Antara Kata & Rasa - 9

Posted by eita mn on 15 July 2011. Filed under: ,


MAJLIS yang jarang-jarang diadakan itu berakhir lewat petang. Majoriti tetamu yang datang sudah meminta diri. Tinggal beberapa orang sahaja. Pinggan mangkuk dan semua perkakas yang digunakan sudah siap dikemas. Ruang tamu dan dapur juga sudah dirapi dan disusun semula seperti asal.

"Maira, Sara dan Intan ke mana, Leen?" soal Kamilia.

Dia sedang membancuh kopi panas untuk dihidangkan di ruang tamu manakala aku pula sedang memotong puding jagung yang berbaki untuk dimakan bersama. Sebagai hidangan petang untuk tetamu yang masih belum pulang dan kami juga.

"Kata mereka nak keluar beli barang…" maklumku seperti mana yang aku ketahui.

"They seek you out before they go?"

Puding jagung yang dibuat semalam itu agak lembik. Agak sukar untuk memindahkannya ke dalam pinggan. Tugas itu aku lakukan dengan perlahan dan cermat agar puding itu kekal di dalam bentuknya dan tidak terjatuh di atas meja.

"Ya. Kalau tak beritahu nanti, tertanya-tanya pula kita…" balasku.

"Lama lagi ke nak siap kerja kau tu?"

"Almost done. Just need a few pieces more and then we're ready to go."

Aku menambahkan beberapa ketul lagi puding berwarna kuning itu sementara Kamilia menanti kerjaku selesai. Kemudian kami beriringan membawa hidangan ke ruang tamu.

"Eh, si Puteri belum balik lagi ke?" soal Kamilia tiba-tiba sambil sikunya sempat 'dilayangkan' pada lenganku. Nasib baik jugalah 'layangan'nya itu tidak sekuat mana. Selamat jugalah puding jagung tu.

Ternampaklah dek mataku ini wajah perempuan bernama Puteri yang disebut tadi. Bukan main rancak dia berbual dengan Abang Faid. Entah apalah yang dia ceritakan. Belum sehari kenal, macam sudah berpuluh-puluh hari kenal kalau melihat dari cara berbualnya.

Entah mengapa, hatiku yang tenang, beriak tanpa di sangka. Atas sebab apa?

Cepat-cepat aku benamkan rasa yang tidak enak itu ke dasar hati.

"Kalau memang itu wajah milik Puteri, memang betullah dia belum pulang. Tak tahulah pula kalau tiba-tiba badan orang lain roh orang lain pula," jawabku.

"Ingat ni cerita science-fiction ke?"

Senyuman panjang dari aku menyambut soalannya. Sekali-sekala nak berangan…

"Kenapa lambat pula dia pulang? Selalunya kalau kat rumah orang lain habis makan aje, terus tak nampak bayang…" Kamilia terus mengasak dengan kehairanannya.

"Itu dah macam berbau misteri, kan?"

Kamilia ketawa. "Macam-macamlah kau ni. Aku sedang bercakap hal serius ni."

"Hmm…"

Aku melihat Puteri Jelita. Memang sungguh dia jelita. Bagaikan puteri yang turun dari kayangan. Tidak hairanlah kalau gadis Pan-Asian itu agak terkenal di kalangan pelajar Malaysia yang merantau di bahagian Northeastern. Rupanya saja mampu 'mengelegakkan' hati mana-mana lelaki, belum lagi 'disimbah' dengan senyumannya…

Aku melihat pula jejaka di sebelahnya. Jejaka yang kacak rupanya. Boleh mengusik hati mana-mana wanita.
Aku melihat lagi pada Puteri Jelita yang sememangnya terkenal dengan sifatnya yang umpama rama-rama. Sentiasa menghampiri bunga yang bermadu. Atau dalam kes dia, menghampiri jejaka yang dirasakannya menarik.

Dan kesimpulannya di ketika ini…

"Di mana ada kumbang, di situlah juga ada bunganya…" Nyanyi Kamilia secara tiba-tiba dalam rentak lagu yang entah apa-apa. Siap ditukar pula peribahasa itu.

Kerana nyanyiannya yang cukup perlahan dan entah apa-apa itu, aku ketawa kecil. Terasa lucu pula.
Dia juga sudah faham sendiri dengan persoalan yang dia bangkitkan tadi. Lalu aku tidak menambahkan kata. Sudah maklum dikalangan pelajar Malaysia di sini, bagaimana orangnya si Puteri Jelita itu. Bukanlah hendak dikatakan dia jenis perempuan miang, tetapi selalunya begitu. Pantang ada lelaki handsome, pasti dia juga ada. Dan pandai pula dia memancing perhatian lelaki-lelaki itu.

Aku dan Kamilia ikut serta dalam perbualan mereka. Sesekali, dapat aku kesan Puteri Jelita cuba mengasingkan dirinya dan Abang Faid dari kami. Abang Faid hanya sesekali melayannya sebelum dia menyertai kami semula.

Bukan aku sahaja yang sedar tentang hal itu. Kamilia juga menyedarinya. 'Signal' yang dia cuba sampaikan amat aku fahami.

Tidak lama selepas aku menyertai mereka berbual, Abang Khaizuran dan Abang Faid menyuarakan hasrat hati ingin meminta diri. Kamilia meminta aku mengambil bungkusan makanan yang telah siap dia sediakan. Untuk Abang Khaizuran bawa pulang ke rumah.

Aku ke dapur seketika memenuhi permintaan Kamilia. Sewaktu aku kembali ke ruang tamu, Abang Khaizuran, Abang Faid dan Kamilia telah bergerak ke ruang foyer. Sudah tidak sabar agaknya abang berdua itu hendak pulang.

Segera aku membawa bungkusan makanan kepada mereka. Takut juga kalau mereka sedang menunggu kerana itu.

"Nanti-nanti free la…" Aku terdengar Abang Khaizuran berkata pada Kamilia.

"Okey… Insya-Allah…" balas Kamilia seperti berjanji.

"Ajak Leen sekali. Jangan pula datang seorang…" sampuk Abang Faid.

Eh, rancangan nak ke mana pula? Tup-tap aje rancangannya tanpa 'minit mesyuarat' terlebih dahulu…

"Ataupun ajak satu rumah ni pun tak apa…" Abang Faid menyambung.

"The more, the merrier…" tambah Abang Faid kemudian.

Aku menyuakan bungkusan di tangan dengan muka bersalut tanda tanya. Abang Faid menyambutnya memandangkan dia lebih dekat denganku. "Buat rancangan nak ke mana?" soalku ingin tahu.

"New Haven. Dah dua trip kita orang buat ke sini. Sekarang ni, giliran Ain dan Kammy pulak…" maklum Abang Khaizuran bersama sengihan.

Kamilia dengan cepat menyahut. "Alah, kita orang bukannya tak pernah ke New Haven tu… Dah tiga empat kali jejak dah…"

"Dah pergi bukan bermakna dah melawat semua tempat, kan? Kalau Kammy dan Ain ke sana nanti, kita round la satu New Haven tu," Abang Khaizuran memberi alasan kuat agar kami tak dapat mengelak.

"Oklah. Apa-apa hal, Kammy call or sms nanti," balas Kammy menyerah.

Setelah puas hati dengan perjanjian Kamilia, barulah mereka keluar meninggalkan ruang foyer menuju ke kereta yang di parkir di tepi jalan.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 9

Leave a Reply