Antara Kata & Rasa - 3

Posted by eita mn on 16 June 2010. Filed under: ,


MATAKU yang memberat nyaris terlelap. Mujurlah Maisarah memanggilku.

"Kenapa, Sara?" Aku menyoal tanpa memandangnya. Aku kemas kertas-kertas yang berselerakan di lantai ruang tamu. Mood untuk membereskan assignment, hilang tanpa jejak. Penyakit ingin tidur pula yang asyik mengasak mindaku. Membelai kelopak mataku agar tertutup. Tension sungguh!

Tambahan pula dengan keadaan cuaca yang sejuk, segala-galanya yang hendak dilakukan terasa malas. Sebolehnya, ingin dibuat 'pekasam' saja tenaga dan kehangatan tubuh yang ada. Biar tubuh panas senantiasa.

"Ada call untuk akak…" beritahunya.

"Dari siapa?"

"Abang Hamzah.." jawabnya separuh berbisik. Jari-jemarinya mengaup rapat gagang telefon.

Aku bangun dan melangkah malas ke arah meja telefon di tepi tangga. Apa mahunya abang Hamzah menelefon waktu tengahari begini? Ingin berbincang tentang sesuatukah? Setelah gagang bertukar tangan, Maisarah berlalu ke ruang tamu.

"Assalamualaikum…" sapaku perlahan.

Pantas suara garau seorang lelaki menyambut. "Abang ganggu Leen tidur ke?" Tak disangka, itu soalan pertama yang ditanya.

"Taklah… Dari mana abang tahu Leen tidur? Leen tengah bereskan assignment tadi," dalihku sambil berusaha mengelakkan suara 'hampir-hampir tertidur'ku dari di tangkapnya.

Tawanya yang perlahan menyentuh telingaku. "Dari suara Leen menyapa tadi abang dah dapat agak."

"Leen hampir terlelap aje, tapi belum tidur betul-betul lagi… Anyway, ada apa abang cari Leen? Nak pinjam notes?" Aku mengubah topik perbualan sambil meneka sebab utama panggilannya. Aku tak mahu dia terus menyakatku. Sekaligus terus mengheret perbualan kami menjadi lebih panjang. Sedangkan, otakku asyik terbayangkan bantal di atas. Aku ingin tidur sebentar. Sepicing dua pun jadilah. Asalkan selepas itu assignmentku mampu dibereskan.

Abang Hamzah, duda beranak satu itu sama bidang pengajian denganku. Umurnya belum mencecah 33 tahun tetapi dalam usia 30 tahun dia sudah menjadi duda setelah 6 tahun berkahwin. Rumahtangga yang dibinanya tak dapat dipertahankan. Nurul Balqis, satu-satunya zuriat yang dia ada, ditinggalkan bersama bekas isterinya. Aku tak pernah tahu apa puncanya mereka berpisah. Ada masanya aku bersimpati pada dia. Simpati pada rindu yang dipendam buat anaknya itu.

"Abang keluar beli makanan tadi. Dah balik rumah, baru terperasan, banyak pula makanan yang abang beli. Abang ingat nak hantar ke rumah Leen sikit. Nak tak?"

"Housemate abang tak ada?"

Keluhan nafasnya menyambar cuping telinga. "Tinggal abang dengan Khairi aje. Yang lain dah keluar. Dia orang pun tak sound awal-awal, kata nak keluar. Abang datang rumah Leen sekarang ye?" pintanya mahukan kebenaran.

Memandangkan rezeki tidak harus ditolak, aku memberikan 'lampu hijau' untuk dia bertandang ke rumahku.

Jarak di antara Hilldale Road, kawasan rumah sewa Abang Hamzah dan Norwood Road, memakan masa kurang dari 10 minit. Dan seperti yang telah dijanjikan, loceng pintu rumahku kedengaran hampir tepat pada sela masanya.

Aku bergegas membuka pintu. Sebelum itu, aku menyambar baju sejuk yang tergantung di dalam closet dan menyarungkan ke badan. Wajah abang Hamzah yang tampak masih muda, tersenyum menyambutku. Sedikit kemerah-merahan wajahnya dek cuaca sejuk yang mencengkam. Tersarung jaket coklat gelap di tubuhnya. Di belakangnya, kesan taburan salji tiga hari yang lalu, masih menutupi sebahagian besar sidewalk dan yard di depan rumah.

Aku mempelawa dia duduk di bench kayu di verandah. Sewaktu aku mula-mula memasuki rumah itu, kerusi itu memang sudah ada. Ditinggalkan pemilik tuan rumah sejak lama dahulu. Kelihatan agak usang tapi masih kukuh bertahan.

"Abang datang seorang aje ke? Kenapa tak ajak Khairi sekali?" soalku seraya mengambil bungkusan beg kertas yang dia suakan. Aku letakkan di atas meja kayu empat segi kecil di tepiku.

"Dah ajak tapi dia tak nak. Malas nak keluar katanya, cuaca sejuk macam ni.. Hairan, kan? Patutnya bila cuaca sejuk, kita kena lebih aktif, barulah rasa selesa. Taklah terasa kesejukan memanjang. Kalau asyik mengerekot bawah selimut sepanjang masa, sampai bila-bilalah badan dok terasa sejuk aje. Macam berhibernasi pulak di musim sejuk."

Bicara abang Hamzah sedikit terkena tempiasnya padaku. Bukankah itu apa yang aku 'angan'kan seketika tadi? Aku diam membisu tak berkata apa.

Dari ekor mata, aku perasan Abang Hamzah memaling ke arahku sekilas. "Hmm… diam aje. Leen pun berhibernasi jugak ke?" Dia ketawa halus.

Aku tersengih segan. "Baru nak pasang angan-angan. Tapi dah tak jadi… Abang lah, pemusnah angan-angan Leen. Habis hancur impian Leen tu."

Abang Hamzah ketawa lebih besar. "Abang cuma bagi pendapat. Based on apa yang abang rasa. Up to you nak ikut ke tak."

"Tak jadilah. Cancel…"

Dan dia terus ketawa. Abang Hamzah baik denganku. Dia peramah dan senang di ajak berbual. Dari pertama kali bertemu semasa sesi pendaftaran, kami sudah serasi. Dan keserasian itu berkembang mekar menjadi sebuah persahabatan apabila kami belajar dalam bidang yang sama. Dia umpama rakan dan abang. Yang dapat aku harapkan waktu dalam kesusahan. Selain dari Kamilia dan adik-adik yang berkongsi rumah denganku.

"Budak-budak tu suka sungguh main salji."

Pandangan Abang Hamzah lurus ke hadapan. Anak mataku mengikut. Di seberang sana jalan, dua orang budak perempuan berumur 6 tahun sedang ralit bermain salji. Wajah mereka saling tak tumpah antara satu sama lain. Seiras. Barang-barang permainan bersepah di sekeliling mereka.

"Tiap-tiap petang dia orang main.." kataku sambil memerhati Caroline dan Christina, anak kembar jiranku yang tinggal bertentangan. Comel sungguh kedua-duanya. Rambut mereka yang kerinting halus dan berwarna seakan bulu jagung itu, membuatkan hatiku seringkali terpikat. Mereka bagaikan anak patung!

Mereka bersekolah di Aiken Elementary School, tidak jauh dari rumah sewa Abang Hamzah. Entah Abang Hamzah pernah terserempak dengan mereka sebelum ini atau tidak.

"Balqis mesti suka kalau dapat bermain macam dia orang…" perlahan Abang Hamzah memutar kata. Terpalit sejuta kerinduan bersama kata-kata dan raut wajahnya yang suram itu.

"Abang rindukan dia?" Aku bertanya walau tahu jawapannya.

Perlahan Abang Hamzah mengangguk. "Siapa yang tak rindukan anak?"

Suasana bertukar sepi setelah kami menghentikan perbualan. Aku biarkan Abang Hamzah melayan kerinduan buat 'buah hati'nya itu. Aku terus melihat Caroline dan Christina bermain, menyodok salji ke dalam timba plastik mainan mereka.

Seakan menyedari diri mereka diperhati, kedua-duanya menoleh serentak. Lantas aku melambai. Kedua-duanya ketawa mengekek dan membalas lambaianku. Sesaat kemudian, mereka berdiri dan berlari ke arah kami.

"Leen, you wanna play with us?" suara halus Caroline bertanya. Tujuh bulan mengenali mereka, aku sudah dapat mengecam yang mana satu Caroline dan yang mana satu Christina.

"We can build snowman together…" sampuk Christina pula.

"Or we could build a snow-castle…" Caroline mencelah.

Aku memandang Abang Hamzah, dia tersenyum. Aku jadi malu bila 'rahsia'ku pecah. Pasti selepas ini aku bakal di sakat lagi.

"Sorry, not today girls… I have a visitor. Girls, meet Hamzah. He's my coursemate." Aku memperkenalkan Abang Hamzah pada mereka. Tak berkelip-kelip kedua-duanya merenung lelaki itu sebelum mereka menghulurkan tangan untuk berjabat.

"Don't you girls afraid, she might ruin your snow-house or even smashed your snowman? She told me before; she really hates the snowman because it looks creepy." Abang Hamzah menyampuk tiba-tiba. Aku terkesima.

Caroline dan Christina saling memandang. Raut wajah mereka penuh kehairanan.

"Abang Hamzah! Jangan nak takutkan mereka," jeritku pada Abang Hamzah agak kuat. Memprotes bicaranya. Mana boleh dia kata begitu. 'Meracun' pemikiran budak-budak itu dengan sesuatu yang tidak benar. Mesti mereka takut nak mengajak aku bermain lagi.

"But… last week she looks okay. She helped us make the biggest snowman we could ever lay our hands on. She didn't screamed or look dreadful or anything of the sort. Right, Christy?"

Pantas Christina mengangguk, mengiakan kata-kata kembarnya.

"Don't listen to him. He's just pulling your leg." Segera aku menerangkan hal sebenar. Tidak mahu mereka mengambil serius usikan Abang Hamzah.

Wajah yang keliru, perlahan-lahan di hias senyuman. Jelas, mereka sudah faham. Sejurus itu, mereka meminta diri dan berpatah semula ke tempat mereka bermain tadi.

Melihat mereka bermain semula, aku berpaling pada Abang Hamzah. Ketika itu, dia sedang tersenyum penuh erti. "Ooo, dah berapa lama buat kerja tu?"

"Kerja apa?" tanyaku tak faham. Aku menyeluk tangan yang digigit kedinginan ke dalam kocek baju sejuk.

"Jadi 'companion' budak kembar tu…"

"Sejak winter season bermula…"

No Responses to Antara Kata & Rasa - 3

Leave a Reply