Kasih Seharum Lavender – Bab 5

Posted by Unknown on 22 September 2011. Filed under: ,





SIAP! Aku tersenyum puas hati. Kedengaran gelak-ketawa dari ruang tamu. Gamat! Segera aku beredar dari bilik. Ingin berkongsi apa jua cerita menarik yang mereka bualkan. Aku mengambil tempat di atas lantai. Pandanganku tidak kuhalakan pada Miss Snooty.

Sejak kejadian botol lalat seminggu yang lalu, aku semakin berusaha menggelakkan diri dari dia. Amarahku kadang-kala akan timbul semula di kala aku teringatkan kejadian itu. Setiap hari, aku cuba bersikap tenang apabila berhadapan dengannya. Berusaha mengawal emosi dan amarahku.

Tidak pula aku tanyakan perihal kejadian itu padanya. Tapi, aku yakin dia orangnya. Dia juga seakan-akan cuba menggelakkan diri dariku. Mungkin dia juga seperti aku, tidak mahu membuat kecoh di dalam rumah. Setakat ini, boleh dikira berapa patah perkataan yang pernah terkeluar dari bibir kami.

Malam ini, aku mempunyai rancangan sendiri. Ada sesuatu yang bersemadi di benakku. Dan aku harus melaksanakannya.

“Apa kata malam ni kita cerita kisah seram,” Usulku pada mereka.

Mata masing-masing terbeliak. Kak Suzi sempat melihat jam di dinding. Pukul 10.30 malam. Aku agak mereka mungkin kurang bersetuju dengan cadanganku. Kelihatan ada riak was-was di wajah masing-masing.

“Awal lagi. Esokkan cuti. Tidur lambat pun tak apa. Bila lagi nak rasa suasana macam ni? Hari-hari kisah happy aje. Boring tau!” Aku menambah. Cuba untuk memujuk mereka agar bersetuju.

“Ok jugak.” Fariza bersuara menyatakan persetujuannya.

“Ok.” Kak Syima turut bersetuju.

Kak Ayu dan Kak Suzi hanya menganggukkan kepala. Miss Snooty mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Entah apa yang dia fikirkan agaknya. Takkan takut kot!

“Lynn?” Namanya dipanggil Kak Syima. Bagaikan memahami maksud panggilan, terus sahaja dia menganggukkan kepalanya. Rambutnya yang hitam pekat separas bahu turut bergoyang mengikut rentak kepalanya.

“Siapa nak cerita dulu?” Aku menyoal.

Kak Ayu pantas menjawab, “Kak Suzi. Dia ada banyak cerita seram.”

Kak Suzi mendiamkan diri buat beberapa ketika. Kemudian dia mula bercerita.

“Angah akak dulu pernah kena kacau masa dalam perjalanan ke KL.” Dia berfikir-fikir sebentar.

“Dia pergi dengan dua orang kawan dia. Memandangkan waktu siang panas, dia orang decide nak bertolak malam. Dia orang pergi dengan kereta ikut highway. Sampai dekat di kawasan Kuala Kangsar, dia perasan ada sesuatu yang tak kena dengan kawan dia yang duduk di sebelah. Masa tu, jam dah pukul dua pagi.”

Aku mengesot sedikit ke hadapan. Merapatkan diri kepada Kak Ayu yang duduk terkehadapan sedikit.

“Kawan dia senyap aje masa dia orang di kawasan tu. Sepatah pun tak bercakap. Hairan jugak dia. Lepas itu, dia perasan ada sesuatu sedang berlegar-legar di sekeliling kereta yang dia bawak. Tapi, benda tuh tak jelas sebab masa tu kereta tengah bergerak. Kawan yang di belakang pulak, buat hal sendiri. Tiba-tiba aje... member yang diam tu menangis. Terkejut Angah. Sah, dia rasa ada sesuatu. Apalagi, dia pandu kereta laju ke hentian Plus yang seterusnya. Nak cari orang yang boleh tolong. Sempat jugak dia suruh member kat belakang baca apa-apa yang patut. Disuruhnya member yang kat sebelah tu, ikut dia mengaji sekali. Kawan sebelah buat tak dengar. Terus-terusan dia menangis.”

Terasa bulu romaku meremang mendengar cerita Kak Suzi.

“Tiba di hentian Plus, nasib baik ada seorang Pak Haji dan anak buahnya sudi menolong. Kata Pak Haji, kawan Angah ni kena kacau. Dia suruh Angah ikut dia balik ke rumahnya untuk ubatkan kawan tu. Rupa-rupanya, bukan satu, tapi berbelas-belas ‘han’ yang kacau kawan Angah. ‘Han-han’ ni pulak tak nak keluar pada mulanya. Puas Pak Haji berlawan, barulah benda-benda tu keluar. Sampai sekarang, kawan Angah masih tak boleh diubati sepenuhnya.” Kak Suzi mengakhiri ceritanya dengan keluhan pendek. Dia masih teringatkan kawan Angahnya itu.

“Seram!” Sepatah perkataan itu tercetus dari bibir Kak Ayu. Bahuku dipeluknya sekejap. Membuang rasa seram.

Turn siapa nak cerita pulak?” Fariza menyoal.

“Hani pula lah. Dia yang cadangkan tadi,” Jawab Kak Syima. Aku tersengih. Aku tidak kisah kalau itu permintaannya. Nafas kutarik panjang sebagai bekalan untuk bercerita. Agar tak semput.

“Kisah yang Hani nak ceritakan, terjadi tiga setengah tahun yang lepas.” Aku mengimbas kembali detik-detik semasa kejadian itu terjadi.

“Kawan Hani kena histeria ketika kami pergi berkursus. Benda tu jadi di depan mata Hani dan kawan-kawan. Susah ustaz nak pulihkan dia semula. Tapi, lepas berjaya dipulihkan, dia cerita pada Hani dan kawan-kawan macam mana dia terkena. Masa tu, dia dalam perjalanan nak balik ke asrama. Tiba-tiba, ada orang bagi salam. Dia jawab. Bila dia toleh muka, dia nampak orang tu tinggi sangat. Setinggi mana pun dia dongak, masih tak nampak mukanya.”

Aku berhenti seketika. Buah epal kucapai lalu disuapkan ke mulut.

“Dia ajak kawan Hani ni ikut dia balik ke tempatnya tapi kawan Hani tak nak. Terus kawan Hani jalan tinggalkan dia. Malangnya dia ikut kawan Hani balik sambil berusaha pujuk lagi. Sampai di asrama, kawan Hani nak solat, dia pergi ambil wuduk. Tapi tak boleh, hati dia rasa berat sangat. Dia toleh ke sisi, dia nampak di sebelah…”

“Fariza! Better kau pergi tutup lampu. Baru ada feel!” Jeritku pada Fariza. Tersentak dia. Pucat lesi wajahnya. Pecah tawaku melihat reaksinya.

“Buat suspens betullah kau ni! Kalau aku ada sakit jantung, dah lama k.o,” Ujarnya geram. Bantal di atas riba, dibalingkan ke arahku. Dengan ketawa yang masih bersisa, aku menyambut bantal itu. Aku letakkan di atas ribaku pula.

“Tak payah tutup lampu. Malam karang tak boleh tidur...” Bantah Kak Suzi. “Sambunglah cerita.”

Lantas aku menyambung cerita yang tergendala sebentar tadi.

“‘Orang’ tu berdiri di sebelah dia. Kawan Hani halau dia keluar tapi dia enggan. Dia nak ikut kawan Hani jugak. Akhirnya, kawan Hani give-up. Dia nak masuk tidur. Dia biarkan ‘orang’ tu kat situ. Sewaktu kawan Hani melangkah masuk ke dalam dorm, dia nampak orang tu masuk ikut dinding asrama. Bayangkan… meresap ikut dinding. Dengan tingginya, berbaju putih pulak tu. Seram!” Sengaja aku mengajak mereka bersama-sama membayangkan keadaan itu.

“Akhirnya, kawan Hani sendiri tak sedar bila masanya dia menjerit. Dia langsung tak ingat apa yang terjadi lepas tu. Keesokannya, cikgu terpaksa bawa dia balik. Keadaan dia sekarang sama seperti member Angah Kak Suzi… Tak boleh nak diubati. Walaupun dah merata tempat emak dia bawa berubat. Dan dengar ceritanya, yang menyapa dia tu makhluk halus jenis jin.”

Aku melepaskan nafas. Selesai cerita aku. Mereka yang mendengar bagaikan masih terpukau dengan cerita tadi. Diam tidak bersuara, walhal cerita dah tamat.

“Siapa lepas ni?” Pertanyaanku membawa mereka ke alam realiti semula.

“Kak Syima,” Fariza memberitahu. Bantal yang berada di ribaanku, ditarik. Aku membiarkan.

“Kat kampung akak, ada kubur di tepi jalan. Selalu orang terserempak ‘mak pon’ bertenggek kat atas pokok kepala waktu tengah malam. Eiii… takut!” Kata Kak Syima sambil mengangkat kedua-dua bahunya seolah-olah dalam ketakutan.

Miss Snooty yang mendiamkan diri sedari tadi, tiba-tiba sahaja berdiri. Perbuatannya itu amat mengejutkan kami semua. Kering darahku buat seketika. Takkan dia kena sampuk? Benakku bertanya. Hatiku berdebar serta-merta.

“Lynn nak masuk tidur,” Ujarnya ringkas. Terus dia menapak pergi. Mendengar perkataan ‘nak masuk tidur’, aku merasa teruja. Something’s about to happen. Kataku dalam hati. Penantian selama seminggu akan berakhir pada malam ini.

“Aaaaaaaaaaa!!!” Jeritan suara Miss Snooty memenuhi ruang rumah.

Nampaknya, cerita seram memberikan impak yang amat berkesan. Senyuman meletus di dalam hati. Mereka yang lain terpinga-pinga seketika sebelum mereka berpusu-pusu berlari ke bilikku. Wajah masing-masing mengandungi seribu pertanyaan.

Orang terakhir tiba adalah aku. Kelihatan Kak Ayu dan Kak Syima sedang menenangkan Miss Snooty yang terduduk di atas lantai. Kulit mukanya pucat lesi. Kalau ditoreh, pasti tidak berdarah. Dan badannya menggeletar. Jelas dia di dalam keadaan terkejut yang amat sangat.

“Apa yang terjadi?” Soalku dengan penuh kebimbangan. Penuh kepura-puraan. Padahal, aku sudah boleh agak apa yang terjadi.

“Agaknya dia terkejut tengok telekung tu.” Kak Syima bersuara sambil mulutnya dimuncungkan ke arah telekung di tingkap. “Akak pun tadi terkejut. Ingatkan hantu.”

Tiada cahaya lampu ketika Miss Snooty masuk ke bilik. Yang ada hanyalah simbahan lampu jalan yang terbias masuk ke dalam bilik kami. Sudah semestinya telekung yang tergantung tinggi di tingkap bilik akan kelihatan seperti makhluk ghaib. Ditambah pula dengan angin yang bertiup perlahan, pasti membuatkan telekung itu terhayun-hayun sedikit. Siapa yang tidak takut?

“Telekung Hani ke?” Soal Kak Ayu padaku.

Aku mengangguk.

“Hani gantung telekung kat tingkap sebab nak bagi kena angin. Basah sikit telekung tu tadi,” Jelasku dengan riak penuh innocent. Hakikatnya, memang aku sengaja buat begitu. Nak balas balik hadiah yang aku terima seminggu yang lepas. Dan, mereka seperti tidak mengesyaki apa-apa.

Kak Ayu memapah Miss Snooty duduk di birai katil. Kak Syima mengambil tempat di sebelah yang lagi satu. Manakala Kak Suzi dan Fariza berdiri mengelilingi Miss Snooty. Aku? Dengan berwajah seolah-olah tidak tahu apa-apa, mengambil tempat di atas katilku sendiri. Berhadapan dengan Miss Snooty.

Bermacam-macam nasihat dan kata-kata diucapkan oleh kakak-kakakku itu pada Miss Snooty. Semuanya untuk memulihkan semangat Miss Snooty yang hilang. Fariza dan aku hanya mendiamkan diri. Sehinggalah Miss Snooty tidur lena di atas katil, barulah mereka berganjak dari bilikku. Sebelum pergi, sempat Kak Ayu meminta aku menjaga dan mengawasi dia. Bila diminta berbuat begitu, aku tidak pasti aku mampu melakukannya atau tidak. Setakat tengok tanpa perlu bercakap atau menyentuhnya, mungkin boleh rasanya!

Dalam kegelapan malam, aku berfikir-fikir tentang apa yang telah aku lakukan pada dia. Gembirakah aku berbuat begitu? Pada mulanya aku akui, ya. Tetapi untuk sejam selepas itu, hatiku tidak tenteram. Perasaan bersalah timbul di hati.

Ketakutan di wajahnya masih terbayang-bayang di layar ingatanku. Mungkin cara aku membalas dendam agak terlampau. Tidak setimpal dengan apa yang dia buat padaku. Melampaukah perbuatanku itu?

No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 5

Leave a Reply