Kasih Seharum Lavender – Bab 7

Posted by eita mn on 24 September 2011. Filed under: ,


Lembaran buku rujukan setebal satu inci menjadi tatapanku. Ligat tanganku menyalin isi-isi penting ke dalam buku nota. Nota yang diberi Prof. Smith sewaktu kuliah siang tadi, tidak lengkap. Terpaksalah aku menjejak kaki ke perpustakaan mencari bahan rujukan tambahan. Dan, seterusnya membuat nota sendiri di rumah.

Dalam kelekaan aku menyiapkan nota, kedengaran pintu bilik diketuk perlahan.

“Masuk!” Laungku dari dalam.

Pintu bilik dibuka dari luar. Bunyi tapak kaki melangkah masuk. Aku meneruskan tugas menyalin nota tanpa melihat tuan empunya tubuh yang mengetuk pintu tadi.

Busy sangat ke, Hani?” Suara Kak Ayu menerjah cuping telinga.

Terhenti jari-jemari yang lancar berlari. Aku meletakkan pen di atas buku nota. Kemudian, aku berpaling ke belakang. Memandang Kak Ayu yang telah pun duduk di atas katilku. Sebuah senyuman aku hadiahkan padanya.

“Nampak macam Hani ni busy sangat ke?” Soalannya aku jawab dengan soalan juga.

“Kelihatan macam tulah. Dari petang tadi tak keluar bilik.”

Aku tergelak kecil. Bukannya aku sengaja nak mengurungkan diri di dalam bilik. Kebetulan petang tadi, otakku berfungsi lebih aktif dari hari-hari biasa maka mood untuk mentelaah bersemarak tiba-tiba. Alang-alang tidak ada assignment atau tugas yang perlu dibereskan, lebih baik aku menelaah. Ada juga manfaat. Bila otak sudah semakin tepu, baru aku berhenti dan mula menyalin nota pula.

So… akak datang ni nak melawat Hani lah?” Tanyaku.

Dia tersenyum lalu mengangguk.

Study?” Sepatah Kak Ayu menyoal.

“Tak… copy notes.”

“Akak tak busy ke malam ni?” Giliran aku pula menyoal. Serentak itu, aku kembali membelakangkan Kak Ayu. Buku rujukan di tatap semula. Mencari-cari baris perkataan yang aku salin sebentar tadi.

“Tak.” Ringkas jawapannya.

“Hani…” Perlahan dia memanggil namaku.

“Ada apa, kak?” Aku bertanya seraya berpaling menghadapnya kembali.

Kak Ayu langsung tidak menjawab. Hairan aku dengan tingkahnya. Dari sudut pandangan mataku, Kak Ayu seperti dalam dilema. Dalam keadaan serba-salah. Dadaku berdebar. Sebelum ini dia pernah ke mari, tapi tidak dalam keadaan begini. Adakah dia mempunyai agenda tertentu yang mengheretnya ke bilikku malam ini? Aku menanti dia mengeluarkan butir-bicara seterusnya.

“Ingat tak janji Hani pada akak hari tu?” Kak Ayu mengutarakan pertanyaan setelah beberapa ketika mendiamkan diri.

Aku tersentak. Debaran di dada yang perlahan bertukar ke rentak yang lebih pantas. Fikiranku tidak dapat menangkap maksud janji yang dikatakannya. Cuba diperah otakku ini, tapi tiada jawapan yang ku temui.

“Janji apa?” Soalku kembali.

Terlepas keluhan pendek dari mulutnya. Dan aku sendiri tertanya-tanya. Seperti hidup dan mati saja lagaknya. Setahu aku, belum pernah seumur hidup ini aku berjanji benda-benda yang serius hingga melibatkan nyawaku sendiri.

“Hani pernah berjanji dengan akak, nak berbaik dengan Lynn kan?”

Tenang Kak Ayu bersuara.

Aku menarik nafas lega. Janji itu rupanya. Jantungku kembali berdegup secara normal.

“Ingat, kenapa?”

Hingga kini, aku dan Lynn masih belum bertegur sapa. Tetap macam dulu. Hari pertama dan kedua selepas dia demam, aku ada juga menegur dia. Tapi langsung tidak dilayannya. Dari hari itu, hatiku sudah tawar untuk menegur dia lagi. Nanti dikatakannya aku ni hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong. Sekurang-kurangnya, aku sudah cuba berbaik dengan dia. Dirinya yang masih degil.

Agaknya amarah dia belum reda sepenuhnya. Aku membuat telahan sendiri.

“Akak berharap sangat, Hani jawab dengan jujur apa yang akak tanyakan nanti.” Mukadimah yang baik. Terlalu baik sehingga jantungku yang telah berhenti larian, kembali meneruskan aksinya.

Apa yang sebenarnya Kak Ayu cuba sampaikan? Aku tidak faham. Bingung aku berada dalam teka-teki begini. Aku bukannya ahli psikik yang boleh membaca fikiran orang. Bukan juga seorang sasterawan yang boleh memahami bahasa-bahasa indah pembuka kata sebegitu. Yang nyata, perasaan aku kuat mengatakan apa yang bakal disampaikan oleh Kak Ayu nanti bukanlah sesuatu yang akan menggembirakan hatiku.

“Hani ada ambil diari Lynn?” Satu-persatu perkataan yang diucapkan menusuk masuk ke telinga. Bersentuh dengan gegendang telingaku dan menghantar signal ke otak dan badanku. Seluruh tubuhku menggeletar.

“Akak bukan nak tuduh Hani. Akak cuma bertanya.” Cepat-cepat Kak Ayu bersuara. Dia perasan air mukaku yang telah berubah.

“Lynn yang beritahu akak, Hani ambil diari dia?” Soalku dalam nada sedikit keras. Tiba-tiba, aku rasakan bilik ini panas membahang. Sebahang hatiku ini.

Kak Ayu diam tidak berkutik. Sah! Memang Lynn yang menyebarkan khabar fitnah ini pada Kak Ayu. Tidak habis-habis lagikah dendamnya padaku? Kan aku sudah minta maaf?

“Akak tak tahu siapa yang benar, siapa yang salah dalam hal ni. Tapi, kalau Hani terambil diari Lynn, pulangkan. Diari tu penting pada dia. Hani orang yang berpegang pada janji, kan?” Suaranya masih lagi tenang.

Tetapi, hati aku tidak. Masakan aku boleh bertenang setelah dituduh sesuka hati begitu? Dituduh atas kesalahan yang tidak pernah aku buat? Lantas aku bangun dan berjalan mundar-mandir di hadapan Kak Ayu. Mempamerkan apa yang aku rasa ketika ini. Geram. Sakit hati.

“Untuk pengetahuan Akak, Hani tak pernah sentuh barang Lynn. Diarinya tu, sebelah mata pun Hani tak pernah tengok. Macam mana dia boleh tuduh Hani yang ambil diari dia? Apa gunanya diari Lynn tu pada Hani?” Soalku, tidak puas hati. Sedaya upaya aku cuba mengawal nada suara agar tidak menengking Kak Ayu. Dia tak bersalah.

“Hani masih pegang janji Hani sampai sekarang. Hani bukan orang munafik, kak. Dah berkali-kali Hani minta maaf pada dia. Tapi dia tak pernah nak maafkan. Sekarang, tiba-tiba saja dia tuduh Hani terambil diari dia. Terambil konon. Kenapa dia tak kata aje Hani yang curi? Memang itupun niat dia kan?” Tanyaku penuh sinis.

Sakitnya hati bila dituduh begitu. Difitnah sewenang-wenangnya. Walaupun Kak Ayu tidak mengatakan secara terang, aku tahu dia juga percaya dengan tuduhan Lynn. Adakah seisi rumah sudah tahu cerita terbaru ini? Tentang aku, Hani, yang mencuri diari Lynn? Di mana aku nak letakkan muka? Tiada siapa yang akan percaya padaku lagi. Lynn… kenapa kau sanggup menabur fitnah terhadapku?

Kesabaranku semakin menipis. Aku perlu bersemuka dengan Lynn.

“Lynn ada di luar?” Tanyaku pantas. Aku perlu mendengar dari mulut Lynn sendiri jika benar dia menganggap aku yang mengambil diarinya. Aku mahu dia mengatakannya sendiri di depanku.

“Hani nak buat apa dengan Lynn? Sabar, Hani. Ingat ALLAH. Kalau betul Hani tak ambil, lupakan saja hal ni.” Cemas Kak Ayu menuturkan kata. Barangkali risau aku akan menyerang Lynn yang ketika ini mungkin sedang enak bergembira di ruang tamu. Sedangkan aku bagaikan cacing kepanasan di sini. Tidak semudah itu aku melupakan persoalan ini. Walaupun aku tidak bersalah.

“Ada perhitungan yang perlu diselesaikan.” Dengan itu, aku bergegas ke ruang tamu. Kak Ayu yang terkedu di dalam bilik, tidak aku pedulikan.

“Hani, tunggu dulu.” Jerit Kak Ayu di belakang. Aku tetap melangkah.

Ketika aku tiba di ruang tamu, Lynn sedang bergurau-senda bersama Kak Suzi. Fariza pula sedang asyik bercerita dengan Kak Syima. Terkejut mereka apabila aku tiba-tiba berdiri di ruang tamu dengan wajah menyinga. Persis seorang pengganas.

Seronoknya dia bercerita, bersuka-ria setelah sesedap hati dia mencipta fitnah untuk memburukkan namaku. Kemarahan yang kubendung semakin kuat cuba melepasi benteng kesabaran. Mengasak-gasak dari segenap ruang.

“Lynn! We need to talk,” Kataku dingin. Sedingin-dinginnya.

Yang lain memandang dengan mata terkebil-kebil di antara kami berdua. Kak Ayu terpaku di bahagian depan ruang tamu.

“Hani.” Namaku dipanggil oleh Kak Ayu. Dia berjalan pantas ke arahku.

Lynn yang sedang berdiri setelah aku memanggilnya, memandang wajah Kak Ayu dengan perasaan yang sukar aku tafsirkan. Serasaku dia menyedari situasi yang berlaku sekarang. Dan memahami apa yang ingin aku katakan padanya.

“Hani, Lynn. Kitchen. Now.” Tegas Kak Ayu sebelum sempat aku meledakkan peluru berisi ayat-ayatku.

Seraya itu, Kak Ayu menarik tanganku ke arah dapur. Aku hanya menurut. Akalku menahan perasaan dari menghamburkan segala-galanya di ruang tamu. Lynn mengekori dari belakang. Kak Syima, Kak Suzi dan Fariza menghantar pemergian kami dengan pandangan penuh tanda tanya. Tiada sesiapa di antara mereka yang berani bertanya apa-apa.

“Duduk,” Arah Kak Ayu. Kami mengambil tempat masing-masing. Lynn di hujung meja sebelah kanan dan aku di hujung meja sebelah kiri. Aku tidak ingin berada dekat dengannya. Auranya bisa menaikkan darjah kepanasan hatiku. Pandangan mataku berlabuh di wajahnya. Merenungnya tajam.

“Awak tuduh saya ambil diari awak?” Meluncur laju ayat pertanyaan itu keluar. Tanpa mukadimah, tanpa pembuka kata. Ah… buat apa pembuka kata atau mukadimah, aku bukannya nak bersyarah atau berceramah. Tidak perlu bersusah-payah menyusun kata.

“Sabar, Hani. Masalah takkan selesai dengan bertekak. Sebaik-baiknya kita berbincang.” Kak Ayu menegur. Dia duduk di kerusi makan di antara kami berdua.

Aku cuba beristighfar di dalam hati. Mengurangkan amarah yang menggelegak di dalam kawah hatiku. Betul kata Kak Ayu, masalah tidak akan selesai dengan bertekak. Aku melarikan pandangan mata dari wajah Lynn. Moga-moga dengan berbuat begitu, suhu amarahku kembali menurun.

“Sebelum kita berbincang, akak nak cakap sikit… Dari pandangan mata akak, Lynn seorang yang baik, Hani pun sama. Kau orang berdua boleh bermesra, bergembira dan bergurau-senda dengan akak dan housemate lain. Tapi, akak tak faham kenapa kau orang berdua tak boleh buat begitu between the two of you. Takkan kerana tragedi ‘pelanggaran’ dulu, kau orang simpan perasaan sampai sekarang? Benda tu remeh. Sepatutnya dilupakan time tu jugak. Sekarang? Benda kecil tu dah meleret-leret sampai begini. Akak tak suka ada pergaduhan dalam rumah ni. Kalau boleh akak nak tengok kita hidup as a one big happy family.” Panjang lebar Kak Ayu berucap.

Riak muka Lynn telah berubah. Firasatku, mungkin dia tidak menyangka Kak Ayu mengetahui segala-galanya yang berlaku antara kami.

“Lynn, Hani dah ceritakan semuanya. Dia dah mengaku kesalahannya. Dan dia beritahu akak, dia akan minta maaf pada Lynn. Akak ingatkan lepas kejadian tu, kau orang akan berbaik semula. Sebab itu akak tak nak masuk campur. Akak nak korang selesaikan sendiri. Malangnya, bertambah teruk,” Sambung Kak Ayu lagi.

“Hani ada minta maaf pada Lynn?” Soalan Kak Ayu mengejutkan aku. Takkan dia tidak percaya padaku? Soalku di dalam hati.

Aku tidak menjawab. Sebaliknya menganggukkan kepala.

Seketika kemudian, aku bersuara, “Tapi Lynn tak pernah nak maafkan Hani.” Bukan niatku untuk mengadu tapi itulah hakikatnya. Selama ini, aku yang berusaha memulihkan hubungan kami. Dia tidak pernah memberikan sebarang respon.

“Mana awak tahu saya tak maafkan awak? Ada saya cakap begitu?” Soal Lynn padaku. Nadanya sedikit keras.

“Berkali-kali saya minta maaf, awak buat tak tahu saja. Malah bila saya tegur, awak tak hirau. Macam tu ke awak maafkan saya?” Balasku kembali. Suaraku senada dengannya.

“Oh… jadi sebab tu awak curi diari saya? Sebab saya tak maafkan awak?” Tuduhnya.

Mataku mencerlang memandang wajahnya. Akhirnya, terburai niatnya yang satu. Memang dari awal dia menuduh aku mencuri diarinya!

“Apa bukti awak?” Aku bertanya lantang.

“Kalau dah tak ada, ke mana perginya? Bukan ada orang lain dalam bilik tu…” Balasnya.

Sakitnya hati…

“Manalah saya tahu. Diari awak. Bukannya diari saya!”

Suasana semakin tegang. Buat beberapa saat, kami mendiamkan diri. Mengawal perasaan masing-masing. Kak Ayu bagaikan kehilangan punca untuk meleraikan persengketaan antara kami berdua. Diurut pelipisnya beberapa kali. Terdetik perasaan simpati di hatiku. Tidak semena-mena dia terheret sama dalam kancah permasalahan kami.

“Lagipun, apa gunanya diari tu pada Hani?” Soalku dengan suara yang sedikit mengendur. Agar keadaan tidak bertambah kusut.

“Pertama, sebab nak balas dendam. Kedua, mungkin awak nak tahu apa perancangan saya supaya mudah awak nak rancang prank baru.”

Pandainya Lynn berhujah. Rasa nak tercabut telinga aku mendengarnya. Dia fikir aku ini segila itu. Hendak mencuri diari dia semata-mata nak tahu perancangannya? Hanya orang yang tidak ada kerja atau sasau saja yang sanggup buat kerja tidak berfaedah macam itu. Aku ada banyak lagi kerja lain yang boleh dibuat.

For your information, saya dah muak dengan kes balas-membalas dendam ni. Saya dah pencen. Dah ‘letak jawatan’. Kedua, saya lebih rela membaca novel bahasa Perancis yang saya tak faham bahasanya tu daripada membaca diari awak!” Aku menyanggah kata-katanya. Mudahnya dia membuat andaian sendiri. Ingat dia itu pewaris cucu Pak Belalang? Boleh main ramal-ramal?

“Hani… please pulangkan diari saya. Saya merayu. Diari tu sangat bermakna buat saya. Saya janji akan maafkan awak, kalau awak pulangkan…” Lynn merayu.

Terkejut aku dibuatnya. Suara yang keras sebentar tadi bertukar menjadi lemah lembut. Cair siapa yang mendengarnya. Begitu halus dan tulus. Dan sekaligus, mencerminkan aku betul-betul mencuri diarinya. Oh tidak! Filem apa yang Lynn cuba lakonkan sebenarnya? Dan, kenapa mesti aku yang menjadi pelakon tambahannya? Tiada orang lain lagikah? Pening kepala aku memikirkan kerenahnya. Sakit hati apatah lagi.

“Saya tak ambil diari awak.” Kataku ringkas dan tegas.

Mendengar kata-kataku, Lynn seakan-akan mahu menangis. Ya ALLAH… dia benar-benar serius mahu mengenakan aku sekaligus memburukkan namaku.

“Hani, pulangkanlah… Hani pun tahu kan apa rasanya kalau orang baca diari Hani?” Kak Ayu yang dari tadi menjadi pendengar dan pemerhati tidak bertauliah, bersuara. Aku tidak menyangka Kak Ayu percaya dengan tuduhan Lynn. Perlahan aku menggelengkan kepala bagaikan tidak percaya. Sebak menjerut jiwa bila dituduh atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Lantas aku berdiri.

“Kak Ayu, buat kali terakhir Hani beritahu akak… Hani tak ambil diari Lynn. Hani tak ambil diari dia…” Luahku dengan suara bergetar. Aku berlari keluar dari dapur, menuju ke pintu utama rumah.

Suara Kak Ayu yang menjerit memanggil namaku, tidak aku endahkan. Aku berlari mengikut langkah kakiku.

*  *  *

MASA terus berlalu. Entah berapa lama aku bersendirian di sini. Bermonolog di kerusi kegemaranku. Air mata telah lama kering. Aku sedar malam semakin larut. Tetapi, hatiku ini masih berkeras tidak mahu berganjak biarpun berkali-kali otakku memberi amaran tentang malam yang semakin merangkak.

Selepas perbincangan merangkap perbalahan antara aku dan Lynn yang bersaksikan Kak Ayu, aku terus melarikan diri ke sini. Jeritan dan panggilan Kak Ayu, tidak aku endahkan. Aku kecil hati sebenarnya.

Kecil hati kerana Kak Ayu sedikitpun tidak mempercayai kata-kataku. Bagaimana aku nak mengaku atas kesalahan yang langsung tak aku lakukan? Aku telah dianiaya, difitnah. Sedarkah Kak Ayu akan hal ini?

Sekarang mesti heboh satu rumah perihal kisahku. Apa pandangan mereka padaku nanti? Sudikah mereka menerima aku sebagai teman serumah setelah fitnah itu sampai ke telinga mereka? Percayakah mereka pada tuduhan Lynn? Di mana aku nak berteduh jika mereka tidak sudi menerima aku nanti? Ya ALLAH… kusutnya fikiran aku.

Lynn… tidak aku sangka kau sekejam itu. Sanggup menabur fitnah sebegini besar hanya kerana perasaan dendam. Tahukah kau fitnah yang dilemparkan cukup berat untuk aku tanggung? Untukku galas di bahuku ini? Mencuri bukannya perkara kecil. Mencuri satu kesalahan di sisi undang-undang. Kerana perbuatan mencuri, tanggapan orang ramai boleh berubah. Bahkan mencuri itu sendiri satu perbuatan yang berdosa di sisi agama. Astaghfirullahalazim!

Tiba-tiba, aku teringatkan Ummi. Perlukah aku khabarkan berita sedih ini pada Ummi? Aku berkira-kira di dalam hati. Tapi aku tidak mahu Ummi bimbangkan aku. Segera aku batalkan hasratku itu.

“Hani,” Satu suara menyapa tiba-tiba. Hampir-hampir membuatkan aku pengsan di situ. Terkejut!

“Terkejut ke? Akak minta maaf,” Ujar Kak Syima. Dia mengambil tempat di sisiku. Aku memandangnya sekilas sebelum memandang terus ke hadapan. Bagaimana dia tahu aku di sini?

“Tak takut ke, datang sini malam-malam? Seorang diri pulak tu… Bahaya, Hani.” Kak Syima bersuara lagi.

Tidak takut? Aku bukannya seorang yang berani. Tetapi, kekusutan fikiran dan perasaan sebak yang semakin mencengkam berjaya mengatasi rasa takutku sewaktu aku keluar dari rumah tadi. Biarpun begitu, tidak kuluahkan kata-kata itu pada Kak Syima. Aku menyimpannya di dalam hati.

“Kita orang semua risaukan Hani. Tiba-tiba aje Hani lari keluar rumah. Takut juga kalau ada apa-apa terjadi,” Tambahnya.

Kemusykilan melanda. Kak Syima sengaja berpura-pura tidak tahu apa yang terjadi atau sebenarnya dia memang tak tahu. Mustahil dia tidak bertanya pada Kak Ayu.

“Hani, say something,” Pinta Kak Syima dengan lembut.

Aku mengeluh. Berfikir-fikir apa yang perlu aku katakan. Tiada. Otakku seolah-olah telah berhenti berfungsi.

“Apa yang Akak nak Hani cakap?” Tanyaku tanpa perasaan.

Aku mendengar Kak Syima menarik nafas panjang. Kemudian dia bersuara, “Kak Ayu dah ceritakan segala-galanya yang berlaku tadi. Antara Hani dan Lynn.”

“Akak percaya dengan tuduhan Lynn?” Soalku pantas.

“Tak. Hani yang Akak kenal bukan begitu orangnya. Walaupun usia perkenalan kita masih terlalu awal.”

Tuluskah kata-katanya? Atau ianya sekadar pelengkap rasa untuk menyedapkan hatiku yang sedang gundah di kala ini? Sekadar untuk mengambil hatiku?

Ketawa kecil terlepas dari bibirku. Mengisi ruang sepi antara kami. Aku mendongak memandang ke dada langit. Sebuah kapal terbang sedang melintasi ruang udara. Alangkah seronoknya jika aku dapat pulang ke Malaysia. Biarpun untuk seketika.

“Hani ingat Akak sengaja berkata begitu?” Kak Syima menduga.

Aku sekadar menjungkitkan bahu. Tanda tidak dapat meramal.

“Kak Ayu percaya dengan tuduhan Lynn. Takkan Akak tak percaya?”

“Kak Ayu bukannya percaya. Dia sekadar bertanya. Tapi dia mengaku, dia tersilap langkah. Dia terlalu menekan Hani. Dan dia tahu, Hani tak bersalah.” Dia membela.

“Jadi, Akak percaya Lynn sengaja nak kenakan Hani?” Aku membuat kesimpulan.

“Susah Akak nak cakap. Hani bersungguh-sungguh pertahankan diri. Lynn pun sama. Mungkin semua ni hanya salah faham.”

Aku mengalihkan pandangan ke arah Kak Syima. Memerhatikan wajahnya di bawah simbahan lampu taman. Salah faham? Benarkah? Aku ragu-ragu dengan telahan Kak Syima. Bagaimana jika itu memang rancangan Lynn? Tanyaku di dalam hati.

“Hani tak percaya semua ni sekadar salah faham. Lynn memang sengaja memfitnah Hani.” Aku berkata tegas.

Jari-jemari Kak Syima singgah di bahuku.

“Jangan terlalu ikut perasaan. Hani sendiri tak tahu sejauh mana kebenaran anggapan Hani, betul tak? Islam mencela orang yang suka menuduh tanpa menyelidik terlebih dahulu. Perkara begini, lambat laun akan terbongkar juga kebenarannya. Masa tu, baru kita tahu siapa yang benar, siapa yang salah. Lagipun Hani tahu Hani tak bersalah, kan?”

Aku mengangguk mengiakan.

“Dan Akak percayakan Hani. Kami semua percaya Hani tak bersalah. Dahlah… sedih akak tengok adik akak macam ni.”

Lapang rasa dadaku mendengar pengakuan ikhlas Kak Syima. Lega rasanya hati. Segala kerisauan dan kebimbangan aku seakan terbang dibawa angin malam. Asalkan Kak Syima, Kak Ayu, Kak Suzi dan Fariza percaya aku tidak bersalah, itu sudah memadai. Biarlah Lynn dengan anggapan dan tuduhannya. Aku tahu aku tidak bersalah, apa yang nak dirisaukan?

Thanks, Kak Syima,” Ucapku ikhlas dari hati.

“Sama-sama. Jom kita balik. Dah semakin larut ni. Risau pulak dia orang nanti,” Ujar Kak Syima seraya berdiri. Dia menarik tanganku agar turut berdiri di sisinya. Kemudian, kami berjalan beriringan meninggalkan park.

“Hani memang dahsyat. Sanggup lari dari rumah bila merajuk. Selalu practice kat rumah ye?” Sempat Kak Syima mengusik di pertengahan jalan.

“Bukan merajuk laa… orang nak cari ketenangan,” Jawabku. Senyuman manis terukir di bibir. Tidak pernah aku buat perangai seperti ini di Malaysia. Lari dari rumah di waktu malam.

“Yelah tu…,” Ujarnya diiringi ketawa kecil. Dipeluknya bahuku erat.

No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 7

Leave a Reply