Antara Kata & Rasa - 4

Posted by eita mn on 30 June 2010. Filed under: ,

Seawal pukul 8.30 pagi hari Ahad minggu berikutnya, aku meluangkan masa di William H. Mortensen Library, perpustakaan universiti yang terletak di tengah-tengah antara kedai buku universiti dan Restoran Kelab 1877. Dalam bangunan Harry Jack Gray Center yang bentuknya seperti huruf U.

Terdapat sebuah lagi perpustakaan di tingkat atas sayap timur bangunan yang sama, Mildred P. Allen Memorial Library. Allen Memorial lebih untuk pelajar yang mengikuti program di The Hartt School, yang merangkumi bidang muzik, tarian dan lakonan. Bangunan Harry Jack Gray Center juga menempatkan Pusat Konferen, Auditorium Wilde, Galeri Joseloff, Jabatan Arkitek, Studio TV, School of Communication (Kolej Seni dan Sains), Muzium Sherman dan nadi penghubung dan penyampai berita di kampus, WWUH-FM Radio.

Sampai saja di sana, aku terus mencari bahan sekaligus membuat research untuk tugasan subjek Geotechnical Engineering. Kurang seminggu lagi, tugasan itu perlu di serahkan pada Mr. Keshawarz. Mr. Mohamad Saleh Keshawarz, pensyarah beruban dan berasal dari Afghanistan itu agak serius orangnya. Jika tempoh dua minggu yang diberinya, maka dalam masa dua minggu jugalah tugasannya perlu disiapkan. Tiada kompromi. Jarang benar dia hendak menunda tarikh yang sudah ditetapkan.

Namun, di sebalik itu, dia sebenarnya seorang yang prihatin. Dia amat peka dengan pelajar-pelajar Islam yang menuntut di UHa. Tambahan pula dengan keadaan dunia dan pandangan serong penganut agama lain, dia banyak memberikan nasihat dan membantu aku dalam menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Dan Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah yang aku hadapi.

Setelah dua jam setengah ‘bertapa’, aku menapak keluar dari perpustakaan. Angin sejuk menerjah ke wajah sebaik aku menolak pintu bangunan. Kesejukan mula berlumba-lumba ingin membelai kulit muka. Tak seinci pun dilepaskan. Aku mengeluarkan handset dari beg sandang dan menghidupkannya semula. Disebabkan handset di larang di bawa masuk ke perpustakaan, aku terpaksa menutup dan menyimpannya di dalam beg.

Tertera ‘2 missed calls‘ di skrin. Aku menekan butang, melihat nama si pemanggil. Kedua-duanya dari Kamilia. Sambil berjalan, aku cuba menghubungi dia. Dua kali mendail semula, panggilanku tetap tak bersahut. Lantas, aku simpan handset ke dalam poket seluar jeans tebalku.

Aku memandang sekeliling. Tak ramai penuntut yang datang ke kampus. Tetapi aku tidak merasa bimbang untuk berjalan seorang diri hingga ke Bloomfield Avenue, jalan utama di luar pintu masuk universiti. Di situlah tempat aku menanti bas untuk pulang ke rumah. Aku yakin keselamatanku di dalam kampus terjamin.

Disebabkan hari ini hari minggu, shuttle bus universiti tidak beroperasi. Maka, aku terpaksa berjalan kaki ke pintu masuk. Jikalau di hari biasa, iaitu di hari kuliah, aku hanya perlu menaiki shuttle bus di dalam kampus. Dan ia akan membawa aku ke destinasi yang aku inginkan tanpa perlu berjalan jauh. Tanpa perlu menghabiskan tenaga yang sememangnya amat ‘mahal’ nilainya di musim sejuk ini.

Aku meneruskan langkah dalam kedinginan musim sejuk dan rona warna putih berserakkan di setiap penjuru alam. Kalau di musim bunga atau di musim luruh, keadaan di sekitar jalan ini indah sekali. Menyaksikan pohon-pohon pokok merendang dan bunga berkuntuman pelbagai warna dan jenis. Rumput-rumput menghijau menghampari kawasan. Ataupun menyaksikan warna ‘emas’ luruh menyentuh bumi ketika musim luruh. Pemandangan sebegitu terlalu mengasyikkan. Keindahan ukiran yang dilakarkan Ya Rabbi, tak terucap dek kata-kata. Hanya hati dan bibir yang menyeru sejuta kesyukuran atas kenikmatan-Nya. Serta memuji kehebatan dan kekuasaan-Nya. Subhanallah…

Sedang aku menyeberangi kawasan tempat meletak kereta Lot K-Commuter, handset berdering dan bergegar. Kukeluarkan, melihat seimbas lalu gerangan orangnya yang menelefon lalu melekapkan ke telinga kanan.

“Abang aku dah on the way. Kau masih dalam kampus lagi ke?” tanya Kamilia sesudah bertukar salam.

Semalam abang Kamilia sampai di New Haven dari New York. Sepatutnya dia bertolak dari Malaysia petang Jumaat, tetapi penerbangannya telah diawalkan. Petang Khamis dia berlepas dan tiba di New York pagi semalam. Tengaharinya dia terus bertolak ke New Haven. Kamilia yang memberitahuku. Dan beritahunya lagi, abangnya telah ‘selamat berkampung’ di New Haven. Maknanya, segala urusan penginapannya sudah selesai.

Jadinya, hari ini dia mengajak Kamilia keluar. Hendak bersiar-siar makan angin sebelum dia mendaftar kursus esok hari. Lagipun, jarak antara New Haven dan Hartford tidaklah jauh sangat. Lebih kurang 40 minit perjalanan menaiki kereta. Tapi kalau menaiki bas, masanya agak lama dari itu. Tambahan pula kalau menaiki bas CTTransit, boleh mencecah dua jam perjalanan. Kalau abang Kamilia tahu menaiki Amtrak, dalam masa kurang sejam sahaja, dia boleh tiba di Hartford. Tidak tahulah, cara bagaimana abang Kamilia mahu ke sini.

Kamilia mengajak aku ikut serta. Pada awalnya aku menolak kerana rasa segan. Tetapi setelah dia betul-betul mengharapkan aku menemani dia, aku menyerah. Aku berjanji untuk keluar bersama dia dan abangnya. Harap-harap abangnya tidak terkejut dan menerima baik diriku yang ‘penyibuk’ itu nanti.

“Aku masih dalam kampus, tapi aku dah nak balik,” beritahuku agar dia tidak menganggap aku masih ingin menghabiskan masa di kampus. Apatah lagi, sebelum keluar rumah tadi, dia sudah berpesan. Pulang ke rumah sebelum pukul 12.30 tengahari. Kerana abangnya mungkin datang dalam pukul satu atau dua petang. Laju sahaja aku mengangguk dan memberi jaminan kala itu. Bahawa aku faham dan akan pulang seperti yang dia mahu.

“Kau dengan siapa sekarang ni?” soalnya ingin tahu.

Alone.”

“Eh, yang lain-lain tak join sekali?” Dia bersuara hairan.

Amat mengerti, siapa yang dia maksudkan, aku memaklumkan, “Workgroup tu dah ‘dibubarkan’. Assignment and lab report, dah beres… Kita orang dah submit kat Mr. Moreno.”

‘Yang lain-lain’ disebutnya itu merujuk kepada teman berkumpulanku, Parvish Kaur dan Elina Swatkalj. Aku kerap bersama mereka semenjak seminggu yang lalu, menyiapkan tugasan berkumpulan yang diserahkan pada kami. Sekejap-sekejap kami di makmal, sekejap-sekejap di perpustakaan. Tugasan itu sudah selesai dilaksana dan diserahkan Jumaat lepas.

“Kau tunggu bas sorang-sorang ke, nanti?”

Aku ketawa kecil dengan soalannya. “Of course. Sekarang pun dah seorang, takkan tiba-tiba nak bertiga pulak…”

Jawapanku membuahkan tawa nipisnya. “Manalah tahu, kot-kot berteman pulak ke… Okeylah, jalan hati-hati…”

Setelah berpesan mengingatkan keselamatanku, dia mematikan percakapan kami. Aku mengorak langkah kaki lebih cepat ke pintu masuk utara kampus. Mencecah Bloomfield Avenue dan keluar dari kampus, aku membelok ke kiri dan menghala terus ke perhentian bas yang terletak di seberang jalan. Sebuah bas berhenti menurunkan penumpang ketika aku sedang menyeberang jalan. Memandangkan bas itu bukanlah yang akan aku naiki, aku tidak tergesa-gesa mengejarnya. Dua orang gadis bertudung menjadi penumpang akhir yang turun sebelum bas itu bergerak semula.

Kamu Kak Leen… Aku pikirin siapa… Masih awal gini sih, mau ke mana? Kok udah mau pulang?” Aku di tegur oleh salah seorang dari gadis bertudung itu dalam loghat Indonesia. Aku hanya beberapa langkah dari perhentian bas tika itu.

Kenal aku dengan kedua-dua gadis Indonesia itu. Yang menegurku, namanya Umi dan yang seorang lagi, yang bertahi lalat di di pipi kirinya itu, bernama July. Wajah dan nama mereka sudah terpatri di minda. Biar jarang bertemu, aku tetap mengingati mereka. Bukan sahaja mereka berdua, malah beberapa orang lagi rakan senegara mereka.

Aku mengukir senyuman. “Ya. Terpaksa balik awal. Ada ‘program‘ selepas ni,” ujarku menjawab soalan Umi, yang juga merupakan rakan sekuliah Maisarah. Dari Maisarah jugalah, puncanya aku mengenali mereka.

Kapan kamu udah ke sini, kak?” July tidak melepaskan peluang bertanya.

“8.30 pagi…” sahutku sambil menolak beg sandang yang hampir terlurut ke atas bahu.

Wah, pagi-pagian udah ke universitas… rajin amat kamu, kak. Ada kerja ya sama teman-teman?

Nggakk..” Terlepas bicara loghat Indonesia dari bibirku. Kedua-duanya tersenyum mendengar. “Ada assignment perlu dibereskan. Kena buat research bahannya di library.”

“Ooo..” Kedua-duanya mengangguk mengerti.

“Kamu berdua hendak ke library ke?” Giliran aku menyoal, meneka arah tujuan mereka di kampus.

Umi menggeleng kepala perlahan. “Nggakk. Presidennya Indonesian student, mau buat meeting. Kami semua di minta attend.

“Nanti bisa makan free…” Aku menyampuk. Tak selalu, tapi setahu aku adakalanya perjumpaan mana-mana persatuan pelajar diiringi dengan majlis makan. Atau sekurang-kurangnya jamuan ringan.

Mana aja bisa makan free, awal-awal lagi udah di bilang nggakk ada makan-makannya. Udah di kasi ‘warning’ sama presiden, meetingnya sekejap aja. Jangan di tungguin jamuannya. Kasi orang capek aja datang ke universitas sekejap gitu. Jauh tau nggakk, mau ke sini.” Panjang muncung July, mempamerkan ketidakpuasan hatinya.

Udah deh! Dari tadi kamu ribut-ribut gini, kok mulutmu tidak capek?” Umi mencelah.

Aku nggakk setuju sama waktu meetingnya. Kenapa nggakk dibuat aja waktu lepas kuliah? Lebih senang, kan…

Sabar aja. Bukan hanya kamu yang kena sih…” Umi mengurut bahu July perlahan. Meredakan perasaan yang bertunas di jiwa rakannya itu.

“Benar tu, July. Anggap aje ini dugaan untuk kita menimba ilmu. Di sini, kita terpaksa korbankan segalanya, tenaga, masa rehat kita, wang ringgit… Demi untuk cita-cita dan harapan kita.” Aku menambah sedikit nasihat untuk July. Moga ‘panas hatinya’ yang mula memercik itu, terpadam terus. Umi mengangguk-angguk, mengiyakan.

Selesai meetingnya kita ke downtown, yuk… Aku belanja kamu aiskrim… Biarin muncung kamu itu, ‘kontot’ terus…“Umi mengajak July.

Makan aiskrim… Apa kamu fikir aku ini budak kecil, bisa di sogok gitu? Pantas kamu, ya..” July bercekak pinggang memandang Umi. Umi tersengih. Aku menyaksikan ‘pertelagahan’ mereka dengan senyuman tak lekang. Tapi tak lama. Tak dapat menahan senyuman lagi, aku ketawa. Diikuti mereka berdua beberapa saat kemudian. Tak sangka mereka juga menganggap pertelagahan itu sebagai mencuit hati.

Tiba-tiba Umi berhenti ketawa. “Lihat, ada cowok tuh. Ganteng bangat sih… Rupanya kalau di lihat, seperti campuran tuh.” Sambil berbisik perlahan, Umi menyiku July di sisinya. Matanya terpusat di belakangku. July melarikan anak matanya mengikut arah pandangan Umi.

Hatiku ikut terasa ingin melabuhkan pandangan pada jejaka yang disebut Umi. Aku berpaling seketika.

Benar bagai di kata. Lelaki itu kacak orangnya. Kelihatan seperti berdarah Arab dan Nusantara. Tinggi dan tegap. Pakaian yang membalut tubuhnya, membuatkan dia tampak santai dan kemas dalam masa yang sama. Parka berwarna coklat gelap dan penutup kepalanya dibiarkan terlipat di atas bahu. Rambut ikal mayang hitamnya, pendek dan tersikat rapi. Ada sedikit juntaian rambutnya yang jatuh ke dahi.

Bagaikan menyedari dirinya diperhati, matanya berlabuh di wajahku. Aku terpana. Terlambat mengelak, anak mata kami bersabung. Untuk sesaat dua itu, pandangan kami terkunci. Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mataku tidak mahu berganjak dari menatap sepasang anak mata coklat miliknya. Sepasang mata yang juga sedang melimpahkan cahayanya jauh hingga ke dalam hatiku.

Bunyi hon kereta mengejutkan tiba-tiba. Aku tersedar. Astagfirullah-hal-azim… Aku beristighfar panjang seraya mengalihkan badan membelakangkan jejaka itu. Aku tidak tahu apa kena dengan diriku. Kenapa sampai begitu sekali aku merenungnya? Bagaimana aku boleh ‘hanyut’ dalam detik masa itu?

Dan jejaka itu, aku langsung tidak mengenali dia. Entah dari mana asalnya. Entah bahasa apa yang dituturnya…. Bagaimana mata, minda dan hati aku terperangkap, dipasung dek renungan matanya? Wah Ain Fadleen, hebat kau! Baru pertama kali bertemu mata, kau sudah ‘tersungkur’ di hadapannya…

Aku jadi malu. Pipiku terasa panas dalam kedinginan musim salji. Aku tak sepatutnya melihat dia dengan cara begitu. Tak sepatutnya aku membiarkan diri terleka!

Aku melemparkan kemarahan suara hatiku pada kereta yang lalu-lalang. Sambil berharap lelaki itu segera hilang dari pandanganku.
Excuse me…” Suara garau seorang lelaki menyapa ragu-ragu. Mungkinkah suara itu milik dia? Aku tak berani hendak berpaling.

Yes…” Serentak Umi dan July menyahut. Tak dapat di sorok lagi, kegirangan mereka menerima sapaan dari lelaki itu. Tapi, benarkah dia? Atau orang lain yang menegur? Entahlah.

Rasa curigaku begitu payah dibendung. Akhirnya, aku memusingkan badan sedikit. Lagipun, aku tidak mahu digelar kurang ajar. Ataupun sombong. Takkan hendak membelakangkan dia. Sedangkan dia sepertinya ingin meminta pertolongan.

Memang sahlah dia! Dapat ku lihat jelas dari sisi.

Sorry to interrupt.. but I needed help. Could you girls tell me which direction to Asylum Avenue?” Dia menanyakan arah jalan. Difokuskan pandangannya pada July dan Umi silih berganti. Diriku yang beberapa inci dari sisinya tidak dipandang. Berkemungkinan dia juga dihenyak segan dengan detik tadi.

Siapa sih mau volunteer, ngomong sama dia?” July bertanya pada aku dan Umi.

Biarin aku aja…” Umi menjawab pantas sebelum dia menghadap lelaki itu. “Let me tell you, sir. You could go up ahead this Bloomfield Avenue until you reached a Y-junction. Take the right turn. Not so far from that turn, you will notice another junction on your left. Turn on that junction and go straight ’till its end. You will come across an intersection there. Again, take the right turn and voila… you’re there. The road on your right is the avenue you’ve been searching for.” Lancar Umi menerangkan dengan tangan ikut menunjuk.

Lelaki itu terdiam sebentar. Seolah cuba mengingati petunjuk jalan yang Umi sampaikan.

Is it so far from here?

About eight minutes drive. I’m sure you will find it. Just follow my instruction. You won’t be lost.” Umi meyakinkan dia.

I see… Thanks for your help…” Lelaki itu meminta diri dan bergegas pergi. Bersama arah jalan yang mungkin telah dipahat di kotak fikirannya. Dia menghala ke sebuah kereta yang menanti di pinggir jalan. Umi dan July memerhatikan dia.

Handsome bangat… Kelihatannya dia seperti 27 atau 28 tahun gitu… Kalo dibandingin, padan ngakk aku sama dia?“  Umi tersengih nakal dengan mata tak lepas dari susuk tubuh lelaki itu.
Nggakk…” sahut July.

Ngapain?

Kerna kamu itu nggakk betah dan nggakk tahan sama laki-laki ganteng. Pantang jumpa aja, semuanya mau… Kasihan sih sama dia kalo dapat kamu…

July ketawa suka hati dapat mengenakan Umi dan aku menyambut tawanya. Manakala Umi, mencebik kerana dikata begitu.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 4

Leave a Reply