Antara Kata & Rasa - 2

Posted by eita mn on 10 June 2010. Filed under: ,


MALAMNYA, aku berteleku di dalam bilik seperti mana kebiasaannya apabila mempunyai tugas yang perlu disiapkan. Perut telah selesai diisi dengan semahunya. Mungkin tidak perlu lagi aku 'berhenti' untuk mengisi perut sehingga tengah malam nanti. Kiranya perjalanan tugasan aku kelak bakal dilaksanakan secara terus-menerus tanpa perlu melangkah keluar dari bilik lagi.

Secawan cappuccino 3-in-1 telah siap dibancuh dan diletakkan di sisi laptop. Sebagai bekalan dan juga 'teman' seperjalanan.  Bolehlah juga menghilangkan rasa mengantuk. Mata ini bukannya boleh dijangka. Walau sudah tidur hampir setengah jam siang tadi, bukanlah bermakna ia akan segar-bugar di awal malam. Apatah lagi, memandangkan tugasan yang berlambak dan memeningkan kepala itu, sekejap sahaja mata ini boleh bertukar layu.

Aku membelek kertas bersaiz A4 yang sarat bertulis. Kemudian menatap pula skrin laptop. Baru jariku hendak memulakan taipan, paparan kotak mesej yahoo messenger muncul menyampaikan pesanan.

angah:  Assalamualaikum. How r u?

Bibir mengukir senyum saat mata terpandang id penghantar. Tugasanku bakal tergendala seketika. Perlu dilayan dahulu insan yang menegur.

nia_niil : Wassalam… Fine as always. Family apa khabar?
angah : Family abang ok. Cuma kak long yang tak sihat.
nia_niil : What's wrong with her?
angah : Selsema, batuk etc.
nia_niil : Dah lama ke?
angah : Dah 5-6 hari jugak lah…
nia_niil : Mesti kes tak jumpa doktor ni…
angah : Biasalah Kak long tu… Setakat sakit sikit-sikit ni bukannya dia nak jumpa doktor.
Aku ketawa kecil. Memang perangai Kak Long. Sakit yang sikit-sikit jarang benar nak ke klinik. Adakalanya ilmu petua turun-temurun yang dia praktikkan untuk sembuh. Selagi tidak mudarat, boleh diubat sendiri, apa susahnya perlu ke klinik, itulah ayatnya yang kerap-kali aku terima.

Kak Long… Kak Long…

nia_niil : Abang Kammy nak datang ke US minggu depan…

Terasa pula hati ini untuk memaklumkan berita itu pada Abang Ngah.

angah : She must be happy and excited… Ain sedih ke abang dan Kak long tak dapat ke sana?

nia_niil : Bukan itu maksud Ain. Ain cuma nak inform abang. Tak ada maksud lain. Anyway, I'm here for 2 years only. And next year I'll be back. Boleh tahan lagi kalau setakat 2 years tak jejak Malaysia, tak jumpa kak long dan abang.
angah : Really? Bunyi cakap Ain macam gaya orang nak sedapkan hati sendiri aje.


Abang Ngah ni…

Aku cakap yang betul. Dianggapnya pula aku sedang berdukacita. Tunggu sekejap…

Aku menekan ikon 'Webcam'.

angah : Eh, kenapa perlu buka webcam pula? Abang online sekejap aje ni. I have a meeting in a few minutes.
nia_niil : To prove something.


Wajah Abang Ngah muncul di sisi kanan kotak pesanan yahoo messenger.

nia_niil : Nampak tak?
angah : Nampak apa?
nia_niil : Muka Ain.
angah : Of course… but why?


Aku senyum ceria. Biar Abang Ngah nampak rupa gembiraku. Adakah pula wajah ceria begini dikatanya sedang berdukacita.

nia_niil : Wajah Ain nampak seperti bersedih ke?

Aku dapat melihat Abang Ngah ketawa di sebelah sana.

nia_niil : See? See?

Aku senyum lagi dengan selebar-lebarnya.

angah : Okey, abang nampak. And I'm happy seeing you're happy over there…

Di wajah Abang Ngah tinggal senyuman. Aku dapat membaca ketulusan hati dia menyatakan rasanya. Hati terasa sayu tiba-tiba. Aku tahu dia selalu mendoakan keselamatan dan kegembiraan aku di sini.

Setelah menamatkan perbualan dengan Abang Ngah, fikiranku melayang. Entah mengapa kali ini, kata-katanya mengheret aku mengingati masa silam yang terlalu ingin aku hindarkan. Masa silam yang berharga tetapi hanya membawa kedukaan buat diriku.

Dalam kemelut perasaan, aku meninggalkan meja tulis. Menuju ke susunan buku di tepi kepala katil. Sebuah buku berkulit tebal yang sudah bertahun usianya kupilih dari susunan yang ada. Isi di dalamnya di selak. Terhenti di halaman yang mengandungi beberapa keping gambar. Gambar yang penuh dengan memori. Dahulu, gambar itu menjadi penghias meja tulis dan dinding bilikku. Bukti betapa hidupku waktu itu lengkap dengan kebahagiaan dan kasih sayang. Penyeri kehidupanku. Namun setelah apa yang berlaku, aku tidak sanggup lagi melihatnya. Lalu aku 'semadikan' gambar itu. Terbiar ia di celah helaian buku itu tidak ditatap selama aku di tanah Amerika Syarikat ini.

Kenangan lalu datang mengetuk kotak ingatan. Membuka kembali kisah lama yang disimpan rapi. Dan rasa sebak mulai mengisi ruang hati.

Biarlah…

Biarlah malam ini air mata ini mengalir. Hanya sekadar untuk satu malam ini sahaja. Kerana esok akan aku pastikan hati ini kembali seperti sediakala. Seperti dunia ini tiada masalah. Sama seperti tekad yang aku buat lebih enam bulan yang lalu di saat tanah Malaysia aku tinggalkan.

Dan air mata menuruni laju membasahi pipi bersama kenangan yang tersimpan kukuh di ingatan dan takkan terpadam buat selamanya.


*  *  *  * *

8 tahun lalu…

Hujan!!!

Dengan tangkas, larian disasarkan ke koridor sekolah yang berada tidak jauh dari kawasan padang. Beg galas berisi beberapa buah buku itu diangkat ke atas kepala. Dijadikan pelindung sementara agar diri tidak dibasahi hujan.

Oh hujan… dirimu hadir bagaikan rahmat! Meneutralkan titis peluh yang terasa melekat di badan… 

Aku menarik baju-T sekolah yang liat tertampal di tubuh. Akibat air hujan bercampur peluh yang dirembes keluar setelah bermain hoki tadi. Seksa juga kalau diserang hujan begini. Nasib baik tak basah kuyup.

Aku memandang sekeliling. Mencari-cari kalau Ainil teman rapatku itu masih belum pulang. Tapi, bukankah aku melihat sendiri ayahnya datang menjemput? Tapi tak mustahil kalau dia masih di sini. Manalah tahu kepulangannya tertangguh.

Aku menebar pandang ke arah tempat meletak kereta. Mengeluh lagi tatkala pasti yang kereta Wira sedan biru gelap tiada di situ. Terpaksa melayan diri sendirilah nampaknya. Apa boleh di buat…

Aku menadah tangan, cuba menghimpun titis-titis air hujan di atas telapak tangan. Walau tahu usaha itu sia-sia, sengaja aku lakukan juga. Al-maklumlah, tiada aktiviti lain yang boleh difikirkan.

Beberapa minit kemudian, aktiviti itu aku rasakan sudah tidak menarik. Alahai, nasib badan! Awal tadi, tak teringin nak pulang ke rumah. Kononnya nak melepaskan penat dahulu. Ingatkan sempat pulang ke rumah. Sekarang dah hujan begini, bagaimana nak pulang? Payung pula terlupa nak di bawa.

Bukan sengaja terlupa, tapi malas! Bidas hatiku. Padan dengan muka!

Aku melihat jam tangan. Dah pukul 6 lebih. Ibu pasti tertanya-tanya ke mana aku pergi.

Segera aku mencapai purse di dalam beg. Lebih baik call rumah dan beritahu sesiapa yang mengangkat panggilan tu nanti tentang kelewatanku. Risau juga kalau ayah menubuhkan search team nanti. Aku bukannya hilang atau diculik. Tapi sengaja menunggu hujan berhenti di sekolah.

"Cari apa cik adik?" tegur satu suara dari belakang.

Aku berpaling. Alhamdulillah, 'rescue' dah sampai!

Seorang lelaki seusia denganku berdiri dengan sekaki payung di tangan. Bajunya bertompok dengan titisan hujan.

"Errr… nak cari…"

Lelaki itu memintas jawapanku. "I don't think you're gonna find it." Dia mengangkat payung di tangannya. Pasti dia fikir aku sedang mencari payung di dalam beg.

Aku senyum tanpa menyangkal katanya. Cari payung pun, cari payunglah! Janji boleh pulang ke rumah berteman dan tanpa kuyup di basahi hujan.

"Abang dah cakap tadi, bawa payung ke sekolah. Tak dengar…" Dia mula membuka kata yang aku teramatlah pasti akan bertukar panjang kalau tak ditahan.

"Okey, Ain bersalah! Ain minta maaf. Sepatutnya Ain dengar cakap abang." Tanpa berlengah aku menambah. Wah, pantasnya kata-kataku umpama kilat. Aku sendiri pun terkejut. Boleh masuk Malaysian Books of Record ni.

"You're lucky I'm not going anywhere. Dapat juga abang datang jemput. Memang abang dapat rasa Ain akan tersangkut dalam hujan."

"Sorry! Abang kan hero Ain. Apa gunanya ada hero kalau setakat untuk di tayang aje?" Aku sengih mengusik. Dia menggeleng dengan senyuman kecil.

Selamat diriku dari bebelan…

"Iyalah, my damsel in distress, memanglah tugas hero nak menyelamatkan puteri kan? Sekarang hero dah sampai, jom kita balik."

Dia membuka payung dan menantiku.

"Untuk selamanya, memanglah abang seorang penyelamat Ain. Tanpamu hidup tak bererti…" usikku lagi lalu menapak ke bawah payung yang di pegangnya. Usikan itu bukanlah usikan kosong tanpa erti. Memang dia acapkali menjadi penyelamatku.

"I know…" balasnya seraya memaut bahuku lebih rapat. Untuk mengelak diriku dari lebih teruk di basahi hujan juga menyampaikan mesej di sebaliknya. Mesej bahawa dia mengerti apa yang aku ucapkan itu memang lahir dari hati.

Aku amat bertuah mempunyai dia. Aku harap sehingga ke akhir usia, dia akan terus berada di sampingku dan menjadi pelindungku. Hanya dia yang banyak memahami dan mengerti dengan diriku.

Dengan sekaki payung itu, kami melangkah meninggalkan kawasan sekolah.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 2

Leave a Reply