Antara Kata & Rasa - 12

Posted by eita mn on 19 April 2012. Filed under: ,
No Comments »

“Balqis dah online!” maklum Abang Hamzah girang. Tersenyum gembira dirinya. Mentang-mentanglah ‘buah hati’ sudah muncul. Pantas jari-jemarinya menari di atas keyboard. Berakhirlah sebuah penantian yang bermula sejak 15 minit yang lalu.

Aku cuba mengintai skrin laptop silver milik Abang Hamzah. Berniat untuk tumpang melihat orang yang dinanti. Tetapi kecewa. Jangankan wajah, kotak yahoo messenger pun tak terlihat.

Pertengahan minggu lalu, Abang Hamzah ada menyampaikan hajat. Katanya Nurul Balqis, anaknya di Malaysia teringin hendak berbicara denganku di alam maya. Atas sebab itu, Abang Hamzah memilih hari ini untuk mengatur pertemuan kami. Setelah dipastikan aku, dia dan anaknya masing-masing bebas dari sebarang agenda.

Aku tidak tahu apa yang membangkitkan keinginan kanak-kanak itu untuk ‘bertemu’ denganku. Selama hampir 7 bulan ini, aku sekadar mengenali dia melalui nama. Melalui sekeping foto yang kaku. Dan juga melalui cerita-cerita yang sering aku dengar dari mulut Abang Hamzah. Barangkali tiba masanya aku melihat dan mengenali orangnya dengan lebih dekat. Biarpun hanya setakat di alam siber. Ada rezeki kelak, insya-ALLAH mungkin kami dapat bertemu secara fizikal.

Justeru itu, dengan ditemani Kamilia, aku menunggu di universiti. Di tempat yang telah aku dan Abang Hamzah janjikan. Aku tidak terus pulang ke rumah seperti selalu. Tapi ketika ini, entah ke mana Kamilia pergi. Dia memberitahu ada hal sekejap tapi tak pula dimaklumkan ke mana. Kalau dia terlambat, tak dapatlah dia melihat Nurul Balqis. Sedangkan itulah juga salah satu niatnya menemaniku.

Abang Hamzah didepanku membisu. Seluruh perhatiannya melekap di skrin laptop. Hanya bunyi keyboard ditekan mengisi suasana kami. Asyik dia melayan anaknya. Aku yakin kerinduan yang di tanggung buat anaknya terlalu sarat. Lalu aku membiarkan dia melepas rindu dahulu.

Aku menumpahkan perhatian di skrin laptop sendiri. Membaca satu-persatu isi-isi yang terkandung di laman web Wikipedia yang aku sedang layari. Sehinggalah Abang Hamzah menegurku semula.

“Giliran Leen pula…” Seraya itu, laptop dipusing mengadapku. Lalu aku menolak laptop milikku ke sebelah kiri sebelum menarik laptop Abang Hamzah ke hadapan.

“Dah tak sabar Balqis nak berbual dengan Leen,” sambungnya teruja. Terlampau excited dapat meluah kerinduan barangkali.

Di kotak webcam, terhias wajah seorang kanak-kanak perempuan. Dia sedang tersenyum manis. Membariskan giginya yang putih. Tangannya melambai-lambai. Rambutnya yang diikat dua, tergoyang-goyang dengan rentak badannya. Seorang perempuan dalam penghujung belasan tahun, duduk menemani disampingnya. Siapa agaknya gadis itu?

Sesekali kedua-dua wajah mereka menjadi blur seakan berkotak-kotak dan bergerak perlahan-lahan. Mungkin kerana kedudukan kami yang terpisah beratus ribu batu jauhnya yang menjadi punca. Aku menghadiahkan senyuman kepada mereka.

- Assalamualaikum

Aku mengambil langkah pertama menyapa. Tak dapat menahan rasa ingin tahu, pada Abang Hamzah aku bertanya, “Siapa gadis di sebelah tu, Abang Hamzah?”

Di kotak pesanan, gadis itu menaip sesuatu.

>Waalaikummussalam… Ini Kak Leen ke?

“Itu adik abang, Suzana namanya…”

Pertanyaan Suzana tidak dibiarkan sepi. Aku membalasnya,

-Ya. Suzana dan Balqis apa khabar?

Kelihatan Suzana membicarakan sesuatu kepada Balqis. Bibir Nurul Balqis bergerak-gerak sedikit. Sukar  untuk ditangkap butir bicaranya. Selang beberapa saat selepas itu, Suzana menunduk. Mungkin menaip…
Balqis yang masih kecil itu belum tentu kenal huruf sepenuhnya. Apalagi kalau hendak mengeja. Jadi berkemungkinan Suzana telah ‘dilantik’ menjadi orang perantara. Menyampaikan pesanan kepada Nurul Balqis dan begitulah sebaliknya.

>Sihat aje. Balqis tanya, Kak Leen kawan baik papa dia ke?

- Iya. Tapi bukan Kak Leen seorang aje. Ada lagi kawan papa Balqis yang lain.

> Ramai ke kawan abang?

- Ramai la jugak. Classmates, housemates, kawan senegara. Balqis bimbang papa dia tak ada kawan ke?

Di layar webcam, aku nampak Suzana menyampaikan apa yang aku tulis kepada Balqis. Selepas Balqis berkata-kata, dia menaip semula.

>Kata Balqis, kat Malaysia, papa ada dia. Tapi bila papa ke sana, dia tak dapat nak ikut. Dia kesian kalau papa tak ada kawan.

Ayat yang muncul itu aku baca. Mendengar tanpa suara kata hati anak itu, membuatkan jiwaku dilanda kesayuan. Betapa anak yang sekecil itu, yang masih mentah umurnya, sudah merasai perasaan itu. Ya, rasa kasihan. Bimbang akan diri ayahnya yang hidup seorang diri di benua lain.

> Abang selalu sebut nama Kak Leen. Sebab tu Balqis nak sangat tengok muka akak…

Muncul pula ayat berikutnya. Belum lagi aku membalas ayat yang sebelumnya.

Aku ketawa nipis. Hilang rasa sayu sesudah motif ‘pertemuan’ kami didedahkan. Abang Hamzah selalu bercerita tentang aku pada Balqis, kah? Cerita tentang apa? Hmm… jangan yang teruk-teruk sudahlah…

-  Apa yang dia sebut?

> Pasal Kak Leen satu course dengan dia. Pasal Kak Leen yang rapat dengan dia dalam banyak-banyak Malay girls kat sana. Macam-macam lagilah…

- Akak seorang aje Malay girl yang satu couse dengan dia pun.

Aku cuba memaklumkan pada Suzana kenapa aku dan Abang Hamzah rapat. Agar dia memahami. Banyak kelas yang kami hadiri bersama. Berbanding dengan pelajar Malaysia yang lain. Lantas kami kerap bertemu dan kerana itu hubungan kami lebih akrab. Bukan seperti apa yang orang lain fikirkan.

Selama ini, aku sedar dan tahu. Apa anggapan pelajar lain tentang hubungan kami. Konon-kononnya kami berdua bukan sekadar berkawan biasa. Ada hubungan istimewa antara kami. Tapi, samakah apa yang orang pandang dengan apa yang kami rasa?

Sungguh, antara kami berdua tiada rasa istimewa itu. Sekelumit pun tidak wujud. Abang Hamzah pun tidak pernah mengatakan apa-apa. Tersangat teranglah yang hatinya juga seperti hatiku. Bebas dari molekul-molekul cinta.

Entah-entah di hatinya masih berbekas dengan ingatan terhadap bekas isterinya. Siapa tahu? Cinta pertama hingga ke jinjang pelamin. Pasti banyak kenangan manisnya. Pasti banyak yang masih dikenang. Bukan terlalu mudah hendak disisihkan begitu saja.

Apa-apa pun, padaku hubungan kami tak lebih dari hubungan seorang abang dan adik. Hanya itu. Biarlah orang lain mahu memikirkan apapun. Bukan tak pernah di terang, dicerita dan dimaklumkan hal sebenar. Tetapi mereka sendiri yang tak mahu mendengar. Sengaja mahu terus-menerus mempercayai kata hati dan omongan orang. Takkan aku hendak menyaman mulut mereka yang tiada insuran itu?

Mujurlah teman-teman serumah memahami keadaanku.

Di sebelah sana, kelihatan seperti Suzana sedang menunjuk-ajar sesuatu pada Balqis. Aku memandang kotak pesanan.

‘Zana is typing...’

Aku menanti dengan sabar.

>Aunty Leen tolong jaga papa, boleh?

Aunty? Aunty?! Biar benar?

Bibirku hampir-hampir melopong. Mujur aku sempat menahan diri. Nafas terasa semput. Udara seolah tak mencukupi untuk aku bernafas. Wajah muda belia begini, sesuai ke di panggil aunty? Bukan nak perasan muda tetapi bila dipanggil aunty, terasa seperti diri ini dah berumur sangat. Seolah-olah sudah separuh abad! Sedangkan umurku belum pun memasuki suku abad.

Aku memandang Abang Hamzah di depanku. Ralit dengan buku rujukan yang sedang dibaca. Seperti menyedari dirinya sedang dipandang, dia mendongak. Berkerut dahinya apabila aku memandangnya tanpa kata. Hairan.

“Kenapa?” soalnya masih dengan kerutan di dahi.

“Balqis panggil Leen, Aunty ke?”

Dia mengganggukkan kepalanya. “Kenapa?” diulang soalan yang sama.

Hendak cakap ke tidak? Sungguh aku tak dapat terima ‘anugerah’ yang abang Hamzah berikan untukku. Hendak bercakap terang-terang, malu pula kalau dikenakan abang Hamzah. Takut diperli, aku nak perasan muda selalu.

“Kenapa tak boleh panggil kakak aje?” saranku takut-takut.

Abang Hamzah tersenyum. Perli aku ke? Tidak mahu melihat senyumannya yang mengandungi pelbagai rasa itu, aku memandang ke luar tingkap kafeteria.

“Umur Leen dengan Balqis kan jauh bezanya. Abang rasa sesuai kalau panggil Aunty Leen.”

“Jadi, abang yang suruh Balqis panggil macam tu?”

Dia menggangguk mengiyakan telahanku. Malas nak memperbesar-besarkan hal yang kecil begitu, aku membiarkan saja. Menerima tanpa rela ‘darjah kebesaran’ yang dikalung pada namaku. Aunty pun, aunty lah…

Selepas itu, aku terus melayan Balqis dan Suzana bersembang. Sambil cuba-cuba membahasakan diri Aunty pada Balqis. Walau agak janggal, aku cuba juga berusaha.

Kamilia datang semula kemudian. Setelah hampir setengah jam dia lesap. Dia membawa bersama 3 cawan kopi panas. Diletakkan kopi itu di atas meja. Satu untuk setiap orang. Aku segera memendekkan perbualan dengan Balqis. Ingin memberi laluan kepada Kamilia pula. Sempat juga dia kembali. Aku fikirkan tadi peluangnya sudah tertutup.

“Dah daftar nama untuk field trip ke Pennsylvania next week?” Abang Hamzah menyoal. Tahu soalan itu dilontarkan untukku. Kerana Kamilia tak terlibat.

Sebelum menjawab, aku mencapai kopi yang terselit di dalam cup carrier. Nikmat kalau dapat menghirup kopi dalam cuaca begini. “Lusa tarikh akhir untuk daftar, kan?”

Cuma anggukan kepala menjadi jawapan Abang Hamzah.

“Leen belum daftar lagi?” Nadanya sedikit terkejut apabila mengajukan soalan baru.

“Leen tak pergi.”

Why?

“Ingat nak spend spring break kat rumah aje…”

“Boleh dapat apa kalau duduk di rumah? At least kalau ikut field trip ni, dapat juga pengetahuan dan pengalaman.” Abang Hamzah seakan tak bersetuju dengan keputusan yang aku ambil.

Betul apa yang Abang Hamzah katakan itu. Bukannya aku tak sedar. Lebih dari sedar. Tapi entahlah, aku tiada minat nak ikut serta. Awal-awal lagi aku sudah merancang untuk duduk di rumah saja. Cuti pun cuma seminggu, bila lagi nak rest sepenuh hati. Tambahan pulak, tiada seorang pun classmates perempuan yang ikut serta. Masing-masing ada hal. Habis, takkan aku seorang nak join lelaki-lelaki tu? Sekuntum bunga nak diringi berbelas ekor kumbang? No way! Bukan sehari dua trip tu. Lima hari!

“Kalau pergi nanti Leen seorang diri aje…” jawabku. Kopi dihirup perlahan. Panasnya!

“Siapa kata? Abang kan ada… Classmates yang lain pun ada…”

Aku mencebik sedikit. Sungguh Abang Hamzah tak faham dengan maksudku.

It’s true…” akuiku. “Tapi Leen perlukan females companion. Tak ada seorang pun girls yang nak pergi. Tak naklah Leen hang around dengan males aje.”

You’re sure?” Abang Hamzah bertanya tak percaya. Mungkin dia tak tahu agaknya.

“Takkan Leen nak tipu abang. Leen dah tanya dia orang last week lagi…” kataku yakin.

“Kalau ada pun, kau tak boleh nak pergi jugak, Leen,” tiba-tiba Kamilia mencelah perbualan kami. Matanya terhala ke arahku. Rupanya dia memasang telinga mendengar perbualan kami.

“Kenapa Leen tak boleh pergi?” Abang Hamzah bertanya memandangnya.

“Dia dah janji nak ke New Haven.”

“Buat apa? Bila?” Dua soalan dihambur serentak oleh Abang Hamzah.

Maybe on Monday or Tuesday. Dah promise dengan abang Kammy nak jumpa dia kat sana.” Lancar mulut Kamilia menyampaikan.

“Jumpa dia seorang aje?”

“Tentulah tak. Jumpa sekali dengan kawan dia, Abang Faid. Abang Hamzah kenal kan? I’m sure you have met him masa kitaorang buat kenduri hari tu. Banyak agenda dah di atur. Cuma masa aje tak tahu cukup ke tak…”

Semerta, anak mata Abang Hamzah menyapu wajahku. Sepertinya ada perkara yang tak kena di matanya.
Tak mengambil endah, aku menghirup lagi air kopi sebelum ia bertukar sejuk. Sekarang pun dah tinggal suam-suam kuku saja. Seperti renungan mata Abang Hamzah yang dapat aku rasa habanya…
»»  read more