Kasih Seharum Lavender – Bab 4

Posted by Unknown on 18 September 2011. Filed under: ,


ASSALAMUALAIKUM!” Laungku ke dalam rumah.

Kunci pintu utama kumasukkan kembali ke dalam beg galas. Aku melilaukan pandangan ke seluruh ruang tamu yang kosong tidak berpenghuni. Tiada kelibat sesiapa di situ.

Sunyi-sepi saja rumah ni. Mana dia orang pergi? Desisku.

“Walaikummussalam.” Suara Fariza menjawab salamku tiba-tiba.

Terkejut aku dibuatnya. Masakan tidak, hanya suara dia yang kedengaran. Batang tubuhnya langsung tidak nampak. Mesti dia tersembunyi di balik sofa, dugaku.

Aku bergerak ke ruang tamu. Betul anggapanku. Sebaik sahaja anak mataku tersorot tiga puluh darjah ke bawah, kelihatan Fariza sedang duduk bersimpuh di atas karpet. Dia sibuk menulis sesuatu. Pastilah dia sedang menyiapkan assignment. Buku-buku rujukan dan buku nota berselerak di sekitarnya.

Aku meletakkan beg galas di tepi sofa biru. Kemudian, merebahkan diri di atas sofa. Penatnya… seharian berkejar ke sana ke mari untuk ke kelas. Keletihan jelas menguasai diri. Aku mengunjurkan kaki lurus ke hadapan, meregangkan urat-urat yang hampir kejang.

Aku menutup mata perlahan-lahan. Merehatkan diri dan minda dengan ketenangan dan kesunyian yang mengisi ruang tamu ini.

“Tadi, ada orang cari kau.” Fariza bersuara tiba-tiba. Aku kembali membuka kelopak mataku.

“Siapa?” Soalku pelik. Dahiku berkerut seribu mendengar ‘pengumumannya’ itu. Siapa yang sanggup mencari aku sampai di rumah?

“Aku tak kenal.” Pendek sahaja jawapannya.

“Apa yang dia nak?” Soalku lagi.

“Dia kata nak kasi kau something. And… dia suruh kau jumpa dia kat park dalam neighbourhood kita jam 6.30 petang,” Beritahu Fariza panjang lebar.

Huh? Pelik betul. Setahu aku, aku tidak ada berjanji dengan sesiapa. Malahan, aku bukannya terkenal sangat. Orang-orang kat sini pun aku tidak kenal. Yang lebih menghairankan, benda apa yang orang itu nak beri aku? Penting sangatkah barang yang ingin diberinya itu? Tapi, kenapa dia tidak tinggalkan saja barang tu pada Fariza? Entah-entah dia nak culik aku tak?

Memikirkan kemungkinan yang satu itu, membawa debar di hati. Namun, cepat-cepat aku memadamnya dari ingatan.

“Betul kau tak kenal orang tu, Iza?” Tanyaku meminta kepastian darinya. Dalam masa yang sama hatiku masih berkira-kira samada aku perlu berjumpa atau tidak dengan sesiapa jua yang ingin bertemu denganku. Dan, seterusnya menerima apa jua pemberiannya.

Dia hanya menggeleng. Khusyuk benar dengan tugasan yang sedang disiapkan.

“Orang Melayu ke?” Terkeluar lagi soalan dari bibirku.

Mungkin susah hendak menumpukan perhatian dengan tugasan apabila aku asyik bertanya, Fariza menghentikan kerjanya. Dia memandang wajahku.

“Perempuan mat saleh. Rasanya student,” Ujarnya.

Sorry lah Hani. Aku tak boleh nak jawab soalan kau banyak-banyak. Aku kena submit assignment ni esok. Banyak lagi yang tak siap. Aku tak boleh nak layan kau lama-lama.” Terang Fariza tanpa sempat aku menyambut kata-katanya. Meminta sedikit ruang untuk dia terus menyelesaikan kerjanya tanpa gangguan dariku.

“Pergi ajalah,” Ujarnya sebelum memusatkan kembali perhatiannya pada kertas-kertas di hadapan matanya.

“Biar aku fikir dulu,” Jawabku.

Fariza seperti tidak mempunyai sebarang prasangka buruk tentang orang itu. Jika ada, masakan dia mendesak aku untuk pergi. Mungkin orang itu langsung tidak mempunyai sebarang niat jahat, fikirku. Lagipun, menurut Fariza, yang mencariku itu adalah perempuan. Risiko untuk berlaku sesuatu yang tidak enak adalah rendah.

Ah, pergi sajalah! Aku membuat keputusan muktamad.

Sepintas lalu, aku perhatikan Fariza yang asyik dengan kerjayanya. Pada waktu yang sama, aku kembali membetulkan posisi aku di atas sofa. Dan, tanpa sedar, aku mula terbang dibawa kesepian ke alamku sendiri.

Sudah lebih sebulan aku di United Kingdom. Membawa diri ke perantauan demi segulung ijazah. Tanpa keluarga dan teman-teman di sisi. Adakalanya, aku rasa sunyi. Pernah juga air mata ini menitis setiap kali teringatkan bumi Malaysia. Benarlah kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri.

Selama ini, aku tak pernah hidup jauh dari keluarga. Hidup di asrama pun tidak pernah kurasa bagaimana kehidupannya. Bukannya tidak layak tetapi aku tidak mahu berpisah jauh dari keluarga. Anak mak? Mungkin. Yang pasti aku sentiasa memerlukan Ummi. Untuk memberikan semangat dan dorongan. Untuk berkongsi perasaan. Ummi sebahagian dari hidupku.

Ingatanku melayang mengingati Ummi yang jauh di mata. Sunyikah Ummi tanpa kehadiranku di sisinya? Sepikah hidupnya tanpa gelak tawa dan usikanku? Betapa aku rindukan masakan Ummi. Kelopak mataku terasa pedih tiba-tiba. Sebak mula terasa. Pantang ingat Ummi, air mataku ini mudah sahaja menitis.

Pantas aku mencapai beg galas dan melangkah ke bilik tidur. Malu seandainya air mata ini mengalir di hadapan Fariza.

Aku membaringkan tubuh di atas katil. Air mata menitis perlahan. Rindunya aku pada Ummi.

Hani, kau harus kuatkan semangat. Tabahkan diri mental dan fizikal. Dulu, kau juga yang beria-ia nak menumpang belajar di negara orang. Itukan keinginan kau sejak dari kecil. Sekarang, peluang itu sudah kau dapat. Jangan hampakan harapan Ummi dan Along.

Aku cuba meniupkan kata-kata perangsang sebagai santapan jiwaku yang sarat dengan rindu terhadap Ummi. Alhamdulillah… jiwaku sedikit ‘terbeli’. Aku kembali tenang.

Aku menyeka kelopak mata yang basah. Mujur Miss Snooty tiada. Tidak perlulah dia menyaksikan keadaan aku yang sedikit lemah pada ketika ini. Mesti dia seronok sekiranya dia tahu ‘kelemahan’ aku. Boleh dibuat bahan perliannya nanti. Dan kulit muka siapa yang akan menebal? Aku jugak!

Setelah agak lama melayan perasaan, baru aku tersedar. Aku mempunyai temujanji petang ini dengan wanita misteri. Jam dinding dijeling sekilas. 5.30 petang. Masih ada lagi sejam.

Aku bangun dari perbaringan. Bilik air menjadi sasaran langkah kakiku. Badan perlu dibersihkan. Sudah melekat-lekat macam chewing gum saja rasanya.

* * *
BERBEKALKAN sekeping apple pie yang aku ‘curi’ dari dapur sebentar tadi, aku melangkah ke park. Marah Kak Syima ketika aku mengambil pai ini. Katanya, pai itu untuk makan petang. Separuh merayu juga aku memohon padanya. Kononnya sejak dari tadi lagi, aku tidak menjamah apa-apa. Disebabkan rasa simpati dan sayangnya pada adiknya yang seorang ini, dilepaskan juga pai ini padaku. Maaf, Kak Syima! Adikmu ini tidak mahu ‘berkelah’ kosong.

Aku menyusuri jalan di kawasan kejiranan tempatku menumpang di bumi orang. Pokok-pokok besar merimbun memayungi di kiri dan kanan jalan. Terasa seperti berada di Beverly Hills, tempat tinggal pelakon-pelakon terkenal Hollywood itu. Negara ini memang indah. Patutlah, ramai penerbit filem kerap membuat penggambaran di sini. Tapi, Malaysia pun apa kurangnya. Ada banyak juga tempat-tempat menarik yang sesuai untuk penggambaran filem.

Ingat Malaysia lagi! Kenapalah hari ini aku asyik teringatkan bumi bertuah itu? Andai aku boleh terbang macam Superman… Rasanya dah lama aku balik Malaysia.

Kereta yang lalu-lalang tidak banyak. Ramai penduduk tempatan lebih suka berbasikal. Lebih mesra alam. Udara persekitaran tak tercemar dengan asap-asap ekzos kenderaan. Alangkah bagusnya kalau Malaysia juga begini sikap penduduknya. Malaysia, negara beriklim tropika, panas dan lembap sepanjang tahun. Suhunya boleh mencecah tiga puluh empat darjah Celcius bila hari panas. Jika hari-hari udaranya dijamu dengan asap kenderaan, bertambah-tambah panas jadinya.

Orang-orang Eropah suka sangat melancong ke negara-negara beriklim panas sebab mereka boleh berjemur. Pelik betul, yang berkulit putih nak berkulit hitam. Yang berkulit hitam pula nak berkulit putih. Padanlah orang selalu cakap, manusia ni tidak pernah cukup dengan apa yang dia ada. Tidak pernah nak bersyukur dengan apa yang ALLAH beri.

Sedar tak sedar, aku tiba di hadapan park. Keseluruhan kawasannya kuperhatikan. Ada laluan untuk orang berjoging dan kerusi untuk berehat. A typical park.

Tapi, yang membuatkan aku tertarik adalah suasananya. Redup dan mendamaikan. Rumput menghijau dipagari pula dengan pokok-pokok besar. Hati mana yang tak terpaut. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di sini dan aku berani bertaruh selepas ini aku pasti kembali.

Kerusi yang terletak di bawah sepohon pohon rendang menjadi pilihanku. Apple pie yang tadinya kemas tersimpan di dalam beg plastik, aku keluarkan. Perlahan-lahan aku menikmati keenakan pai itu. Sedap!

Mataku menerawang memerhatikan kawasan sekitar. Mencari-cari kelibat seseorang yang boleh aku tafsirkan sebagai wanita misteri. Seorang pelajar kulit putih, perempuan. Nampaknya, tidak ada lagi manusia yang tergolong dalam ciri-ciri itu di park sekarang. Mungkin dia belum datang lagi, kata hatiku.

Apple pie di tangan telah habis. Beg plastik bekas pengisi pai tadi kulontarkan ke dalam tong sampah yang terletak tidak jauh dariku. Aisey! Tidak masuk pula. Terpaksalah aku bangun dan mengutip beg plastik yang tersasar dan membuangnya terus ke dalam tong sampah. Aku menyelak lengan baju T-shirt yang aku pakai. Seimbas aku melihat waktu yang tertera di jam tangan. 6.45 petang. Lima belas minit sudah berlalu. Sekali lagi aku memusingkan kepala, mencari-cari bayangan wanita misteri itu.

Seorang gadis yang mempunyai ciri-ciri yang digambarkan Fariza melangkah ke arah park. Mungkinkah gadis ini? Aku tertanya-tanya. Langkahnya makin mendekati kerusi di mana aku duduk. Segera aku berdiri. Kuhadiahkan sebuah senyuman. Dia membalas seadanya.

Hi!” Sepatah ayat itu diucapkannya tanpa berhenti di tempat aku berdiri.

Aik… ke mana dia nak pergi? Kuperhatikan langkahnya. Dia menghampiri seorang jejaka yang duduk selang tiga kerusi dariku.

Alamak! Silap orang! Ternyata dia bukanlah orang yang aku tunggu. Dengan perasaan hampa, aku duduk semula. Meneruskan penantian.

Masa berlalu. Tiga puluh minit. Empat puluh minit. Lima puluh minit. Aku mula bosan. Aku sudah tak sanggup nak menjadi ‘minah patung’. Petang semakin beransur pergi. Nasib baik di United Kingdom, mataharinya terbenam lambat. Kalau di Malaysia, sudah hampir gelap rasanya.

Sampai bila aku kena menanti? Entahkan datang, entahkan tidak, gadis itu. Makan petang pukul tujuh pun aku sudah terlepas. Semuanya gara-gara nak berjumpa dia. Aku mengomel di dalam hati. Perasaan tidak puas hati mula menerjah sedikit demi sedikit.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang. Tak larat hendak menanti lebih lama. Baru aku hendak berdiri, seorang gadis datang menghampiri. Dirinya kuamati. Di tangannya terjinjit sebuah beg kertas.

Hi!” Sapanya.

Hi!

Have you been waiting long? I’m sorry for being late. Something came up and I just can’t get myself out of it,” Terangnya tanpa dipinta. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

I was about to head home,” Balasku jujur. Memang itu pun niatku sebentar tadi.

Do I know you?” Tanyaku kemudian. Aku tidak pernah mengenali gadis ini. Dan rasaku, dia bukanlah rakan sekelasku. Jauh sekali teman satu kursus.

Michelle. You didn’t know me. But, I do know you. You’re Hani, right?

Aku mengangguk bagaikan burung belatuk. Fikiran masih lagi sarat dengan pelbagai persoalan.

Why did you want to meet me?” Soalku.

I just want to give you this.” Beg kertas yang dipegang dihulurkannya. Tercengang-cengang aku buat seketika. Tertanya-tanya isi kandungan beg itu.

What’s this?

A gift from someone.”

Teragak-agak aku nak mengambilnya. Perlukah aku berbuat begitu? Mengambil pemberian orang tanpa mengetahui niat dan tujuannya.

Take it.” Dia mendesak. Tanganku dicapainya. Diletakkan beg kertas tersebut di dalam genggamanku. Perasaanku masih bercampur-baur. Kebaikan apakah yang telah aku lakukan sehingga ada insan yang sudi memberikan aku hadiah?

I have to go and thank you for waiting eventhough I’m late,” Ujarnya dan terus berlalu. Meninggalkan aku keseorangan.

Itu aje? Soalku bagaikan tidak percaya.

Aku masih kaku di situ. Sedikit pun tidak berganjak. Gadis itu datang dan pergi dalam sekelip mata. Dan, aku bagaikan terpukau olehnya.

Isi beg kertas kujengah. Di dalamnya, terdapat sekotak hadiah berbalut kertas bercorak. Hadiah itu kubelek-belek seketika. Tiada kad dan nama pengirim yang tertera. Hatiku berkira-kira samada mahu membukanya di sini sahaja atau di rumah nanti.

Apakah isinya? Risau juga hatiku. Manalah tahu, entahkan ada bom ke? Mahu mati katak aku di sini. Ah… lebih baik buka di sini. Kalau ada apa-apa hal, ramai orang di sini boleh menolong.

Akhirnya, aku membuat keputusan. Pembalut kotak hadiah itu aku koyak sedikit rakus. Tidak sabar untuk mengetahui isi di dalamnya.

Hampir tersembul biji mataku apabila isi hadiah itu terdedah. Anak mataku terpaku lama padanya. Bagaikan tidak percaya. Sebotol lalat! Tidak masuk di akal langsung. Insan mana yang berani buat lawak ‘Mr. Bean’ ni? Soalku sendiri.

Aku memusingkan kepala, memerhati sekiranya terdapat van yang tertulis ‘Candid Camera’. Mana tahu jika ada orang yang sedang merakam reaksiku ketika ini. Tidak pasal-pasal aku jadi bahan ketawa di televisyen. Tiada! Nasib baik.

Cis! Hampas sungguh! Siapalah yang rajin sangat bersusah-payah hendak menghadiahkan aku sebotol lalat. Terharu sungguh aku dibuatnya. Sampai tidak terkeluar air mata.

Aku meninggalkan park, berjalan pantas menuju ke rumah sambil membawa bersama beg kertas dan hadiah itu. Tension nya! Penantian yang tidak berbaloi. Penat saja aku jadi patung hari ini. Sebotol lalat yang aku dapat. Berpusing-pusing otakku memikirkan siapa gerangan si pemberi misteri. Setahu aku, tidak pernah pula aku berbuat jahat pada sesiapa. Melainkan…

Miss Snooty! Berkelip cahaya lampu neon di otakku. Sah! Mesti dia punya angkara.

Lagipun, dua hari lepas, aku mengejek dia itu macam langau. Tidak dapat langau, lalat yang diganti. Dadaku kembali menggelegak. Rasa nak kujeritkan suaraku yang lunak dan nyaring ini pada seisi alam. Biar bergegar bumi ini.

Hampir sejam aku membuat kerja yang sia-sia, membuang masa tanpa faedah. Kalau aku siapkan tugasan yang bertimbun, tentu sudah beres. Ditambah pula aku terlepas makan petang. Lagi membara lahar hatiku saat ini.

* * *

ASSALAMUALAIKUM!”

Pang!

Bunyi pintu ditutup seakan-akan bisa merobohkan rumah. Terhentak-hentak kakiku melangkah ke dalam. Setiap hentakan langkah bagaikan mengandungi bom atom yang kukeluarkan dari tubuh. Marah masih bersisa. Beg kertas dan hadiah sebotol lalat telah aku buang dalam tong sampah ketika dalam perjalanan pulang.

“Woi! Kau nak bagi runtuh rumah ke?” Suara Fariza menyapa ke telinga. Dia sedang menonton tv bersama Kak Syima dan Kak Ayu. Nasib baik Miss Snooty tak ada. Kalau tidak, lagi bertambah-tambah menggelegak api di dalam hati aku.

Aku menghempaskan tubuh di sofa. Bersebelahan dengan Kak Syima. Api amarah yang membara cuba kupadamkan dengan kata-kata rasional. Selidik dahulu sebelum menuduh sebarangan walaupun hatiku yakin pemberinya memang Miss Snooty. Pedulikan dia. Tenangkan hati. Relaks. Cool down.

“Jumpa dengan girl tu? Apa yang penting sangat dia nak jumpa kau?” Belum sempat suhu marahku menurun, Fariza menyoal. Dia menoleh ke arahku. Inginkan jawapan. Agaknya dari petang tadi, dia pun tertanya-tanya tentang tujuan wanita misteri itu.

“Huh!” Aku mendengus kasar. Terasa amarah kembali menguasai hati dan fikiran. Tenang, Hani. Aku cuba menenangkan diri.

Mendengarkan dengusanku, Kak Syima bertanya, “Hani, kenapa?”
Tangannya diletakkan di pahaku. Untuk meminta perhatianku barangkali. Aku menoleh ke arahnya.

“Dia tak datang.” Ringkas jawapanku seraya kembali memandang ke hadapan semula. Malas nak bercerita. Nak buat apa? Buat menambahkan sakit hatiku.

Aku cuba memusatkan perhatiannya aku pada kaca tv. Namun, hampa. Fikiranku asyik melayang mengingati kejadian petang tadi. Wajah selamba perempuan mat saleh itu dan Miss Snooty menari-nari di ingatan seakan mengejekku. Aku menggeleng kepala perlahan, cuba mengusir bayangan itu dari minda.

“Patutlah macam nak runtuh rumah ni,” Ujar Fariza sambil ketawa. “Orang yang dinanti, tak datang.”

Ah Iza, andai kau tahu betapa panasnya hatiku saat ini, tentu kau takkan ketawa begitu…

“Yalah… penat aku duduk kat situ. Kebas punggung tau, duduk lama-lama. Kalau seat sofa, tak apa jugak. Ni, bench. Mahu tak sakit hati.” Aku membalas juga kata-katanya tadi dengan wajah kelat sebagai membuktikan padanya kenapa aku perlu berasa marah.

Aku tidak berniat untuk menipu mereka. Di hatiku, seboleh-bolehnya aku tidak mahu mereka ikut masuk campur dalam hal aku dan Miss Snooty. Biarlah apa yang terjadi di antara kami, hanya kami berdua yang mengetahuinya. Bagiku, lebih baik begitu.

“Tak baik marah-marah. Orang tu ada hal agaknya,” Kak Ayu yang diam dari tadi, bersuara. Nampaknya, dia juga ingin berusaha untuk menenangkan hatiku.

“Jangan dilayan sangat rasa marah tu. Diri sendiri yang mudarat nanti. Mungkin dia tak sengaja.” Kak Syima mencelah, tumpang memberikan nasihat.

“Hani dah makan ke belum?”

Aku menggeleng. Baru aku teringat, perutku hanya diisi dengan apple pie tadi. Aku tidak pula terasa lapar. Mana nak rasa lapar bila hati berapi saja. Kataku pada diri sendiri.

“Akak ada simpan sikit makanan untuk Hani. Pergilah makan,” Pelawa Kak Syima lembut.

“Kejap lagilah makan. Hani nak masuk bilik kejap. Terima kasih , kak, sebab simpan makanan untuk Hani,” Ucapku lantas bangun meninggalkan mereka.

Sebelum melangkah pergi, aku sempat bertanya, “Lynn ada kat bilik ke?”

“Dia keluar tadi. Katanya ada kerja sikit. Malam nanti baru balik.”

Jawapan Kak Ayu membuatkan aku rasa lega. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu berdepan dengan dia di saat ini. Mana tahu, kiranya perasaan amarahku ini tambah menggelegak apabila terpandang wajahnya. Takut nanti tidak pasal-pasal ada ‘WWE Smackdown Live’ kat rumah ni!

Beberapa langkah berjalan, aku berpaling semula.

“Tadi aku tengok kau gigih benar buat assignment, Iza. Dah habis ke? Relaks aje.” Hairan aku. Tadi nak jawab soalan aku pun payah. Tekun sangat buat tugasan. Sekarang boleh pula lepak tengok tv.

“Dah beres…” Sahutnya dalam nada ceria.

No Responses to Kasih Seharum Lavender – Bab 4

Leave a Reply