Kasih Seharum Lavender – Bab 9

Posted by Unknown on 27 September 2011. Filed under: ,

 

TERNYATA Lynn mengotakan janjinya. Apa yang dia lafazkan bukan sekadar omongan kosong. Sampai empat hari berturut-turut, telingaku tidak pernah lekang dari mendengar kata-kata maaf darinya. Semalam, dia meletakkan sekeping sampul surat berwarna merah jambu yang berisi kad yang tertulis ‘I’m sorry’ di atas meja belajarku. Dia benar-benar berhempas-pulas supaya aku memaafkannya. Aku dulu pun tidaklah segigih dia begini.

 

Sedikit pun aku tidak memberikan tindak balas di atas usahanya itu. Reaksiku, pH neutral. Keasidan tidak, kealkalian pun tidak. Walaupun pada hakikatnya, hatiku nan satu ini sudah pun lembut. Biasalah, bak kata orang, hati perempuan umpama kerak nasi. Lambat-laun, akan lembut juga.

 

Tetapi, aku saja nak tunjuk keegoanku. Ingin menduga sejauh mana dia sanggup berusaha. Bukan senang nak jumpa perempuan yang sanggup memujuk perempuan lain sampai begini. Siap dengan kad sekali. Kalau lelaki nak pujuk perempuan, tidak usah cakaplah… dah naik lali mata ni menengok.

 

Hari ini, kelas tamat lebih awal dari hari biasa. Kata profesor, dia mempunyai urusan yang perlu dibereskan. Ramai pelajar yang seronok menerima khabar berita itu. Riak wajah masing-masing penuh dengan keceriaan apabila melangkah keluar dari kelas. Itu bagi mereka, tetapi aku tidak.

 

Kebetulan hari ini, Fariza terpaksa pulang lewat ke rumah. Dia perlu berjumpa dengan teman sekursusnya untuk menyiapkan kerja berkumpulan mereka. Kak Syima dan Kak Suzi hanya akan habis kelas pada pukul 6 nanti. Kak Ayu pula nak ke rumah kawan petang ini. Dan, mungkin akan bermalam di sana.

 

Apa yang aku hendak buat kalau balik rumah sekarang? Mesti bosan kerana tidak ada sesiapa di rumah nanti.

 

Aku melihat jam tangan seimbas lalu. Baru pukul tiga petang. Kalau hendak menapak ke perpustakaan, buat masa ini semangatku untuk menelaah tiada. Buang masa saja kalau pergi pun.

 

Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di bandar berdekatan untuk mencuci mata. Untung-untung, ada barang menarik yang boleh dibeli. Lagipun, rasanya sudah lama aku tidak membeli-belah. Masa mula-mula menjejakkan kaki dulu, ada juga aku ke sana. Tapi, sejak kebelakangan ini aku sudah jarang ke bandar(nama bandar) semenjak diri sering dirantai dengan tugasan yang menimbun.

 

Aku membawa langkah kaki menyusuri deretan kedai-kedai yang tersergam indah di sepanjang kiri dan kanan jalan utama di dalam bandar itu. Sudah dua tiga kedai aku lewati, namun tiada satu pun yang menarik minatku. Semasa asyik menjamu mata, aku terperasan kelibat seseorang di belakangku. Rasa-rasanya dari tadi dia mengekori aku.

 

Sudah… dia hendak menculik aku ke? Rompak? Rogol? Atau paling teruk, bunuh? Ya ALLAH, Kau lindungilah hamba-Mu ini, aku berdoa. Dadaku berdebar serta-merta. Perasaan takut melanda. Segera aku mematikan langkah dan berpaling untuk melihat manusia tersebut.

 

Lynn! Alangkah leganya. Rentak jantungku kembali perlahan.

 

Dia berseorangan. Dilemparkan sebuah senyuman padaku. Langkahnya diatur pantas menghampiri aku yang berdiri terpacak di hadapan sebuah butik.

 

Tidak kubalas senyumannya itu. Mataku merenungnya dari atas ke bawah. Aku tidak percaya dia juga berada di sini. Bila masa pula aku upah dia jadi pengawal peribadi tidak rasmiku? Adakah dia sengaja mengekoriku atau memang dia membeli-belah di bandar ini?

 

“Sorang saja?” Soalnya ramah. Dia berdiri tegak di hadapan mataku.

 

Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Adat orang Melayu yang tinggi budi bahasa, sentiasa begitu. Walaupun sudah terang lagikan bersuluh, masih mahu bertanya.

 

Aku memandang sekeliling, berpura-pura mencari kawanku yang tiada di sisi. Dia ketawa besar melihat tingkahku.

 

“Tak payah berpura-pura. Awak memang seorang diri,” Katanya dalam ketawa yang masih bersisa.

 

Tahu pun dia. Saja aku malas nak menjawab soalannya. Biar dia yang jawab sendiri. Aku meneruskan langkah yang terhenti sebentar tadi. Pandanganku diliarkan ke setiap kedai.

 

“Awak masih marahkan saya?” Soalnya lagi. Beriringan dia berjalan denganku. Dia ni memang tidak tahu menyerah kalah. Aku respect sungguh. Kalau aku… dah lama aku ucapkan selamat tinggal.

 

Aku tidak melayan soalannya. Berpura-pura taksub dengan deretan kedai yang kami lewati. Dia bergerak sedikit ke hadapan. Kali ini, dia berjalan dengan memusingkan badannya , membelakangkan para pejalan kaki. Hendak mengambil perhatian akulah itu.

 

“Saya minta maaf,” Pohonnya lagi. Sesekali dia menoleh ke hadapan. Memastikan tiada orang yang berada di laluannya.

 

Aku cuba menahan senyum yang ingin terlukis di bibir. Hati ini bagai digeletek melihat dia bersungguh begitu. Sanggup berjalan melawan arus di tengah-tengah bandar ini. Dua tiga orang yang lalu-lalang sempat mencuri pandang ke arahnya. Dia buat muka selamba saja.

 

“Saya benar-benar minta maaf,” Sekali lagi dia memohon. Kini, jaraknya agak jauh dariku kerana dia berjalan agak pantas.

 

Tiba-tiba, aku tersedarlaluannya sudah berubah. Dia semakin melencong ke arah sisi jalan.

 

Segera aku menjerit padanya, “Lynn, watch out!

 

Malangnya, amaranku terlambat. Sebaik sahaja dia memusingkan tubuhnya menghala ke hadapan semula…

 

Buk! Mukanya mencium sebatang tiang lampu yang berdiri megah di tepi laluan. Dia terawang-awang seketika. Tangannya segera menyentuh dahinya yang berlaga tadi. Digosoknya perlahan.

 

Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkannya. Cemas menguasai diri. Takut dia mendapat luka serius. Janganlah dia pengsan kat sini. Aku berdoa di dalam hati. Setakat berdarah, aku boleh uruskan lagi.

 

“Lynn, kau tak apa-apa ke?” Aku menyoal tatkala aku di sisinya. Perasaan bersalah mula berputik di hati. Seandainya aku memaafkan dia tadi, tentu tidak terjadi perkara macam ni. Kesal menghimpit jiwa yang sudah diselubungi cemas.

 

“Tak pasti…” Jawabnya perlahan. Tangannya masih lagi mengosok dahi.

 

Aku menggawangkan tangan di hadapan matanya. Memastikan dia berada di dalam keadaan sedar.

 

“Ini berapa?” Soalku. Aku menegakkan jari tengah dan jari telunjuk.

 

“Dua.”

 

Nampaknya dia sedar. Aku mengalihkan tangannya yang mengosok dahi. Cuba melihat kecederaan yang dialaminya. Nasib baik tiada luka dan tak berdarah. Cuma bengkak sedikit. Aku mengajaknya duduk di kerusi yang tersedia di situ. Disebabkan keadaannya yang masih pening-pening lalat, aku terpaksa memapahnya.

 

“Dahi kau bengkak,” Ujarku. Aku menghembus di tempat yang bengkak itu. Untuk mengurangkan benjol di dahinya. Kalau di rumah, boleh didemah dengan kain. Kalau di sini, susah sedikit untuk melakukannya.

 

“Teruk ke?” Soalnya. Sesekali terdengar dia mengaduh kesakitan. Kesian dia!

 

“Tak sangat.”

 

“Ada darah?”

 

“Tak ada. Nasib baik.”

 

Kami masing-masing mendiamkan diri buat seketika. Namun, aku masih meniup dahinya yang benjol itu agar cepat surut.

 

“Maaf. Sebab aku, kau jadi begini,” Kataku perlahan. Perasaan kesal bertimpa-timpa di hati.

 

“Eh, bukan salah kau. Aku yang jalan tak tengok depan. Salah aku. Tak ada kena-mengena dengan kau,” Tingkahnya.

 

“Tapi kalau aku maafkan kau, mesti accident ni tak terjadi.”

 

Don’t blame yourself. Benda dah nak jadi. Nak buat macam mana.”

Kami terdiam lagi.

 

“Aku dah maafkan kau.” Perlahan aku menuturkan ayat.

 

“Kejam betul. Aku dah sakit begini, baru nak maafkan,” Katanya dalam nada pura-pura sedih.

 

No offense. Saja nak mengusik.” Cepat-cepat dia menambah. Senyuman lebar terukir di wajahnya.

 

Aku membalas senyuman itu. Sesungguhnya di saat ini, sisa-sisa kemarahan dan sakit hatiku padanya telah hilang. Bertukar dengan perasaan risau dan keinginan untuk memulihkan hubungan kami. Sekaligus mengenalinya dengan lebih dekat. Harapanku biarlah segala memori hitam antara aku dan dia akan terus terkunci rapat di dalam dasar memoriku. Tidak ingin kuingat dan kenang semua peristiwa lama. Dan aku dapat merasakan dia juga berperasaan begitu.

 

“Maaflah… sebenarnya dah lama aku maafkan kau. Tapi saja nak tengok setakat mana kau nak berusaha.” Aku berterus-terang.

 

“Betul?” Soalnya seperti tidak yakin. Lynn merenung anak mataku sedalam-dalamnya. Mencari kepastian.

 

Aku mengangguk.

 

“Jadi… kosong-kosong lah ye. Kita mulakan balik persahabatan kita. Kalau boleh aku nak lupakan semua kenangan pahit kita dulu. Setuju?” Aku bertanya. Sebuah senyuman terukir buatnya.

 

“Setuju.” Dia menyatakan persetujuan. Kepalanya dianggukkan.

 

“Nur Irdina Farhani,” Aku memperkenalkan diri padanya. Memulakan hubungan baru kami.

 

“Nurul Adlyn,” Ujarnya pula.

 

Kami berbalas senyuman. Sempat aku melihat benjol di dahinya yang telah surut sedikit. Serta-merta, perasaan lega bercambah di hati.

 

“Kita pergi klinik, nak?” Pelawaku.

 

Walaupun secara fizikal tiada apa-apa kesan teruk, aku risau kalau-kalau ada kecederaan dalaman. Apatah lagi, perlanggaran tadi bersangkut-paut dengan kepala. Bahaya!

 

“Tak payahlah. Sikit aje rasanya.”

 

Are you sure?” Tekanku.

 

Dia mengangguk.

 

“Selalunya tengok orang langgar tiang kat dalam TV aje. Tapi hari ini, terjadi kat diri sendiri. Tak sangka betul,” Kkatanya sambil menggelengkan kepala seperti tidak percaya.

 

“Seronoklah kau, boleh tengok siaran langsung,” Tambahnya.

 

Aku menatap wajahnya. Serius ke dia? Aku nak ketawa rasanya mendengar dia berkata begitu. Sedaya upaya, aku cuba bertahan. Tidak elok ketawakan orang yang ditimpa musibah. Lagipun, nanti apa katanya jika aku mentertawakan dia. Silap-silap haribulan, perang dingin kedua melanda.

 

Dia juga seperti sedang berusaha menahan tawa. Sebuah senyuman kecil terlepas dari bibirnya. Kemudian, perlahan-lahan senyuman itu bertukar menjadi semakin lebar. Dan akhirnya kami berdua menghamburkan tawa di situ.


No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 9

Leave a Reply