Kasih Seharum Lavender – Bab 8

Posted by Unknown on 26 September 2011. Filed under: ,

TIGA hari telah berlalu semenjak kehilangan diari Lynn. Hubunganku dengan yang lain tetap seperti dulu. Seperti tiada apa-apa yang pernah berlaku. Sekembalinya ke rumah malam aku melarikan diri itu, Kak Ayu berkali-kali memohon kemaafan. Memohon maaf atas keterlanjurannya ‘menyoal-siasat’ diriku. Aku bersyukur kepada ALLAH kerana mengembalikan kepercayaan mereka terhadapku. Dan juga kerana melindungi hati mereka dari terpengaruh dengan tuduhan Lynn yang tak berasas.

Sejak kejadian itu, aku lihat Lynn semakin menjauhkan diri. Bukan sekadar menjauhkan diri dariku, tetapi juga dengan mereka semua. Tiga malam berturut-turut dia mengurungkan diri di dalam bilik. Jika keluar pun hanya sekejap. Sekadar untuk mengambil makanan atau minuman di dapur. Malukah dia kerana rancangannya tidak berjaya?

Ada ketikanya aku kasihan melihat dia begitu. Bagaikan orang terasing di rumah ini. Silapnya juga. Dia yang rela hati memilih untuk menjauhkan diri. Padahal, mereka yang lain tidak pernah menunjukkan rasa tidak suka atau kurang senang dengan kehadirannya. Baru semalam, Kak Ayu menjengoknya di bilik. Risau dengan sikapnya dua tiga hari kebelakangan ini.

“Hani,” Lembut suara seseorang menyapa di telinga.

Aku mendongakkan kepala. Terhenti nafas seketika apabila seraut wajah menyapa pandangan mata. Tidak berkelip mataku merenung dia yang berdiri terpacak di depanku.

Panjang umur sungguh! Baru diingat-ingat, dia sudah muncul. Bahaya macam ni… Aku kena lebih berwaspada bila memikirkan tentang dia selepas ni.

Apa mahunya? Kehadirannya yang secara tiba-tiba ini, amat mengusarkan hatiku.

“Boleh saya duduk?” Soalnya.

Aku tidak menjawab. Berfikir sebentar. Menimbang buruk-baiknya membenarkan dia berada dekat di sisiku. Mungkin aku perlu mendengar apa yang mahu dikatakannya. Buku-buku yang berada di sebelah, kualihkan ke atas riba. Juga sebagai isyarat membenarkan dia duduk di situ.

Pada mulanya, dia kelihatan sedikit teragak-agak. Tidak pasti sama ada mahu duduk ataupun tidak. Namun, setelah aku memberi isyarat supaya dia duduk, barulah dia berbuat begitu.

Aku menanti dia berkata-kata tetapi dia mendiamkan diri. Entah apa yang sedang difikirnya. Timbul rasa takut di hatiku. Takut seandainya ini merupakan salah satu dari senarai ‘pembalasan dendam’nya. Beranikah dia melunaskan dendamnya di kawasan universiti ini? Di hadapan pelajar yang lalu-lalang?

Apa susah? Aku jerit saja nanti kalau dia betul-betul hendak menuntut bela. Pasti ramai ‘putera buku’ yang sudi menolong puteri yang cantik ini. Omelku di dalam hati.

“Saya nak minta maaf sebab menuduh awak ambil diari saya,” Satu-persatu ayat itu terlontar dari mulutnya yang merah bak delima merekah itu.

Tergamam aku seketika. Kugosok-gosok telinga kiri yang dilitupi tudung hijau ini. Memastikan telinga yang menerima suaranya itu menghantar isyarat gelombang yang betul. Juga untuk memastikan agar tiada isyarat yang tersekat di mana-mana di sepanjang laluannya ke gegendang telingaku. Risau jugak kalau-kalau aku tersilap dengar.

“Diari tu… diari saya…” Berterabur ayat-ayatnya. Tersekat-sekat. Macam budak-budak baru belajar bercakap.

Aku setia menadah telinga. Tidak mahu menyampuk walau sepatah perkataan.

“Diari yang hilang tu, saya dah jumpa… Terjatuh di bawah katil. Saya tak perasan. Ingatkan diari tu saya letak atas meja study. Terlupa yang sebelum tidur malam tu, saya letak di sebelah bantal. I’m really sorry,” Terangnya lancar.

Aku tertanya-tanya sejauh mana keikhlasannya meminta maaf dariku dan tentang kebenaran ceritanya. Adakah kemaafan yang dipintanya itu datang dari hati yang benar-benar rasa bersalah atau sekadar untuk menutup kesalahannya? Aku tidak mempunyai sebarang jawapan. Dari sudut sisi begini, agak sukar untuk aku melihat reaksi dan kejujuran yang terlukis di wajahnya yang cantik itu.

Cantik. Adakah benar aku memujinya tadi? Kuakui Lynn seorang yang cantik. Berkulit putih cerah dan berwajah manis. Tudung yang dipakai, melindungi mahkotanya yang separas bahu dari pandangan mata orang lain.

“Mesti awak susah nak maafkan saya, kan?” Soalnya tiba-tiba. Mematikan gambaran aku tentang dirinya.
Aku masih mendiamkan diri. Tiada apa yang ingin aku katakan. Biarlah dia sahaja yang berceloteh seorang diri. Aku lebih memikirkan perasaanku yang berperang sesama sendiri. Suara hatiku membisikkan kata-kata bahawa Lynn jujur dengan pengakuannya manakala suara hatiku yang lain membangkang keras. Berkecamuk fikiran…

“Masa kita ‘accident’ dulu… bukan niat saya nak menengking awak. Tapi disebabkan fikiran saya yang keliru dan berserabut kerana masalah, tak pasal-pasal awak menjadi mangsa. Sepanjang hari, saya bad mood. Bila awak memalukan saya di café petangnya, lagi bertambah-tambah sakit hati saya. Saya bukannya sengaja nak langgar awak.” Dia memulakan cerita. Membuka kembali sejarah lama yang pernah tercatat dalam diariku. Hari penuh malang yang ingin aku hapuskan dari kotak memoriku ini. Sesekali dia menoleh ke arahku sekilas.

“Tiap kali tengok muka awak, saya mesti teringatkan semula kejadian di café. Dan tiap kali itulah saya rasa sakit hati. Waktu pertama kali menjejakkan kaki ke rumah sewa kita, sukar nak percaya yang awak bakal roommate saya. Walaupun hati ini berat tapi saya terpaksa juga tinggal di situ. Dan pada malam awak memperli saya, saya bertekad nak mengenakan awak. Saya berpakat dengan coursemate saya untuk menghadiahkan awak lalat tu dan sengaja membuat awak menunggu lama di park. Semata-mata untuk membuat awak marah.” Dia berhenti seketika. Menarik nafas panjang.

Akhirnya, dia mengaku juga di depanku. Botol lalat itu rupanya dikirim olehnya. Sekian lama aku menanti pengakuannya itu. Jadi, memang benarlah tekaanku selama ini.

“Malam awak kenakan saya balik…” Ingatanku melayang mengingati malam aku membalas balik perbuatannya. Masih segar di ingatan keadaan dia waktu itu. Terduduk di atas lantai dengan wajah penuh ketakutan. Terbit rasa bersalah di hati.

“Saya betul-betul takut. Mana taknya, masuk bilik aje nampak ‘hantu’. Rasa macam nak tercabut nyawa ni. Bertambah sakit hati saya bila awak pura-pura tak tahu apa yang terjadi. Esoknya… bila awak datang meminta maaf saya nekad takkan maafkan awak. Malangnya, kata-kata awak yang terakhir asyik terngiang-ngiang di telinga. Kemudian saya sedar, sedikit sebanyak saya juga bersalah dalam hal ni. Saya mula terfikir untuk cuba membaiki hubungan kita yang semakin tegang. Lepas tu, secara tiba-tiba diari saya hilang. Saya ingatkan awak yang ambil. Saya dah tak terfikir nak siasat dahulu. Disebabkan rasa marah, saya beritahu Kak Ayu, awak ambil diari tu. Salah saya… Saya minta maaf. Saya benar-benar minta maaf.” Panjang lebar dia meluahkan isi hatinya.

Kerana itukah dia mengasingkan diri? Kerana dia tahu dia bersalah menuduh aku tanpa bukti? Bolehkah aku memaafkan dirinya setelah apa yang dia lakukan? Aku tidak pasti. Yang pasti, buat masa sekarang, hati aku belum terbuka untuk memaafkannya walaupun kadangkala aku simpati dengannya. Aku tidak dapat melupakan sakitnya hati yang aku rasai di saat dia menaburkan fitnah dulu.

“Kak Ayu dah tahu awak tak bersalah. Saya dah beritahu dia semalam,” Ujarnya lagi.

“Baguslah,” ujarku sepatah sambil mataku leka memerhatikan pelajar yang lalu-lalang. Seolah-olah apa yang dikatakannya itu sedikit pun tidak memberi impak padaku. Patutlah lama benar Kak Ayu di bilikku semalam. Mesti dia kena ‘brainwash’.

“Saya tak pinta awak maafkan saya sekarang sebab saya tahu awak masih marahkan saya. Tapi, saya akan meminta maaf dari awak setiap hari sampai awak maafkan saya. Macam awak buat pada saya dulu.” Dia melemparkan senyuman.

Terbeliak mata aku mendengar butir-bicaranya. Minta maaf tiap-tiap hari? Biar benar dia ini. Bersungguh-sungguhkah dia? Benar, aku ada meminta maaf padanya dulu. Selama tiga hari berturut-turut, tapi sedikitpun dia tidak peduli. Semenjak itu, aku sudah berputus asa.

Bagus juga dia berjanji begitu. Boleh aku lihat sejauh mana dia sanggup berusaha untuk mendapatkan kemaafan dariku. Secara tidak langsung, aku dapat menduga keikhlasan hatinya ingin memulihkan hubungan kami.

“Dah habis? Saya perlu ke library.” Lantas aku berdiri sambil mengendong buku-buku di tangan. Tanpa melihat reaksinya, aku berlalu pergi. Lagakku umpama tiada perkara penting yang dikatakannya.

Bukan maksudku untuk bersikap kurang ajar seperti itu. Cuma aku mahu dia tahu apa yang aku rasa bila dia melayan aku begitu sedikit masa dulu. Bukan juga untuk membalas dendam. Sekadar untuk peringatan agar dia tidak mengambil mudah akan perasaanku. Dan agar dia benar-benar menghargai persahabatan yang mungkin akan terjalin di antara kami nanti.

1 comment:

  1. What are the differences between online casino and land-based
    The best online casinos on the 온라인 호텔 카지노 planet can be found here. What is the difference between online casino and land-based casinos?

    ReplyDelete