Antara Kata & Rasa - 12
Posted by Unknown on 19 April 2012. Filed under: Antara Kata Dan Rasa, Novel
“Balqis dah online!” maklum Abang Hamzah girang. Tersenyum
gembira dirinya. Mentang-mentanglah ‘buah hati’ sudah muncul. Pantas
jari-jemarinya menari di atas keyboard. Berakhirlah sebuah penantian yang bermula sejak 15 minit yang lalu.
Aku cuba mengintai skrin laptop silver milik Abang Hamzah. Berniat untuk tumpang melihat orang yang dinanti. Tetapi kecewa. Jangankan wajah, kotak yahoo messenger pun tak terlihat.
Pertengahan
minggu lalu, Abang Hamzah ada menyampaikan hajat. Katanya Nurul Balqis,
anaknya di Malaysia teringin hendak berbicara denganku di alam maya.
Atas sebab itu, Abang Hamzah memilih hari ini untuk mengatur pertemuan
kami. Setelah dipastikan aku, dia dan anaknya masing-masing bebas dari
sebarang agenda.
Aku tidak tahu apa yang membangkitkan keinginan
kanak-kanak itu untuk ‘bertemu’ denganku. Selama hampir 7 bulan ini, aku
sekadar mengenali dia melalui nama. Melalui sekeping foto yang kaku.
Dan juga melalui cerita-cerita yang sering aku dengar dari mulut Abang
Hamzah. Barangkali tiba masanya aku melihat dan mengenali orangnya
dengan lebih dekat. Biarpun hanya setakat di alam siber. Ada rezeki
kelak, insya-ALLAH mungkin kami dapat bertemu secara fizikal.
Justeru
itu, dengan ditemani Kamilia, aku menunggu di universiti. Di tempat
yang telah aku dan Abang Hamzah janjikan. Aku tidak terus pulang ke
rumah seperti selalu. Tapi ketika ini, entah ke mana Kamilia pergi. Dia
memberitahu ada hal sekejap tapi tak pula dimaklumkan ke mana. Kalau dia
terlambat, tak dapatlah dia melihat Nurul Balqis. Sedangkan itulah juga
salah satu niatnya menemaniku.
Abang Hamzah didepanku membisu. Seluruh perhatiannya melekap di skrin laptop. Hanya bunyi keyboard ditekan
mengisi suasana kami. Asyik dia melayan anaknya. Aku yakin kerinduan
yang di tanggung buat anaknya terlalu sarat. Lalu aku membiarkan dia
melepas rindu dahulu.
Aku menumpahkan perhatian di skrin laptop
sendiri. Membaca satu-persatu isi-isi yang terkandung di laman web
Wikipedia yang aku sedang layari. Sehinggalah Abang Hamzah menegurku
semula.
“Giliran Leen pula…” Seraya itu, laptop dipusing
mengadapku. Lalu aku menolak laptop milikku ke sebelah kiri sebelum
menarik laptop Abang Hamzah ke hadapan.
“Dah tak sabar Balqis nak berbual dengan Leen,” sambungnya teruja. Terlampau excited dapat meluah kerinduan barangkali.
Di
kotak webcam, terhias wajah seorang kanak-kanak perempuan. Dia sedang
tersenyum manis. Membariskan giginya yang putih. Tangannya
melambai-lambai. Rambutnya yang diikat dua, tergoyang-goyang dengan
rentak badannya. Seorang perempuan dalam penghujung belasan tahun, duduk
menemani disampingnya. Siapa agaknya gadis itu?
Sesekali kedua-dua wajah mereka menjadi blur
seakan berkotak-kotak dan bergerak perlahan-lahan. Mungkin kerana
kedudukan kami yang terpisah beratus ribu batu jauhnya yang menjadi
punca. Aku menghadiahkan senyuman kepada mereka.
- Assalamualaikum
Aku
mengambil langkah pertama menyapa. Tak dapat menahan rasa ingin tahu,
pada Abang Hamzah aku bertanya, “Siapa gadis di sebelah tu, Abang
Hamzah?”
Di kotak pesanan, gadis itu menaip sesuatu.
>Waalaikummussalam… Ini Kak Leen ke?
“Itu adik abang, Suzana namanya…”
Pertanyaan Suzana tidak dibiarkan sepi. Aku membalasnya,
-Ya. Suzana dan Balqis apa khabar?
Kelihatan
Suzana membicarakan sesuatu kepada Balqis. Bibir Nurul Balqis
bergerak-gerak sedikit. Sukar untuk ditangkap butir bicaranya. Selang
beberapa saat selepas itu, Suzana menunduk. Mungkin menaip…
Balqis
yang masih kecil itu belum tentu kenal huruf sepenuhnya. Apalagi kalau
hendak mengeja. Jadi berkemungkinan Suzana telah ‘dilantik’ menjadi
orang perantara. Menyampaikan pesanan kepada Nurul Balqis dan begitulah
sebaliknya.
>Sihat aje. Balqis tanya, Kak Leen kawan baik papa dia ke?
- Iya. Tapi bukan Kak Leen seorang aje. Ada lagi kawan papa Balqis yang lain.
> Ramai ke kawan abang?
- Ramai la jugak. Classmates, housemates, kawan senegara. Balqis bimbang papa dia tak ada kawan ke?
Di
layar webcam, aku nampak Suzana menyampaikan apa yang aku tulis kepada
Balqis. Selepas Balqis berkata-kata, dia menaip semula.
>Kata Balqis, kat Malaysia, papa ada dia. Tapi bila papa ke sana, dia tak dapat nak ikut. Dia kesian kalau papa tak ada kawan.
Ayat
yang muncul itu aku baca. Mendengar tanpa suara kata hati anak itu,
membuatkan jiwaku dilanda kesayuan. Betapa anak yang sekecil itu, yang
masih mentah umurnya, sudah merasai perasaan itu. Ya, rasa kasihan.
Bimbang akan diri ayahnya yang hidup seorang diri di benua lain.
> Abang selalu sebut nama Kak Leen. Sebab tu Balqis nak sangat tengok muka akak…
Muncul pula ayat berikutnya. Belum lagi aku membalas ayat yang sebelumnya.
Aku
ketawa nipis. Hilang rasa sayu sesudah motif ‘pertemuan’ kami
didedahkan. Abang Hamzah selalu bercerita tentang aku pada Balqis, kah?
Cerita tentang apa? Hmm… jangan yang teruk-teruk sudahlah…
- Apa yang dia sebut?
> Pasal
Kak Leen satu course dengan dia. Pasal Kak Leen yang rapat dengan dia
dalam banyak-banyak Malay girls kat sana. Macam-macam lagilah…
- Akak seorang aje Malay girl yang satu couse dengan dia pun.
Aku
cuba memaklumkan pada Suzana kenapa aku dan Abang Hamzah rapat. Agar
dia memahami. Banyak kelas yang kami hadiri bersama. Berbanding dengan
pelajar Malaysia yang lain. Lantas kami kerap bertemu dan kerana itu
hubungan kami lebih akrab. Bukan seperti apa yang orang lain fikirkan.
Selama
ini, aku sedar dan tahu. Apa anggapan pelajar lain tentang hubungan
kami. Konon-kononnya kami berdua bukan sekadar berkawan biasa. Ada
hubungan istimewa antara kami. Tapi, samakah apa yang orang pandang
dengan apa yang kami rasa?
Sungguh, antara kami berdua tiada rasa
istimewa itu. Sekelumit pun tidak wujud. Abang Hamzah pun tidak pernah
mengatakan apa-apa. Tersangat teranglah yang hatinya juga seperti
hatiku. Bebas dari molekul-molekul cinta.
Entah-entah di hatinya
masih berbekas dengan ingatan terhadap bekas isterinya. Siapa tahu?
Cinta pertama hingga ke jinjang pelamin. Pasti banyak kenangan manisnya.
Pasti banyak yang masih dikenang. Bukan terlalu mudah hendak disisihkan
begitu saja.
Apa-apa pun, padaku hubungan kami tak lebih dari
hubungan seorang abang dan adik. Hanya itu. Biarlah orang lain mahu
memikirkan apapun. Bukan tak pernah di terang, dicerita dan dimaklumkan
hal sebenar. Tetapi mereka sendiri yang tak mahu mendengar. Sengaja mahu
terus-menerus mempercayai kata hati dan omongan orang. Takkan aku
hendak menyaman mulut mereka yang tiada insuran itu?
Mujurlah teman-teman serumah memahami keadaanku.
Di sebelah sana, kelihatan seperti Suzana sedang menunjuk-ajar sesuatu pada Balqis. Aku memandang kotak pesanan.
‘Zana is typing...’
Aku menanti dengan sabar.
>Aunty Leen tolong jaga papa, boleh?
Aunty? Aunty?! Biar benar?
Bibirku
hampir-hampir melopong. Mujur aku sempat menahan diri. Nafas terasa
semput. Udara seolah tak mencukupi untuk aku bernafas. Wajah muda belia
begini, sesuai ke di panggil aunty? Bukan nak perasan muda tetapi bila dipanggil aunty, terasa seperti diri ini dah berumur sangat. Seolah-olah sudah separuh abad! Sedangkan umurku belum pun memasuki suku abad.
Aku
memandang Abang Hamzah di depanku. Ralit dengan buku rujukan yang
sedang dibaca. Seperti menyedari dirinya sedang dipandang, dia
mendongak. Berkerut dahinya apabila aku memandangnya tanpa kata. Hairan.
“Kenapa?” soalnya masih dengan kerutan di dahi.
“Balqis panggil Leen, Aunty ke?”
Dia mengganggukkan kepalanya. “Kenapa?” diulang soalan yang sama.
Hendak
cakap ke tidak? Sungguh aku tak dapat terima ‘anugerah’ yang abang
Hamzah berikan untukku. Hendak bercakap terang-terang, malu pula kalau
dikenakan abang Hamzah. Takut diperli, aku nak perasan muda selalu.
“Kenapa tak boleh panggil kakak aje?” saranku takut-takut.
Abang
Hamzah tersenyum. Perli aku ke? Tidak mahu melihat senyumannya yang
mengandungi pelbagai rasa itu, aku memandang ke luar tingkap kafeteria.
“Umur Leen dengan Balqis kan jauh bezanya. Abang rasa sesuai kalau panggil Aunty Leen.”
“Jadi, abang yang suruh Balqis panggil macam tu?”
Dia
menggangguk mengiyakan telahanku. Malas nak memperbesar-besarkan hal
yang kecil begitu, aku membiarkan saja. Menerima tanpa rela ‘darjah
kebesaran’ yang dikalung pada namaku. Aunty pun, aunty lah…
Selepas itu, aku terus melayan Balqis dan Suzana bersembang. Sambil cuba-cuba membahasakan diri Aunty pada Balqis. Walau agak janggal, aku cuba juga berusaha.
Kamilia
datang semula kemudian. Setelah hampir setengah jam dia lesap. Dia
membawa bersama 3 cawan kopi panas. Diletakkan kopi itu di atas meja.
Satu untuk setiap orang. Aku segera memendekkan perbualan dengan Balqis.
Ingin memberi laluan kepada Kamilia pula. Sempat juga dia kembali. Aku
fikirkan tadi peluangnya sudah tertutup.
“Dah daftar nama untuk field trip ke Pennsylvania next week?” Abang Hamzah menyoal. Tahu soalan itu dilontarkan untukku. Kerana Kamilia tak terlibat.
Sebelum menjawab, aku mencapai kopi yang terselit di dalam cup carrier. Nikmat kalau dapat menghirup kopi dalam cuaca begini. “Lusa tarikh akhir untuk daftar, kan?”
Cuma anggukan kepala menjadi jawapan Abang Hamzah.
“Leen belum daftar lagi?” Nadanya sedikit terkejut apabila mengajukan soalan baru.
“Leen tak pergi.”
“Why?”
“Ingat nak spend spring break kat rumah aje…”
“Boleh dapat apa kalau duduk di rumah? At least kalau ikut field trip ni, dapat juga pengetahuan dan pengalaman.” Abang Hamzah seakan tak bersetuju dengan keputusan yang aku ambil.
Betul
apa yang Abang Hamzah katakan itu. Bukannya aku tak sedar. Lebih dari
sedar. Tapi entahlah, aku tiada minat nak ikut serta. Awal-awal lagi aku
sudah merancang untuk duduk di rumah saja. Cuti pun cuma seminggu, bila
lagi nak rest sepenuh hati. Tambahan pulak, tiada seorang pun classmates perempuan yang ikut serta. Masing-masing ada hal. Habis, takkan aku seorang nak join lelaki-lelaki tu? Sekuntum bunga nak diringi berbelas ekor kumbang? No way! Bukan sehari dua trip tu. Lima hari!
“Kalau pergi nanti Leen seorang diri aje…” jawabku. Kopi dihirup perlahan. Panasnya!
“Siapa kata? Abang kan ada… Classmates yang lain pun ada…”
Aku mencebik sedikit. Sungguh Abang Hamzah tak faham dengan maksudku.
“It’s true…” akuiku. “Tapi Leen perlukan females companion. Tak ada seorang pun girls yang nak pergi. Tak naklah Leen hang around dengan males aje.”
“You’re sure?” Abang Hamzah bertanya tak percaya. Mungkin dia tak tahu agaknya.
“Takkan Leen nak tipu abang. Leen dah tanya dia orang last week lagi…” kataku yakin.
“Kalau
ada pun, kau tak boleh nak pergi jugak, Leen,” tiba-tiba Kamilia
mencelah perbualan kami. Matanya terhala ke arahku. Rupanya dia memasang
telinga mendengar perbualan kami.
“Kenapa Leen tak boleh pergi?” Abang Hamzah bertanya memandangnya.
“Dia dah janji nak ke New Haven.”
“Buat apa? Bila?” Dua soalan dihambur serentak oleh Abang Hamzah.
“Maybe on Monday or Tuesday. Dah promise dengan abang Kammy nak jumpa dia kat sana.” Lancar mulut Kamilia menyampaikan.
“Jumpa dia seorang aje?”
“Tentulah tak. Jumpa sekali dengan kawan dia, Abang Faid. Abang Hamzah kenal kan? I’m sure you have met him masa kitaorang buat kenduri hari tu. Banyak agenda dah di atur. Cuma masa aje tak tahu cukup ke tak…”
Semerta, anak mata Abang Hamzah menyapu wajahku. Sepertinya ada perkara yang tak kena di matanya.
Tak
mengambil endah, aku menghirup lagi air kopi sebelum ia bertukar sejuk.
Sekarang pun dah tinggal suam-suam kuku saja. Seperti renungan mata
Abang Hamzah yang dapat aku rasa habanya…
No Responses to Antara Kata & Rasa - 12
Leave a Reply