Kasih Seharum Lavender - Bab 1

Posted by eita mn on 08 September 2011. Filed under: ,


LANGIT cerah membiru. Ditemani tompokan awan memutih di dadanya. Sungguh indah di pandangan mata. Kepulan awan yang sering berubah-ubah itu bagaikan lukisan abstrak yang dilakar. Sesekali mengkhayalkan. Itulah kuasa Yang Esa. Tidak terduga mahupun terjangkau dek fikiran manusia biasa.

“Hani!” Pemerhatianku terganggu serta-merta. Dari jauh, kedengaran satu suara memanggil namaku dengan lantang.

“Nur Irdina Farhani!” Panggil suara itu lagi. Aku berpura-pura tidak mendengar. Memekakkan telinga. Sengaja ingin melihat sejauh mana dia berusaha untuk menarik perhatianku.

“Buat apa kat sini?” Soalnya setelah menghampiri bench yang aku duduk. Aku tetap tidak menjawab. Sengaja.

“Tak dengar ke?” Keras pula nada suaranya kali ini. Marah agaknya setelah sedikit pun aku tidak membuka mulut. Rasa geli hati yang mengeletek ulu hati, dipendam kemas.

Pap! Serentak itu, satu tepukan singgah di belakang tubuhku. Aku mengaduh kesakitan. Tamparannya tidaklah perit sangat, tapi sakitlah juga. Adus, ini pula yang aku terima sebagai balasan. Padanlah muka aku, nak berlakon sangat. Leterku dalam hati.

“Sakitlah… kalau pun nak tampar, slow lah sikit!” Balasku dengan nada berpura-pura marah. Aku menoleh ke arahnya dengan wajah yang sengaja dikelatkan sedikit.

“Dah tu, aku panggil kau buat tak tahu aje.” Dia membela diri. Senyuman manis terlukis indah di bibirnya yang kemerahan.

“Macam mana kau tahu aku ada kat sini? Kau pasang spy ye?” Soalku dengan senyuman kecil. Wajahku yang kelat bertukar rupa. Mengecil anak mataku merenungnya yang berdiri di sisi. Kenapa dia tidak duduk? Fikirku musykil. Serasaku, muat lagi kalau hendak diisi dengan dua orang pengunjung pun.

“Banyaklah kau punya spy. Kau tu kalau tak ada kat rumah, mesti merayap ke sini punya,” Ujar Lynn sambil tersengih macam kerang busuk. Lynn ataupun nama penuhnya Nurul Adlynn adalah sahabat baikku merangkap teman sebilik dan serumahku di bumi UK. Negara empat musim yang menjadi gelanggang aku menuntut ilmu.

Dia duduk di sebelahku. Seolah dapat membaca apa yang berlegar di mindaku tadi. Aku mendiamkan diri. Merenung sekumpulan kanak-kanak yang bermain. Lynn turut memusatkan pandangannya ke arah yang sama. Buat beberapa ketika, kami asyik melayan diri masing-masing. Aku mahupun dia, terdiam tanpa suara.

Homesick?” Tanya Lynn ringkas tanpa memandangku.

“Mmm...”

Spontan, bibirnya menguntum senyum mendengar jawapanku.

Melihat sebuah keluarga di hadapanku membuatkan ingatanku melayang mengingati Ummi. Betapa rindunya aku pada Ummi. Setahun kami tidak bersua. Bagaimana agaknya Ummi sekarang? Makin tembamkah? Makin kuruskah?

Tiba-tiba, ketawa Lynn meletus. Lantas aku berpaling memandangnya dengan rasa hairan. Apa yang lucunya?

 “Kenapa?” Soalku pelik. Berkerut dahiku.

Dia masih tertawa. “Tak ada apa-apa…” Sembunyinya. Dia mengutip sehelai daun yang kekuningan. Terlalu awal daun itu gugur. Masih ada lebih kurang dua bulan setengah sebelum tibanya musim luruh. Mungkin tidak cukup ‘zat’ agaknya. Sebab itu, ia sudah luruh sebelum musimnya..

“Kalau tak ada apa-apa, kenapa kau ketawa? ”

“Aku teringat masa first year kat sini dulu. Betapa bencinya aku pada kau waktu tu. Tapi siapa sangka… sekarang kita dah jadi kawan baik. Like sisters. Hard to be separated.” Luah Lynn penuh perasaan. Daun di tangannya, dicarik-carikkan sebelum di biarkan jatuh bertaburan di atas rumput.

Ya… siapa sangka. Orang yang aku benci sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini menjadi kawan karibku. Tempat aku berkongsi suka dan duka. Tempat aku meluahkan setiap apa yang aku rasa. Yang setia di sisiku. Di sepanjang masa aku merantau di bumi orang.

Sekuntum senyum turut menghiasi bibirku mengenangkan peristiwa lalu.


No Responses to Kasih Seharum Lavender - Bab 1

Leave a Reply