Antara Kata & Rasa - 4
Posted by Unknown on 30 June 2010. Filed under: Antara Kata Dan Rasa, Novel
Seawal pukul 8.30 pagi hari Ahad minggu berikutnya, aku meluangkan
masa di William H. Mortensen Library, perpustakaan universiti yang
terletak di tengah-tengah antara kedai buku universiti dan Restoran
Kelab 1877. Dalam bangunan Harry Jack Gray Center yang bentuknya seperti
huruf U.
Terdapat sebuah lagi perpustakaan di tingkat atas sayap timur
bangunan yang sama, Mildred P. Allen Memorial Library. Allen Memorial
lebih untuk pelajar yang mengikuti program di The Hartt School, yang
merangkumi bidang muzik, tarian dan lakonan. Bangunan Harry Jack Gray
Center juga menempatkan Pusat Konferen, Auditorium Wilde, Galeri
Joseloff, Jabatan Arkitek, Studio TV, School of Communication (Kolej
Seni dan Sains), Muzium Sherman dan nadi penghubung dan penyampai berita
di kampus, WWUH-FM Radio.
Sampai saja di sana, aku terus mencari bahan sekaligus membuat research
untuk tugasan subjek Geotechnical Engineering. Kurang seminggu lagi,
tugasan itu perlu di serahkan pada Mr. Keshawarz. Mr. Mohamad Saleh
Keshawarz, pensyarah beruban dan berasal dari Afghanistan itu agak
serius orangnya. Jika tempoh dua minggu yang diberinya, maka dalam masa
dua minggu jugalah tugasannya perlu disiapkan. Tiada kompromi. Jarang
benar dia hendak menunda tarikh yang sudah ditetapkan.
Namun, di sebalik itu, dia sebenarnya seorang yang prihatin. Dia
amat peka dengan pelajar-pelajar Islam yang menuntut di UHa. Tambahan
pula dengan keadaan dunia dan pandangan serong penganut agama lain, dia
banyak memberikan nasihat dan membantu aku dalam menyesuaikan diri
dengan masyarakat setempat. Dan Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah
yang aku hadapi.
Setelah dua jam setengah ‘bertapa’, aku menapak keluar dari
perpustakaan. Angin sejuk menerjah ke wajah sebaik aku menolak pintu
bangunan. Kesejukan mula berlumba-lumba ingin membelai kulit muka. Tak
seinci pun dilepaskan. Aku mengeluarkan handset dari beg sandang dan menghidupkannya semula. Disebabkan handset di larang di bawa masuk ke perpustakaan, aku terpaksa menutup dan menyimpannya di dalam beg.
Tertera ‘2 missed calls‘ di skrin. Aku menekan butang,
melihat nama si pemanggil. Kedua-duanya dari Kamilia. Sambil berjalan,
aku cuba menghubungi dia. Dua kali mendail semula, panggilanku tetap tak
bersahut. Lantas, aku simpan handset ke dalam poket seluar jeans tebalku.
Aku memandang sekeliling. Tak ramai penuntut yang datang ke kampus.
Tetapi aku tidak merasa bimbang untuk berjalan seorang diri hingga ke
Bloomfield Avenue, jalan utama di luar pintu masuk universiti. Di
situlah tempat aku menanti bas untuk pulang ke rumah. Aku yakin
keselamatanku di dalam kampus terjamin.
Disebabkan hari ini hari minggu, shuttle bus universiti tidak
beroperasi. Maka, aku terpaksa berjalan kaki ke pintu masuk. Jikalau di
hari biasa, iaitu di hari kuliah, aku hanya perlu menaiki shuttle bus
di dalam kampus. Dan ia akan membawa aku ke destinasi yang aku inginkan
tanpa perlu berjalan jauh. Tanpa perlu menghabiskan tenaga yang
sememangnya amat ‘mahal’ nilainya di musim sejuk ini.
Aku meneruskan langkah dalam kedinginan musim sejuk dan rona warna
putih berserakkan di setiap penjuru alam. Kalau di musim bunga atau di
musim luruh, keadaan di sekitar jalan ini indah sekali. Menyaksikan
pohon-pohon pokok merendang dan bunga berkuntuman pelbagai warna dan
jenis. Rumput-rumput menghijau menghampari kawasan. Ataupun menyaksikan
warna ‘emas’ luruh menyentuh bumi ketika musim luruh. Pemandangan
sebegitu terlalu mengasyikkan. Keindahan ukiran yang dilakarkan Ya
Rabbi, tak terucap dek kata-kata. Hanya hati dan bibir yang menyeru
sejuta kesyukuran atas kenikmatan-Nya. Serta memuji kehebatan dan
kekuasaan-Nya. Subhanallah…
Sedang aku menyeberangi kawasan tempat meletak kereta Lot K-Commuter, handset berdering dan bergegar. Kukeluarkan, melihat seimbas lalu gerangan orangnya yang menelefon lalu melekapkan ke telinga kanan.
“Abang aku dah on the way. Kau masih dalam kampus lagi ke?” tanya Kamilia sesudah bertukar salam.
Semalam abang Kamilia sampai di New Haven dari New York. Sepatutnya
dia bertolak dari Malaysia petang Jumaat, tetapi penerbangannya telah
diawalkan. Petang Khamis dia berlepas dan tiba di New York pagi semalam.
Tengaharinya dia terus bertolak ke New Haven. Kamilia yang
memberitahuku. Dan beritahunya lagi, abangnya telah ‘selamat berkampung’
di New Haven. Maknanya, segala urusan penginapannya sudah selesai.
Jadinya, hari ini dia mengajak Kamilia keluar. Hendak bersiar-siar
makan angin sebelum dia mendaftar kursus esok hari. Lagipun, jarak
antara New Haven dan Hartford tidaklah jauh sangat. Lebih kurang 40
minit perjalanan menaiki kereta. Tapi kalau menaiki bas, masanya agak
lama dari itu. Tambahan pula kalau menaiki bas CTTransit, boleh mencecah
dua jam perjalanan. Kalau abang Kamilia tahu menaiki Amtrak, dalam masa
kurang sejam sahaja, dia boleh tiba di Hartford. Tidak tahulah, cara
bagaimana abang Kamilia mahu ke sini.
Kamilia mengajak aku ikut serta. Pada awalnya aku menolak kerana
rasa segan. Tetapi setelah dia betul-betul mengharapkan aku menemani
dia, aku menyerah. Aku berjanji untuk keluar bersama dia dan abangnya.
Harap-harap abangnya tidak terkejut dan menerima baik diriku yang
‘penyibuk’ itu nanti.
“Aku masih dalam kampus, tapi aku dah nak balik,” beritahuku agar
dia tidak menganggap aku masih ingin menghabiskan masa di kampus. Apatah
lagi, sebelum keluar rumah tadi, dia sudah berpesan. Pulang ke rumah
sebelum pukul 12.30 tengahari. Kerana abangnya mungkin datang dalam
pukul satu atau dua petang. Laju sahaja aku mengangguk dan memberi
jaminan kala itu. Bahawa aku faham dan akan pulang seperti yang dia
mahu.
“Kau dengan siapa sekarang ni?” soalnya ingin tahu.
“Alone.”
“Eh, yang lain-lain tak join sekali?” Dia bersuara hairan.
Amat mengerti, siapa yang dia maksudkan, aku memaklumkan, “Workgroup tu dah ‘dibubarkan’. Assignment and lab report, dah beres… Kita orang dah submit kat Mr. Moreno.”
‘Yang lain-lain’ disebutnya itu merujuk kepada teman berkumpulanku,
Parvish Kaur dan Elina Swatkalj. Aku kerap bersama mereka semenjak
seminggu yang lalu, menyiapkan tugasan berkumpulan yang diserahkan pada
kami. Sekejap-sekejap kami di makmal, sekejap-sekejap di perpustakaan.
Tugasan itu sudah selesai dilaksana dan diserahkan Jumaat lepas.
“Kau tunggu bas sorang-sorang ke, nanti?”
Aku ketawa kecil dengan soalannya. “Of course. Sekarang pun dah seorang, takkan tiba-tiba nak bertiga pulak…”
Jawapanku membuahkan tawa nipisnya. “Manalah tahu, kot-kot berteman pulak ke… Okeylah, jalan hati-hati…”
Setelah berpesan mengingatkan keselamatanku, dia mematikan
percakapan kami. Aku mengorak langkah kaki lebih cepat ke pintu masuk
utara kampus. Mencecah Bloomfield Avenue dan keluar dari kampus, aku
membelok ke kiri dan menghala terus ke perhentian bas yang terletak di
seberang jalan. Sebuah bas berhenti menurunkan penumpang ketika aku
sedang menyeberang jalan. Memandangkan bas itu bukanlah yang akan aku
naiki, aku tidak tergesa-gesa mengejarnya. Dua orang gadis bertudung
menjadi penumpang akhir yang turun sebelum bas itu bergerak semula.
“Kamu Kak Leen… Aku pikirin siapa… Masih awal gini sih, mau ke mana? Kok udah mau pulang?”
Aku di tegur oleh salah seorang dari gadis bertudung itu dalam loghat
Indonesia. Aku hanya beberapa langkah dari perhentian bas tika itu.
Kenal aku dengan kedua-dua gadis Indonesia itu. Yang menegurku,
namanya Umi dan yang seorang lagi, yang bertahi lalat di di pipi kirinya
itu, bernama July. Wajah dan nama mereka sudah terpatri di minda. Biar
jarang bertemu, aku tetap mengingati mereka. Bukan sahaja mereka berdua,
malah beberapa orang lagi rakan senegara mereka.
Aku mengukir senyuman. “Ya. Terpaksa balik awal. Ada ‘program‘
selepas ni,” ujarku menjawab soalan Umi, yang juga merupakan rakan
sekuliah Maisarah. Dari Maisarah jugalah, puncanya aku mengenali mereka.
“Kapan kamu udah ke sini, kak?” July tidak melepaskan peluang bertanya.
“8.30 pagi…” sahutku sambil menolak beg sandang yang hampir terlurut ke atas bahu.
“Wah, pagi-pagian udah ke universitas… rajin amat kamu, kak. Ada kerja ya sama teman-teman?”
“Nggakk..” Terlepas bicara loghat Indonesia dari bibirku. Kedua-duanya tersenyum mendengar. “Ada assignment perlu dibereskan. Kena buat research bahannya di library.”
“Ooo..” Kedua-duanya mengangguk mengerti.
“Kamu berdua hendak ke library ke?” Giliran aku menyoal, meneka arah tujuan mereka di kampus.
Umi menggeleng kepala perlahan. “Nggakk. Presidennya Indonesian student, mau buat meeting. Kami semua di minta attend.”
“Nanti bisa makan free…” Aku menyampuk. Tak selalu, tapi
setahu aku adakalanya perjumpaan mana-mana persatuan pelajar diiringi
dengan majlis makan. Atau sekurang-kurangnya jamuan ringan.
“Mana aja bisa makan free, awal-awal lagi udah di bilang nggakk
ada makan-makannya. Udah di kasi ‘warning’ sama presiden, meetingnya
sekejap aja. Jangan di tungguin jamuannya. Kasi orang capek aja datang
ke universitas sekejap gitu. Jauh tau nggakk, mau ke sini.” Panjang muncung July, mempamerkan ketidakpuasan hatinya.
“Udah deh! Dari tadi kamu ribut-ribut gini, kok mulutmu tidak capek?” Umi mencelah.
“Aku nggakk setuju sama waktu meetingnya. Kenapa nggakk dibuat aja waktu lepas kuliah? Lebih senang, kan…“
“Sabar aja. Bukan hanya kamu yang kena sih…” Umi mengurut bahu July perlahan. Meredakan perasaan yang bertunas di jiwa rakannya itu.
“Benar tu, July. Anggap aje ini dugaan untuk kita menimba ilmu. Di
sini, kita terpaksa korbankan segalanya, tenaga, masa rehat kita, wang
ringgit… Demi untuk cita-cita dan harapan kita.” Aku menambah sedikit
nasihat untuk July. Moga ‘panas hatinya’ yang mula memercik itu,
terpadam terus. Umi mengangguk-angguk, mengiyakan.
“Selesai meetingnya kita ke downtown, yuk… Aku belanja kamu aiskrim… Biarin muncung kamu itu, ‘kontot’ terus…“Umi mengajak July.
“Makan aiskrim… Apa kamu fikir aku ini budak kecil, bisa di sogok gitu? Pantas kamu, ya..”
July bercekak pinggang memandang Umi. Umi tersengih. Aku menyaksikan
‘pertelagahan’ mereka dengan senyuman tak lekang. Tapi tak lama. Tak
dapat menahan senyuman lagi, aku ketawa. Diikuti mereka berdua beberapa
saat kemudian. Tak sangka mereka juga menganggap pertelagahan itu
sebagai mencuit hati.
Tiba-tiba Umi berhenti ketawa. “Lihat, ada cowok tuh. Ganteng bangat sih… Rupanya kalau di lihat, seperti campuran tuh.”
Sambil berbisik perlahan, Umi menyiku July di sisinya. Matanya terpusat
di belakangku. July melarikan anak matanya mengikut arah pandangan Umi.
Hatiku ikut terasa ingin melabuhkan pandangan pada jejaka yang disebut Umi. Aku berpaling seketika.
Benar bagai di kata. Lelaki itu kacak orangnya. Kelihatan seperti
berdarah Arab dan Nusantara. Tinggi dan tegap. Pakaian yang membalut
tubuhnya, membuatkan dia tampak santai dan kemas dalam masa yang sama. Parka
berwarna coklat gelap dan penutup kepalanya dibiarkan terlipat di atas
bahu. Rambut ikal mayang hitamnya, pendek dan tersikat rapi. Ada sedikit
juntaian rambutnya yang jatuh ke dahi.
Bagaikan menyedari dirinya diperhati, matanya berlabuh di wajahku.
Aku terpana. Terlambat mengelak, anak mata kami bersabung. Untuk sesaat
dua itu, pandangan kami terkunci. Aku tidak tahu apa yang sedang
berlaku. Mataku tidak mahu berganjak dari menatap sepasang anak mata
coklat miliknya. Sepasang mata yang juga sedang melimpahkan cahayanya
jauh hingga ke dalam hatiku.
Bunyi hon kereta mengejutkan tiba-tiba. Aku tersedar.
Astagfirullah-hal-azim… Aku beristighfar panjang seraya mengalihkan
badan membelakangkan jejaka itu. Aku tidak tahu apa kena dengan diriku.
Kenapa sampai begitu sekali aku merenungnya? Bagaimana aku boleh
‘hanyut’ dalam detik masa itu?
Dan jejaka itu, aku langsung tidak mengenali dia. Entah dari mana
asalnya. Entah bahasa apa yang dituturnya…. Bagaimana mata, minda dan
hati aku terperangkap, dipasung dek renungan matanya? Wah Ain Fadleen,
hebat kau! Baru pertama kali bertemu mata, kau sudah ‘tersungkur’ di
hadapannya…
Aku jadi malu. Pipiku terasa panas dalam kedinginan musim salji. Aku
tak sepatutnya melihat dia dengan cara begitu. Tak sepatutnya aku
membiarkan diri terleka!
Aku melemparkan kemarahan suara hatiku pada kereta yang lalu-lalang.
Sambil berharap lelaki itu segera hilang dari pandanganku.
“Excuse me…” Suara garau seorang lelaki menyapa ragu-ragu. Mungkinkah suara itu milik dia? Aku tak berani hendak berpaling.
“Yes…” Serentak Umi dan July menyahut. Tak dapat di sorok
lagi, kegirangan mereka menerima sapaan dari lelaki itu. Tapi, benarkah
dia? Atau orang lain yang menegur? Entahlah.
Rasa curigaku begitu payah dibendung. Akhirnya, aku memusingkan
badan sedikit. Lagipun, aku tidak mahu digelar kurang ajar. Ataupun
sombong. Takkan hendak membelakangkan dia. Sedangkan dia sepertinya
ingin meminta pertolongan.
Memang sahlah dia! Dapat ku lihat jelas dari sisi.
“Sorry to interrupt.. but I needed help. Could you girls tell me which direction to Asylum Avenue?”
Dia menanyakan arah jalan. Difokuskan pandangannya pada July dan Umi
silih berganti. Diriku yang beberapa inci dari sisinya tidak dipandang.
Berkemungkinan dia juga dihenyak segan dengan detik tadi.
“Siapa sih mau volunteer, ngomong sama dia?” July bertanya pada aku dan Umi.
“Biarin aku aja…” Umi menjawab pantas sebelum dia menghadap lelaki itu. “Let
me tell you, sir. You could go up ahead this Bloomfield Avenue until
you reached a Y-junction. Take the right turn. Not so far from that
turn, you will notice another junction on your left. Turn on that
junction and go straight ’till its end. You will come across an
intersection there. Again, take the right turn and voila… you’re there.
The road on your right is the avenue you’ve been searching for.” Lancar Umi menerangkan dengan tangan ikut menunjuk.
Lelaki itu terdiam sebentar. Seolah cuba mengingati petunjuk jalan yang Umi sampaikan.
“Is it so far from here?”
“About eight minutes drive. I’m sure you will find it. Just follow my instruction. You won’t be lost.” Umi meyakinkan dia.
“I see… Thanks for your help…” Lelaki itu meminta diri dan
bergegas pergi. Bersama arah jalan yang mungkin telah dipahat di kotak
fikirannya. Dia menghala ke sebuah kereta yang menanti di pinggir jalan.
Umi dan July memerhatikan dia.
“Handsome bangat… Kelihatannya dia seperti 27 atau 28 tahun gitu… Kalo dibandingin, padan ngakk aku sama dia?“ Umi tersengih nakal dengan mata tak lepas dari susuk tubuh lelaki itu.
“Nggakk…” sahut July.
“Ngapain?”
“Kerna kamu itu nggakk betah dan nggakk tahan sama laki-laki
ganteng. Pantang jumpa aja, semuanya mau… Kasihan sih sama dia kalo
dapat kamu…“
July ketawa suka hati dapat mengenakan Umi dan aku menyambut tawanya. Manakala Umi, mencebik kerana dikata begitu.
No Responses to Antara Kata & Rasa - 4
Leave a Reply