiba-tiba di luar pintu. Dari ekor mataku, aku lihat Lynn turut mematikan langkahnya. Bagaikan terpukau dengan apa yang kami saksikan ketika itu.

Do you see what I see?” Soalku perlahan tanpa memandang wajah Lynn.

Yes,” Jawabnya juga dalam nada perlahan.

“Aku rasa macam nak lorek aje kat lamp post tu – Lynn was here,” Katanya tanpa mengalihkan anak matanya dari tiang lampu yang terpacak di ruang pejalan kaki. Tiang lampu yang meninggalkan kenangan dalam diri kami berdua. Yang mengabdikan saat-saat bermulanya persahabatan kami.

Not Lynn was here. Lynn’s forehead was here,” Tukasku sambil ketawa. Dia turut ketawa bersamaku. Memori…
»»  read more