Kasih Seharum Lavender - Bab 2

Posted by Unknown on 10 September 2011. Filed under: ,


BUK!! Secara tidak sengaja aku terlanggar seorang pelajar. Dia terdorong ke hadapan, hampir-hampir terjatuh. Namun, dia sempat mengawal imbangan badannya.

Aku pula sempat mendakap dengan erat buku-buku yang dikendong ke dada. Tindakan drastikku untuk menghalang buku-buku itu dari berteraburan di atas lantai koridor. Jenuh aku nak mengutip buku-buku itu nanti dalam kelompok pelajar yang ramai ini. Jika ada yang mahu menolong, untung juga aku. Tapi, kalau dibuatnya buku-buku aku itu macam bola, memang nahas aku. Tercongok-congoklah aku seorang nak mengutipnya.

Itulah padahnya kalau berjalan tidak melihat ke hadapan. Sudahlah bangun lewat, bas pula lambat. Terkocoh-kocoh aku berjalan masuk ke universiti, mencari kelas. Baru seminggu belajar kat sini, sudah pandai nak buat hal. Leterku di dalam hati. Panas hatiku mengenangkan sikapku yang kadangkala cuai.

I’m sorry,” Pantas ayat itu keluar dari bibir. Maaf perlu dipinta. Sudah salahku. Aku menghalakan pandangan ke arah pelajar tersebut. Manis dan cantik orangnya. Bertudung pula. Takku sangka pelajar itu dari Asia Tenggara juga. Namun, aku kurang pasti samada dia dari Malaysia, Indonesia ataupun Brunei.

“Buta ke?” Tengkingnya tiba-tiba. Jeritan suaranya menggegarkan gegendang telingaku. Macam nak pecah rasanya. Dia memandang tepat ke wajahku. Tajam pandangannya. Marah sangat ke perempuan ni? Rasanya, aku sudah minta maaf tadi. Ataupun, aku telah tersilap menuturkan ayat?

Tiada langsung senyuman di wajahnya. Habis wajah yang cantik itu bertukar menjadi seperti muka samseng. Serius dan menakutkan. Sorotan matanya saja macam nak telan aku hidup-hidup. Aku langsung menjadi kecut perut. Gerun hendak menatap wajahnya.

“Lain kali, jalan pandang depan. Mata tu letak kat atas, bukannya kat lutut.” Sinis dia bersuara sambil terus berlalu pergi. 

Aku terkedu dengan reaksi dan tindakannya. Jelas sekali dia juga berasal dari negara yang sama denganku. Malaysia. Tetapi, kenapa sekasar itu bahasa pertuturannya? Sepatutnya bila berada di perantauan, jauh dari tanahair tercinta, kita akan lebih menghargai dan rasa gembira kerana bertemu dengan orang yang sebangsa dan seagama dengan kita. Tetapi, dia? 

Perilaku dan lagaknya sungguh sombong! Terdetik di benakku, takkan semua orang Malaysia di sini sombong begitu. Benda sekecil ini pun tidak boleh nak dimaafkan? Bukan aku sengaja. Manusia… rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Tak semua pandangan kau sama dengan orang lain, Hani. 

Rasanya, hendak saja aku kejar perempuan itu dan menjelaskan bahawa aku tak sengaja. Tapi, aku hanya ada sepuluh minit sahaja sebelum kelas bermula. Lagipun, aku masih perlu mencari di mana lokasi kelas aku. Mahu tak mahu, aku terpaksa berlalu dari situ dan melupakan seraut wajah ‘samseng’ itu. 

Hampir lima minit aku terpaksa berlegar-legar di kawasan fakulti. Kenapalah semua universiti dibina di kawasan yang luas? Penat nak menapak masuk ke universiti satu hal, terpaksa ‘bersiar-siar’ mencari kelas, satu hal lagi. Tambahan pula bila masa ‘darurat’ macam ni… 

Tidak usah nak membebel. Salah kau juga, Hani. Bangun lambat! Marahku pada diri sendiri.

Akhirnya, aku berjumpa juga bilik kuliah yang aku cari tiga minit sebelum kuliah bermula. Sebaik aku melangkah ke dalam kelas, mataku tertancap pada seraut wajah yang amat aku kenali. Bukan kenal lama. Tetapi, baru dikenali lebih kurang sepuluh minit yang lepas. Perempuan itu! Miss Snooty! Pandai-pandai saja aku beri gelaran itu pada dia. Ah, bukan salahku. Dia yang memberikan tanggapan dirinya begitu.

Dia hanya menjeling sekilas ke arahku. Sebuah jelingan yang menggambarkan dia cukup tidak senang dengan kehadiranku. Seperti tadi, tiada senyuman yang terukir di wajahnya. Melihat riak wajahnya yang seperti itu  membuatkan perasaan malas menapak di hatiku. Malas untuk ‘membebel’ padanya tentang salahku yang tak disengajakan tadi. Sekaligus, memohon kemaafan buat kali kedua. Biarlah.

Aku mengatur langkah menuju ke ruang kosong di bahagian sebelah kiri kelas. Tidak sedikitpun aku memandang ke arahnya. Aku memerhati sekeliling. Nampaknya hanya aku dan Miss Snooty pelajar dari Malaysia. Yang lain semuanya berbangsa asing. Apalah nasibku hari ni.

* * *

ALHAMDULLILAH, aku memanjangkan syukur. Nasib baik ,dia masih ada di situ. Aku mempercepatkan langkah.

“Iza!” Laungku pada seorang gadis yang berdiri terpacak menanti kedatanganku di hadapan fountain di perkarangan universiti. Gadis itu berpaling. Mukanya masam mencuka. Lebih masam dari buah asam yang berkedut seribu.

Pertama kali aku bertemu dengan Fariza ialah semasa hari pertama pendaftaran universiti. Detik itulah bermulanya perkenalan kami. Namun, apabila berakhirnya sesi pendaftaran, kami berpisah haluan. Fikirku, perkenalan kami cuma setakat itu sahaja. Iyalah, pelajar universiti bukannya sedikit. Ramai. Terlalu kecil peluang untuk kami berjumpa lagi. 

Tetapi, dengan kuasa ALLAH, kami bertemu lagi. Bukan di universiti tetapi di rumah yang bakal aku sewa bersama pelajar senior yang lain. Malah, pada petang hari pendaftaran itu juga. Kurang dua jam selepas kami berpisah. Sesungguhnya aku gembira bila mendapat tahu kami berkongsi rumah yang sama.

“Dah lama tunggu?” Aku menyapa dengan senyuman bersalah. 

“Lama. Macam bertahun. Nasib baik aku tak pergi dulu. Tumit aku ni dah naik kematu. Student yang lalu-lalang kat sini, asyik pandang muka aku aje. Ingat aku ni statue baru kat sini gamaknya. Apasal lambat?” tanyanya disertai bebelan percuma buatku. Beg sandangnya yang hampir melurut jatuh, ditolak ke atas bahu semula.

“Tak sengajalah. Professor tamatkan kuliah lambat sikit hari ni. Aku minta maaf,” Pohonku ikhlas. 

Lambat sikit? Detik hatiku. Setengah jam diklasifikasikan sebagai lambat sedikit ke? Ikut sedap mulut aku saja menuturkan perkataan itu. Untung juga Fariza seorang yang penyabar. Kalaulah tidak, sudah pasti dia tinggalkan tempat ini lima belas minit yang lalu. Sedetik, aku berasa kasihan pada dia kerana terpaksa menantiku terlalu lama. 

Sebenarnya, tiada apa yang mampu aku lakukan ketika Prof. Smith meneruskan tutorial-nya. Takkan aku hendak menghalang dia mengajar pula? Sepanjang masa ‘tambahan’ itu, aku hanya mendengar dan menyalin apa yang disebutnya tanpa bersuara apa-apa. Apalagi, teman-teman sekuliahku yang lain pun bagaikan tidak kisah. Terpaksalah aku mengunci mulutku rapat-rapat. Bimbang pula ia terlebih ‘berfungsi’. Dan dalam kekalutan itu, sempat juga aku memikirkan ‘nasib’ Fariza di sini. Entah apa yang terjadi pada dia.

“Yalah, yalah. Kemaafan diterima. Jomlah. Perut aku dah tak tahan lapar,” Ujarnya. Lengan ku ditarik laju ke arah kafeteria universiti. Aku hanya menurut. Takut nak membantah dan mendengar lagi bebelan Fariza yang panjang. Tambahan pula, aku rasa bersalah kerana membuatkan dia menunggu lama di situ. 

Hatiku senang mendengar Fariza memaafkan kelewatanku. Serta-merta aku teringatkan perempuan pagi tadi. Kenapa dia tidak seperti Fariza? Senang memaafkan kesalahan orang lain. Kenapa perlu terlalu berkira? Sedangkan Nabi Muhammad pun ampunkan umatnya. Selama ini, tidak ada pulak aku terdengar, jika kita memaafkan orang lain, kita kena membayar duit ataupun kena membunuh diri. Ish… susah betul nak faham kerenah manusia ini!

Suasana di kafeteria hiruk-pikuk bila kami tiba. Tidak ubah seperti berada di pasar. Keadaan gamat dengan suara pelajar bersembang dan berbincang. Juga kedengaran bunyi pinggan mangkuk berlaga. 

Mataku memerhati ke sekitar ruang. Mencari-mencari meja makan kosong. Kelihatan tidak banyak meja makan yang tinggal. Kebanyakannya telah pun berpenghuni.

Setelah puas berfikir dan menimbang-nimbang kedudukan yang strategik, aku dan Fariza memilih meja makan yang terletak berdekatan dengan pintu. Boleh mencuci mata melihat pemandangan di luar. Senang juga nak melarikan diri sekiranya ada kebakaran. Detik hatiku nakal.

Belum sempat aku duduk, Fariza bersuara.

“Kau tolong orderkan untuk aku, boleh? Seru alam panggil ni!”

“Seru alam?” Ulangku dengan dahi berkerut seribu. Apa benda yang Fariza cakap ini? Seru alam itu apa?  Orang? Ish… mustahil ada ibu bapa yang sanggup letak nama anak mereka ‘seru alam’. Pelik semacam aje. Kalau Melati, Melur atau Kiambang, biasalah aku dengar. Hatiku tertanya-tanya.

Fariza ketawa melihat reaksiku. Agaknya buruk sangat riak wajahku kala itu. Aku pula terlupa nak membawa cermin. Kalau tidak, bolehlah aku belek sekejap wajahku ini. Nak tengok juga, bagaimana ‘segaknya’ rupaku hinggakan Fariza boleh ketawa sebegitu.

“Aku nak pergi toilet lah… Tolong ek!” Terangnya dalam sisa ketawa yang masih ada. Masya-ALLAH, aku ingatkan benda apa tadi. Buat panik saja Fariza ni. Omelku dalam hati.

“Ok. Kau nak makan apa?” Soalku sambil berfikir tentang apa yang aku hendak makan. 

Burger and fresh orange. Aku pergi dulu. Tak tahan dah ni,” Pantas Fariza berkata. Cepat langkahnya diatur keluar kafeteria. Meninggalkan aku keseorangan. Aku hanya menggeleng kepala melihat kelakuannya. Kacau sungguh! Tadi sibuk cakap lapar, sekarang sibuk nak pergi tandas pula. Makan pun belum, sudah nak membuang? Dahsyat! Senyuman kecil terukir di bibirku.

Kurang lima minit selepas Fariza pergi, aku menghayunkan langkah kaki ke kaunter. Pesanan menu tengahari, laju disampaikan pada penjaga kaunter. Dan seminit kemudian, dua burger, satu fresh orange dan satu pepsi terhidang di dalam tray coklat. Aku bergegas ke kaunter juruwang pula. Membayar harga makanan yang diambil. Setelah itu, aku membawa tray ke meja makan yang sedia menanti.

Tiba-tiba…

Buk! Melayang tray berisi burger, fresh orange dan pepsi ke udara. 

Pang!!! Lalu mendarat di atas lantai kafeteria. Bunyinya bergema di segenap ruang. Serta-merta, ruang kafeteria yang tadinya hiruk-pikuk menjadi sunyi-sepi. Seperti lepas dilanggar garuda. Semua mata tertumpu ke arahku. 

Malunya!!! Merona merah aku rasakan wajahku di kala ini. Aku terpaku dan kaku di tempat aku berdiri. Percikan air gabungan fresh orange dan pepsi mewarnai seluar dan bajuku.

Andai kata aku ahli silap mata, sudah lama aku hilangkan diri daripada tatapan mata-mata mereka yang tidak tahu nak mengalihkan pandangan ke arah lain. Pandang anak dara orang sikit-sikit, sudahlah! Eeii, susah juga jadi orang glamour secara tiba-tiba ini, rungutku. 

Aku kembali semula ke dalam diri. Menghalang diriku dari terus hanyut. Aku perlu berhadapan dengan kenyataan bahawa di kala dan tika ini, aku, Nur Irdina Farhani berada di dalam keadaan yang genting. Aku perlu memilih di antara berdiri di sini dengan muka selamba seraya menambahkan ketebalan kulit mukaku menjadi sepuluh sentimeter ataupun terus lari seperti road runner lalu menyembunyikan diri di dalam tandas. Manusia manalah yang buta! Marahku dalam hati ketika aku masih berkira-kira dengan pilihanku. Namun, pantas aku tersedar. Salah aku juga kejadian tidak terduga ini terjadi. Entah di manalah aku dah lemparkan pancaindera yang ALLAH berikan padaku sebentar tadi. Khusyuk berjalan hingga terlupa untuk memandang ke kiri dan kanan. Mujur aku di dalam kafeteria, kalau di jalan raya? Alamatnya, dah lama aku tersadai di katil hospital! 

Aku menoleh ke kanan. Ingin memandang tuan empunya badan di samping meringankan bibirku ini untuk meminta maaf.

Hampir tersembul biji mataku memandang seraut wajah yang berdiri mematung di depanku. 

Dia! Perempuan yang aku langgar pagi tadi. Ini kes nak balas dendam ke? Mesti dia yang punya angkara.

Terasa darahku menggelegak tiba-tiba. Perasaan malu yang membelenggu jiwaku sebentar tadi, terpadam serta-merta dibakar api kemarahan. Aku merenungnya tajam. Lebih tajam daripada pandangannya padaku pagi tadi. Matanya juga merenungku. Tapi, tidak setajam renungannya pagi tadi. 

Dia seolah-olah ingin berkata sesuatu. Terkumat-kamit bibirnya namun sepatah perkataan pun tidak terkeluar. Kawannya di sebelah yang kukira berbangsa Afrika membatu di sisinya. 

Didn’t you see where you’re going?! Next time, if you wanna go out… please, put your glasses on. It could be a real help for someone who’s longsighted as you!” Aku bersuara lantang. Sengaja aku berbahasa Inggeris. Biar satu kafeteria dengar, aku tak kisah. 

Tahap amarahku yang meninggi tatkala ini  menghalang pemikiranku dari berfikir secara logik. Berfikir tentang segala kemungkinan lain yang mungkin mencetuskan kejadian ‘perlanggaran’ tadi. Hatiku kuat mengatakan, dia sengaja mencari pasal. Aku yakin, dia memang ingin membalas dendam.

Mukanya menjadi merah padam. Barangkali malu dimarah begitu di hadapan orang ramai. Barangkali jua kerana amarah. Aku terdengar dia mendengus kasar.

I’m sorry,” Ucapnya. Suaranya tika menuturkan sebaris ayat itu amat kasar. Seperti dalam terpaksa. Aku pura-pura tidak mendengar.

Cepat-cepat aku mengutip tray dan burger di atas lantai. Sebelum berlalu ke meja makan, aku berpaling semula ke arahnya yang mula melangkah pergi. Sinis aku berkata,

“Lain kali, mata tu letak kat atas, bukannya kat lutut. Faham?” Sengaja aku memulangkan ayat itu padanya. Biar dia pula yang rasa. 

Dia berhenti seketika. Berpaling menghadapku. Tetapi, kawan perempuannya yang berambut plait itu cepat-cepat menarik tangannya agar beredar dari situ tanpa sempat dia berkata apa-apa.

Aku turut melangkah ke meja yang sedia menanti. Miss Snooty ni takkan nak suruh aku tambah satu lagi gelaran untuk dia. Fikirku sambil menggelengkan kepala. Aku tidak percaya dengan sikap Miss Snooty dan juga nasib malang yang menimpa ke atasku secara berturut-turut pada hari ini. Aku yakin, dia memang sengaja mencari pasal.

* * *

SELESAI makan malam, aku berehat sebentar di ruang tamu. Kak Ayu, Kak Suzi dan Kak Syima, senior di rumah sewaku, turut sama merebahkan diri masing-masing. Ada yang terbaring di atas karpet dan ada yang duduk di atas sofa sambil membelek majalah. Fariza masih lagi berada di dapur. Entah apa yang dibuatnya lama-lama di situ. Nak kata mencuci pinggan mangkuk, mustahil. Kami bukannya memasak. Semuanya makan makanan segera saja. Habis makan, tong sampah menjadi sasarannya.

Fariza muncul sesaat kemudian bersama piring di tangan. Beberapa potong buah epal tersusun elok di dalamnya. Ringan saja tangannya menyediakan pencuci mulut untuk kami. Dia meletakkan pinggan tersebut di atas karpet lalu mengambil tempat di sebelahku.

Kak Ayu bangun dan duduk di sisiku yang satu lagi. “Hani, ada perkara akak nak beritahu,” Suaranya membuka perbualan. 

Aku hanya meminta dia meneruskan kata-katanya melalui ekspresi wajah. 

“Hujung minggu ni ada student baru nak masuk.” Dia menepuk pahaku ringan. 

“Ada lagi ke budak baru masuk universiti kita? Mana Kak Ayu tau?” Soal Fariza dengan mulut yang penuh dengan buah epal. 

“Buruklah, Iza. Lain kali makan dulu, lepas tu baru cakap.” Kak Syima menegur dengan lembut. Menyedarkan Fariza tentang sikapnya yang kurang elok itu.

Sorry. Over excited tadi sebab terkejut, tetiba aje Kak Ayu dilantik jadi pegawai HR kat universiti,” Usiknya pada Kak Ayu setelah habis ditelannya buah epal tadi. Sengihan nakal terbit di bibirnya. 

“Kenapa pulak Kak Ayu mesti bagitau Hani?” Celahku. Aku hairan kerana Kak Ayu menyebut namaku. Dan, sudah semestinya perkhabaran itu ditujukan khas untukku.

“Ish… adik-adikku sayang. Bukan masuk universiti, cik adik oii. Masuk rumah sewa kitalah.” Serentak dengan itu, aku terdengar Kak Ayu ketawa kecil. Diikuti Kak Suzi dan Kak Syima. Nampaknya Kak Suzi dan Kak Syima dah tahu tentang perkara ini. Cuma aku dan Fariza yang terlewat mendapat beritanya.

“Apalah Kak Ayu, lain kali cakap biar terang!” Rungut Fariza. Tak puas hati sebab diketawakan. Aku tersenyum.

Sorry… jangan marah yer dik, nanti kena jual!” Giliran Kak Ayu pula mengusiknya.

Mendengar ayat yang diambil dari filem hitam putih itu, Fariza mengulum senyum. 

Student baru tu nanti akan jadi roommate Hani,” Tambah Kak Suzi. Dialihkan pandangannya padaku. Kegembiraan terpancar dari mukanya. Agaknya dia gembira bagi pihakku.

Aku memang sedar akan hal ini. Awal-awal lagi, Kak Suzi sudah maklumkan yang aku tidak akan berkelana seorang diri di bilik yang aku duduki sekarang. Fariza tinggal sebilik dengan Kak Syima. Bukan dia tidak sudi sebilik denganku, cuma katanya dia lebih senang kalau Kak Syima merangkap kakak sepupunya yang menjadi teman sebiliknya. Aku tidak kisah jika itu yang Fariza mahukan.

“Sebelum ni, dia tinggal kat mana?” Soalku pada Kak Suzi. Berniat ingin mengetahui serba-sedikit tentang latar-belakang bakal teman sebilikku itu. 

“Dengan senior lain… Kak Rohana dan geng dia, kenal?” Kak Suzi menyoalku kembali.

“Rasanya kenal kot,” jawabku teragak-agak. Aku tidak berapa pasti sebenarnya. Gambaran wajah Kak Rohana seakan-akan tenggelam timbul dalam bayangan yang aku cuba lukiskan di minda. Kulihat Fariza sekadar menganggukkan kepala.

“Tapi, kenapa dia nak pindah ke sini?” Persoalan yang ingin kuhamburkan terlebih dahulu diluahkan oleh Fariza. 

“Rumah sewa Kak Rohana tak ada junior sebaya dia. Selalu dia kena tinggal seorang kat rumah tu. Itulah sebab Kak Rohana cadangkan dia pindah ke sini. Lagipun Hani kan tak ada roommate lagi.”

Aku menganggukkan kepala sebagai tanda faham. Hatiku berlagu riang memikirkan yang aku bakal mendapat teman sebilik. Mesti best. Ada teman berkongsi cerita waktu malam. Fikiranku sibuk membayangkan rupa orangnya. Macam mana agaknya? Tinggi? Rendah? Putih? Hitam manis? Gemuk? Kurus? Macam Miss Snooty ker? 

Ish… kenapa aku teringatkan dia pulak ni?

Walaupun kejadian ‘perlanggaran’ itu sudah tiga minggu berlalu, tapi Miss Snooty masih lagi ‘meninggikan hidungnya’. Bila aku jumpa dia tiga empat kali di kelas pun, muka dia masih macam itu. Tidak senyum langsung. Kenapa? Dia pakai gigi emas ke? Takut orang culik gigi dia? Aku bersoal-jawab sendiri.

Kemarahan aku terhadapnya pasal kes memalukan itu, masih lagi bersisa di hati. Aku pernah cuba melupakan hal itu tapi agak susah. Lebih susah jadinya apabila dia sentiasa mempamerkan wajah ‘samseng’nya itu padaku. 

Nasib baik, dia tiada kena mengena dalam hidupku melainkan teman sekelas. Itupun seminggu sekali baru bertemu. Syukur!


No Responses to Kasih Seharum Lavender - Bab 2

Leave a Reply