Antara Kata & Rasa - 6

Posted by eita mn on 21 June 2011. Filed under: ,


SETENGAH jam di rumah, kami keluar ke bandar Hartford. Tiada tempat khusus yang hendak dituju. Sekadar berjalan-jalan menghabiskan waktu. Juga memberi ruang buat Kamilia dan abangnya meluangkan masa bersama sebelum Abang Khaizuran dan Abang Faid bertolak semula ke New Haven.

Lebih kurang setengah perjalanan kami lalui, Abang Khaizuran tiba-tiba memberhentikan keretanya di bahu jalan. Beberapa meter sahaja dari sebuah simpang empat. Tertanya-tanya juga hatiku sebab-musababnya dia berhenti tiba-tiba begitu.

Kereta rosakkah? Alahai kereta, kalau hendak rosak pun, mengapalah tidak sewaktu kami masih di rumah tadi…

Hatiku meresah. Bimbang seandainya terjadi satu aktiviti yang tidak pernah aku lakukan selama ini. Bagaimana kalau aku, Kamilia dan Abang Faid terpaksa menolak kereta itu? Maka seandainya adegan yang tidak ingin aku bayangkan dan tidak pernah aku impikan itu berlaku, akan terlakarlah satu sejarah baru dalam hidupku.

Inikah masanya aku bakal menyertai aktiviti yang julung-julung kali berlaku itu?

“Kenapa kau berhenti kat sini?” Abang Faid bertanya dengan riak penuh kehairanan.

Abang Khaizuran menarik brek tangan lalu menanggalkan tali pinggang keledar. Kami bertiga menanti jawapan.

“Aku nak ke kedai tu kejap,” balasnya seraya menunjuk ke Albany Grocery Store di hadapan. “Ada barang aku nak cari. Kau orang nak stay dalam kereta atau nak ikut?”

Kamilia terlebih dahulu membuka pintu kereta. Teramatlah jelas jawapannya. Lalu aku menurut. Membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Disusuli dengan Abang Faid dan Abang Khaizuran.

Berdiri di atas concrete pavers, telingaku sayup-sayup menangkap irama muzik. Aku mencari dari mana datangnya. Aku berpusing ke belakang. ‘Heartbeat Music & Cd’s’. Aku teramat yakin muzik itu datangnya dari situ. Selang sebuah kedai sahaja kedai itu dari tempat aku sedang berdiri.

Segera aku memaklumkan pada Kamilia. Aku tidak akan mengikut mereka ke kedai runcit. Kaki ini ‘teringin’ hendak memesong ke kedai muzik. Tanpa banyak bertanya, Kamilia mengikut saja kehendakku. Dan aku tanpa bertangguh, terus bergerak laju. Tepat ke sasaran. Bagaikan peluru berpandu yang sudah di’target’ kedudukannya.

Semakin dekat, semakin jelas alunan muzik itu di telinga. Sungguh indah dan mengasyikkan! Terasa seperti kali pertama mendengarnya walaupun ini bukanlah yang pertama bagiku. Malah koleksi lagunya turut berada dalam simpananku.

Aku menolak perlahan daun pintu cermin yang berpelekat pelbagai poster. Kedengaran loceng berbunyi bergabung dengan alunan muzik. Cacat seketika iramanya. Aku menghayati irama yang dimainkan. Irama yang kini amat jelas di telinga. Alunan violin digesek begitu merdu. Salah satu dari karya terhebat Antonio Vivaldi. Siapalah yang tidak pernah mendengar The Four Seasons yang iramanya terdiri dari Spring, Summer, Autumn dan Winter. Empat violin concertos yang digubah untuk menggambarkan adegan di musim luruh, sejuk, bunga dan panas. Dan kerana itulah juga violin concertos itu dinamakan The Four Seasons. Dan Spring merupakan irama yang paling aku sukai di antara keempat-empatnya.

Irama bertukar. Dari Summer ke Winter. Terasa dekat irama itu di hati. Apatah lagi dengan keadaan musim yang sedang meliputi bumi Hartford tika ini. Aku menghayati irama Vivaldi seketika.

Loceng kedai itu berbunyi lagi. Ada pelanggan yang datang. Aku melihat penjaga kedai yang sedang membaca suratkhabar itu memandang sekilas ke muka pintu sebelum dia kembali pada suratkhabar di hadapannya. Aku melangkah melewati deretan CD. Langsung tidak mengambil pusing pelanggan yang berkunjung ke lot kedai yang tidak sebesar mana ini.

Aku melihat-lihat sambil telinga terus di paku pada irama muzik. Air In G karya Bach yang berkumandang kini. Sedang aku asyik…

“Minat dengan classical music?

Tangan kiriku melayang lalu melekap di dada secara refleks. Terasa betapa pantasnya degup jantungku. Teguran tanpa salam itu membuatkan aku hampir semput nafas!

Kus semangat…

Perlahan aku berpaling ke sisi. Walau seakan tahu siapa pemilik suara itu, kepastian perlu ada. Biar ada buktinya. Agar tidak tersalah orang.

Wajah Abang Faid yang sedikit tersenyum itu terhias di mata. Senyuman yang tidak begitu melebar dan tidak juga terlalu sedikit hingga boleh dikatakan sengaja dibuat-buat. Ada keikhlasan dalam senyuman yang diberikan padaku itu. Aku membalas seadanya perlu. Ada paluan kecil jauh di sudut hati sedang bergendang.

Ah, kenapa dengan hati ini? Chinese New Year dah lama berlalu… Tak perlulah nak bergendang lagi…

Aku mengangguk sebagai jawapan balas pada soalan yang ditanya. Aku meletakkan semula CD Winter Collection yang bertemakan warna biru putih dan berhiaskan pokok fir di kulit depannya. Di tempat aku mengambilnya tadi. CD itu yang ‘menemani’ aku sebelum Abang Faid datang dan menegurku dengan ‘ramah-tamah’nya.

“Hmm… Classical Masterpiece… The Best of Vivaldi…” Abang Faid bersuara perlahan.

Adakah dia sedang memberitahu aku. Atau cuba mengatur perbualan. Aku teragak-agak untuk menjawab. Kerana kalau di pandang sekali ke arahnya, melihat dia agak khusyuk membelek CD berwarna hijau itu, kelihatan seperti dia sedang bercakap sendiri. Tapi, takkanlah dia gila pula nak bercakap seorang diri, kan?

“Leen pernah dengar The Four Season karya Vivaldi?” Terang dan nyata soalan ini ditujukan padaku.

“Pernah,” pendek sekali jawapanku.

“Leen suka yang mana antara keempat-empat muzik tu? Spring sangatlah best…”

“Iya? Leen pun suka Spring…” balasku sedikit teruja. Tak menduga Abang Faid juga sukakan muzik itu.

“Antara semua classical music, muzik dan karya siapa yang paling Leen suka dengar? Abang Faid suka Dance of The Red Pipe…”

“Karya Tchaikovsky?” Sahutku menyudahkan kata Abang Faid tanpa sempat dia menoktahkan kata pernyataannya. Sedia aku tahu siapa lagi pengubah Dance of The Red Pipe kalau bukan lelaki yang namanya aku sebutkan itu.

Dia memandangku. Sedikit terkejut. “Your favourite too?” Soalnya dengan mata membesar.
Tak percaya ke?

Aku mengangguk laju. “My all time favourite,” maklumku. Walau agak tak percaya ‘kebetulan’ yang berlaku secara berturut-turut itu, tapi aku berlagak selamba. Bagiku, tak mustahil andai di dalam dunia ini ada lagi yang ‘berkongsi’ muzik yang sama denganku. Mahupun pada muzik Vivaldi atau Tchaikovsky.

Abang Faid terdiam sedetik. Seperti sedang memikir. Kemudian, dengan jari telunjuk mengetuk lambat-lambat tulang pipinya, dia bersuara, “Wah, citarasa kita serupa…”

Aku senyum. “Ya, citarasa kita serupa. Dan mungkin juga citasa beribu orang lagi yang berkongsi minat dan rasa yang serupa dengan kita.” Agak panjang pula jawapanku kali ini. Dalam rasa menyatakan pendapatku tentang ‘kebetulan’ kami.

Pandanganku tersasar pada cermin kedai yang memisahkan aku dari kedinginan cuaca di luar. Aku seperti ternampak kelibat bayangan seseorang di situ. Aku memfokuskan pandangan pada cermin yang bingkai kelilingnya dilitupi salji. Cuma di bahagian tengahnya saja yang dibersihkan dari kepingan salji.

Kamilia rupanya yang berdiri di luar. Dia melambai dan menggamit padaku. Malas agaknya hendak masuk dan memanggil aku dan Abang Faid sendiri, maka dia lebih rela memanggil kami dari luar. Dan lambaian tangannya terhenti setelah dia pasti aku tahu maksud lambaiannya itu.

Aku memaklumkan pada Abang Faid yang kami perlu beredar. Tidak jadi Abang Faid melihat sebuah CD yang terletak di hujung rak di depannya. Dia mengikut aku keluar dan loceng pintu kedai itu berbunyi lagi. Dua kali loceng itu berbunyi ‘menyambut’ kedatangan dua orang pelanggan tapi sekali sahaja bunyinya ‘menghantar’ pemergian kami.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 6

Leave a Reply