Antara Kata & Rasa - 1

Posted by eita mn on 07 June 2010. Filed under: ,


WEST HARTFORD, Connecticut. Suhu pagi itu mencecah -10 darjah Celcius. Itu bukanlah sesuatu yang luar biasa tatkala musim sejuk menjelma. Tetapi, bagi diriku yang masih cuba membiasakan diri, suhu sebegitu tetap terasa 'asing'nya. Mujur juga suhu itu tidak menurun sehingga -19 darjah Celcius, suhu terendah yang direkodkan untuk musim sejuk setakat ini. Dan mujurlah juga, rumah sewaku yang terletak di Norwood Road ini, dilengkapi dengan heater. Tidaklah aku menderita kesejukan di dalamnya.

Aku sedang bertungkus-lumus di dapur apabila secara tiba-tiba, jeritan kecil mengegarkan gegendang telingaku. Aku begitu terkejut. Masakan tidak, tiba-tiba sahaja jeritan itu mengisi sepi di lantai tingkat bawah. Hampir saja terlepas spatula yang aku pegang. Apa yang terjadi?

Segera aku mematikan api dapur dan berlalu ke ruang tamu. Cemas di hati, usah di tanya. Pelbagai perkara buruk yang aku bayangkan. Bumbung runtuh dihempap salji tebal ke?

"What's wrong, Kammy?" soalku kehairanan melihat Kamilia, teman serumah merangkap teman sebilikku, sedang melompat keriangan. Dalam masa yang sama aku turut bersyukur, tiada kejadian buruk yang berlaku.

Gadis yang tua setahun dariku itu tersenyum lebar. "Guess what? My brother's coming here next week."

Patutlah, desisku. Segera aku faham dengan kelakuannya.

"That is good news," kataku seraya menanggalkan apron dari tubuh. Aku menapak semula ke dapur untuk menyangkut apron dan menutup kuali yang sebentar tadi aku biarkan terdedah begitu sahaja. Kemudian, aku kembali mendapatkan Kamilia. Dia sudahpun duduk di hadapan tv sambil menekan remote control, mencari-cari siaran yang menarik.

"Ada apa abang kau ke sini? Just visiting aje ke?" Sebelum duduk di sebelahnya, aku menutup suis lampu. Jarum jam menunjukkan pukul 7.45 pagi. Dengan adanya cahaya matahari, lampu tidak perlu lagi dibiarkan terus menyala. Cukuplah sekadar cahaya semulajadi itu menerangkan keseluruhan rumah dua tingkat ini. Dia kalih ke arahku. "Company dia hantar dia ke sini untuk buat short-course. Maybe for three months."

"Di sini? Maksud kau… di UHa?" soalku merujuk kepada Universiti of Hartford yang terletak di pinggir bandar West Hartford. Universiti itulah yang menjadi tempat kami menimba ilmu di negara Uncle Sam. Sudah habis satu semester pengajianku. Ini bermakna, dah hampir tujuh bulan aku menetap di bumi Amerika Utara.

Wah, dalam berpuluh negeri di United States ini, kenapa Connecticut yang menjadi pilihan? Malah, di bandar West Hartford pula. Mungkinkah abang Kamilia sengaja ingin mengekor jejaknya?

"Bukan di Hartford tapi di New Haven. Dia naik flight dari KL hari Jumaat pagi. He should be here on Saturday and he wants to come here. To UHa, to meet me."

"Bertuah lah kau, bakal ada family kat sini…" Aku senyum dan dia membalas dengan gembira.

"Aku kirim suruh dia bawa rempah kari, serunding, kuah kacang dan nasi impit Adabi yang instant tu, belacan… dan macam-macam lagilah. Bolehlah kita berpesta makanan pure dari Malaysia…"

Belacan? Aku ketawa. Kalau tak dibungkus dengan cermat, alamatnya berbaulah satu kapal terbang…

Pun begitu, bagus juga pesanan Kamilia tu. Dapat juga merasa makanan asli dari Malaysia. Selama beberapa bulan ini, asyik memasak masakan yang bahannya 'made in US' aje. Makanan pun rasa tak sedap seperti di tanah air. Kadang-kala ada bahan yang kurang, terpaksalah guna apa yang ada.

"Banyak ke barang yang kau pesan?" tanyaku sambil menarik majalah Home & Décor ke riba. Sejak semalam majalah itu dibiarkan di ruang tamu. Entah siapa pemiliknya. Sama ada Humayra, pelajar Computer Engineering Technology ataupun Maisarah, yang menyambung pelajaran dalam bidang Architectural Engineering Technology. Hanya mereka berdua yang suka membeli majalah sebegitu. Dan kedua-duanya lebih muda dariku. Begitu juga dengan seorang lagi penghuni rumah ini, Intan Amirah.

"Banyak lah jugak. Tapi tak tahulah abang aku tu nak bawa semua ataupun tak. Kalau semua, rabak beg dia nak mengusung…" Kamilia ketawa di hujung kata-katanya. Pasti dia terbayangkan babak yang di gambarkannya itu.

"Hmm, kalau banyak, apa kata kita buat majlis makan-makan? Kita jemput pelajar-pelajar lain sekali?" Aku membuat cadangan. Tiba-tiba sahaja idea itu terlintas di fikiran. Seronok juga kalau sesekali diadakan majlis sebegitu. Menghimpun sahabat handai dari Malaysia. Sekurang-kurangnya kami mampu memperkukuhkan hubungan silatrurrahim di antara pelajar Malaysia di Hartford.

"Kau nak beritahu pada Abang Jamil?" Kamilia menyoal sambil memandangku.

"Abang Jamil?" Aku jadi keliru semerta. Helaian majalah seterusnya tidak jadi diselak. Aku tak dapat memahami niatnya. Kenapa aku harus memberitahu presiden kepada pertubuhan Malaysian Student Association (MASA) itu?

Bertindak mengeratkan kerjasama dan perhubungan di antara pelajar Malaysia sebagai objektif utama, MASA merupakan satu-satunya persatuan pemangkin yang ditubuhkan. Menyatu-padukan pelajar Malaysia di sini. Selain dari itu, MASA juga berfungsi sebagai medium untuk memperkenalkan budaya Malaysia dan kemesraan serta keramahan rakyat Malaysia di pandangan komuniti di universiti dan juga masyarakat sekitar. Rata-rata pusat pengajian di Amerika yang mempunyai pelajar Malaysia mempunyai persatuan MASA mereka sendiri. Sama seperti di universiti ini.

"Iyelah… Kan nak buat majlis makan? Why not inform Abang Jamil? At least he could tell the others. Tak payahlah kita nak susah-susah sebarkan. Dia presiden MASA kat sini, apa-apa hal yang kita nak Malaysian students tahu, it would be much quicker and less hassle through him. Dia ada cara yang lebih mudah untuk maklumkan pada yang lain."

Mengerti maksudnya, aku mengangguk. "Tapi kau rasa kalau nak tempatkan about 35 people dalam backyard kita ni, cukup ke?" Terfikir pula tentang jumlah pelajar Malaysia yang menuntut di Hartford. Sewaktu bibir lancang mengeluarkan cadangan, fikiran tak pula memproses ke situ.

Dia diam memikir. "Hmm… betul jugak tu. Kalau buat sampai ke yard, still tak muat ke?" tanyanya. Kaca tv langsung tak dipandangnya lagi. Dia terus mengadapku.

Kali ini aku pula yang membisu. Mungkin juga muat jikalau majlis diadakan dari yard di hadapan rumah hingga ke backyard di belakang. Tetapi itu hanya kemungkinan. Aku tidak tahu setakat mana anggapan dan andaian aku dan Kamilia betul. Belum pernah kami menganjurkan sebarang majlis sebelum ini. Kalaupun ada, kurang dari sepuluh orang pelajar yang dijemput. Itupun hanya dari kalangan teman rapat.

"Nantilah kita fikir bila betul-betul dah confirm." Akhirnya ayat itu yang aku keluarkan. Untuk masa sekarang, biarkan dahulu rancangan itu terawang-awang. Apabila abang Kamilia datang dan setelah dipastikan barang-barang yang dibawanya cukup untuk kami membuat majlis, barulah difikirkan semula. Aku rasa itulah sebaiknya.

Kamilia menganggukan kepala, tanda bersetuju. Dia kembali melihat rancangan berita di televisyen. Manakala aku, menyambung semula pembacaanku.

"Kak Leen, breakfast apa pagi ni?" Sepuluh minit kemudian, suara Intan lantang bertanya dari arah tangga.

Aku mendongak. "Makaroni goreng…"

"Sounds tasty! Yummy!"

Aku tertawa kecil. "Itu baru dengar, belum rasa lagi…" usikku.

"Kak Leen masak makaroni goreng memang best!" Puji gadis dari Alor Gajah itu meninggi. Dia turun menghampiri kami di sofa.

"Itu perlian ke pujian betul?" Tahu, aku kalau bab memasak memang tak boleh dapat A. B pun payah. Kalau dapat D tu, dah dikira bagus. Tapi, kalau memasak Makaroni goreng, memang boleh serah padaku. Itu boleh lulus dengan cemerlang.

"Betullah, bukan perlian…"

"Ooo, jadi selama ni, Kak Kammy masak tak sedaplah?" Kamilia mencelah dengan wajah yang tidak manis. Tidak aku tahu dia sememangnya terasa dengan pujian Intan terhadapku ataupun dia hanya berpura-pura.

"Eh, Kak Kammy masak pun sedap.. sama sedap dengan Kak Leen. Cuma Intan aje yang masak tak sedap." Sepantas kilat Intan membetulkan bicaranya. Bimbang Kamilia benar-benar terasa.

Tanpa di duga, Kamilia ketawa mengekek. "Tahu takut…"

"Mana Maira dengan Sara? Dia orang tak nak breakfast ke?" tanyaku selepas itu. Batang tubuh kedua-duanya masih belum kelihatan. Sudah menjadi kebiasaan, kami berlima bersarapan pagi bersama-sama di hari hujung minggu.

Tatkala itu juga, Humaira menuruni anak tangga. Maisarah mengekor tidak jauh di belakang. Aku bangkit berdiri dan melangkah ke dapur.

"Nasib baik cepat. Kalau lambat sikit lagi tadi, kita orang makan dulu." Sempat aku menyakat mereka berdua dalam perjalanan.

"Alah, Kak Leen cakap aje. Belum tentu akak buat," suara Maisarah mengikutku ke dapur. Aku mengambil mangkuk besar lalu menuangkan makaroni goreng ke dalamnya.

Ada benarnya kata-kata Maisarah. Selambat mana pun mereka turun, aku tidak pernah makan dahulu. Acapkali aku akan tunggu juga mereka. Ataupun memanggil mereka sekiranya salah seorang terlewat bangun. Melainkan mereka sendiri yang tak mahu bersarapan, maka aku tidak akan menunggu.

"Nak minum air apa pagi ni, kak?" Humaira menyoal, tangannya memegang teko kaca. Bersedia untuk membancuh air minuman pagi.

"Sara?" Aku pula meminta pendapat Maisarah.

"Sara tak kisah. Apa-apa pun tak apa."

"Intan, nak minum air apa?" Aku bertanya pada Intan yang sedang melangkah masuk.

"Kopi?" Ringkas kata balasnya.

Dan setelah semua bersetuju, Humaira menyiapkan seteko air kopi panas dan diletakkan di meja makan. Maisarah menyusun pinggan-pinggan untuk setiap orang. Intan pula mencari garpu dan sudu di dalam kabinet. Siap sedia segalanya, kami memulakan hari minggu itu dengan aktiviti sarapan berlima. Banyak yang kami bualkan sambil menghadap hidangan pagi itu.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 1

Leave a Reply