Kasih Seharum Lavender - Bab 2
Posted by Unknown on 10 September 2011. Filed under: Kasih Seharum Lavender, Novel
BUK!! Secara tidak sengaja aku terlanggar seorang pelajar. Dia terdorong ke hadapan, hampir-hampir terjatuh. Namun, dia sempat mengawal imbangan badannya.
Aku pula sempat mendakap dengan erat
buku-buku yang dikendong ke dada. Tindakan drastikku untuk menghalang buku-buku
itu dari berteraburan di atas lantai koridor. Jenuh aku nak mengutip buku-buku
itu nanti dalam kelompok pelajar yang ramai ini. Jika ada yang mahu menolong,
untung juga aku. Tapi, kalau dibuatnya buku-buku aku itu macam bola, memang
nahas aku. Tercongok-congoklah aku seorang nak mengutipnya.
Itulah padahnya kalau berjalan tidak melihat
ke hadapan. Sudahlah bangun lewat, bas pula lambat. Terkocoh-kocoh aku berjalan
masuk ke universiti, mencari kelas. Baru seminggu belajar kat sini, sudah
pandai nak buat hal. Leterku di dalam hati. Panas hatiku mengenangkan sikapku
yang kadangkala cuai.
“I’m sorry,” Pantas ayat itu keluar
dari bibir. Maaf perlu dipinta. Sudah salahku. Aku menghalakan pandangan ke
arah pelajar tersebut. Manis dan cantik orangnya. Bertudung pula. Takku sangka
pelajar itu dari Asia Tenggara juga. Namun, aku kurang pasti samada dia dari Malaysia,
Indonesia ataupun Brunei.
“Buta ke?” Tengkingnya tiba-tiba. Jeritan
suaranya menggegarkan gegendang telingaku. Macam nak pecah rasanya. Dia
memandang tepat ke wajahku. Tajam pandangannya. Marah sangat ke perempuan ni?
Rasanya, aku sudah minta maaf tadi. Ataupun, aku telah tersilap menuturkan
ayat?
Tiada langsung senyuman di wajahnya. Habis
wajah yang cantik itu bertukar menjadi seperti muka samseng. Serius dan
menakutkan. Sorotan matanya saja macam nak telan aku hidup-hidup. Aku langsung
menjadi kecut perut. Gerun hendak menatap wajahnya.
“Lain kali, jalan pandang depan. Mata tu
letak kat atas, bukannya kat lutut.” Sinis dia bersuara sambil terus berlalu
pergi.
Aku terkedu dengan reaksi dan tindakannya.
Jelas sekali dia juga berasal dari negara yang sama denganku. Malaysia. Tetapi,
kenapa sekasar itu bahasa pertuturannya? Sepatutnya bila berada di perantauan,
jauh dari tanahair tercinta, kita akan lebih menghargai dan rasa gembira kerana
bertemu dengan orang yang sebangsa dan seagama dengan kita. Tetapi, dia?
Perilaku dan lagaknya sungguh sombong!
Terdetik di benakku, takkan semua orang Malaysia di sini sombong begitu. Benda
sekecil ini pun tidak boleh nak dimaafkan? Bukan aku sengaja. Manusia… rambut
sama hitam tetapi hati lain-lain. Tak semua pandangan kau sama dengan orang
lain, Hani.
Rasanya, hendak saja aku kejar perempuan itu
dan menjelaskan bahawa aku tak sengaja. Tapi, aku hanya ada sepuluh minit
sahaja sebelum kelas bermula. Lagipun, aku masih perlu mencari di mana lokasi
kelas aku. Mahu tak mahu, aku terpaksa berlalu dari situ dan melupakan seraut
wajah ‘samseng’ itu.
Hampir lima minit aku terpaksa berlegar-legar
di kawasan fakulti. Kenapalah semua universiti dibina di kawasan yang luas?
Penat nak menapak masuk ke universiti satu hal, terpaksa ‘bersiar-siar’ mencari
kelas, satu hal lagi. Tambahan pula bila masa ‘darurat’ macam ni…
Tidak usah nak membebel. Salah kau juga,
Hani. Bangun lambat! Marahku pada diri sendiri.
Akhirnya, aku berjumpa juga bilik kuliah yang
aku cari tiga minit sebelum kuliah bermula. Sebaik aku melangkah ke dalam
kelas, mataku tertancap pada seraut wajah yang amat aku kenali. Bukan kenal
lama. Tetapi, baru dikenali lebih kurang sepuluh minit yang lepas. Perempuan
itu! Miss Snooty! Pandai-pandai saja aku beri gelaran itu pada dia. Ah,
bukan salahku. Dia yang memberikan tanggapan dirinya begitu.
Dia hanya menjeling sekilas ke arahku. Sebuah
jelingan yang menggambarkan dia cukup tidak senang dengan kehadiranku. Seperti
tadi, tiada senyuman yang terukir di wajahnya. Melihat riak wajahnya yang
seperti itu membuatkan perasaan malas menapak di hatiku. Malas untuk
‘membebel’ padanya tentang salahku yang tak disengajakan tadi. Sekaligus,
memohon kemaafan buat kali kedua. Biarlah.
Aku mengatur langkah menuju ke ruang kosong
di bahagian sebelah kiri kelas. Tidak sedikitpun aku memandang ke arahnya. Aku
memerhati sekeliling. Nampaknya hanya aku dan Miss Snooty pelajar dari
Malaysia. Yang lain semuanya berbangsa asing. Apalah nasibku hari ni.
* * *
ALHAMDULLILAH,
aku memanjangkan syukur. Nasib baik ,dia masih ada di situ. Aku mempercepatkan
langkah.
“Iza!” Laungku pada seorang gadis yang
berdiri terpacak menanti kedatanganku di hadapan fountain di perkarangan
universiti. Gadis itu berpaling. Mukanya masam mencuka. Lebih masam dari buah
asam yang berkedut seribu.
Pertama kali aku bertemu dengan Fariza ialah
semasa hari pertama pendaftaran universiti. Detik itulah bermulanya perkenalan
kami. Namun, apabila berakhirnya sesi pendaftaran, kami berpisah haluan.
Fikirku, perkenalan kami cuma setakat itu sahaja. Iyalah, pelajar universiti
bukannya sedikit. Ramai. Terlalu kecil peluang untuk kami berjumpa lagi.
Tetapi, dengan kuasa ALLAH, kami bertemu
lagi. Bukan di universiti tetapi di rumah yang bakal aku sewa bersama pelajar senior
yang lain. Malah, pada petang hari pendaftaran itu juga. Kurang dua jam selepas
kami berpisah. Sesungguhnya aku gembira bila mendapat tahu kami berkongsi rumah
yang sama.
“Dah lama tunggu?” Aku menyapa dengan
senyuman bersalah.
“Lama. Macam bertahun. Nasib baik aku tak
pergi dulu. Tumit aku ni dah naik kematu. Student yang lalu-lalang kat
sini, asyik pandang muka aku aje. Ingat aku ni statue baru kat sini
gamaknya. Apasal lambat?” tanyanya disertai bebelan percuma buatku. Beg
sandangnya yang hampir melurut jatuh, ditolak ke atas bahu semula.
“Tak sengajalah. Professor tamatkan kuliah
lambat sikit hari ni. Aku minta maaf,” Pohonku ikhlas.
Lambat sikit? Detik hatiku. Setengah jam
diklasifikasikan sebagai lambat sedikit ke? Ikut sedap mulut aku saja
menuturkan perkataan itu. Untung juga Fariza seorang yang penyabar. Kalaulah
tidak, sudah pasti dia tinggalkan tempat ini lima belas minit yang lalu.
Sedetik, aku berasa kasihan pada dia kerana terpaksa menantiku terlalu lama.
Sebenarnya, tiada apa yang mampu aku lakukan
ketika Prof. Smith meneruskan tutorial-nya. Takkan aku hendak menghalang
dia mengajar pula? Sepanjang masa ‘tambahan’ itu, aku hanya mendengar dan
menyalin apa yang disebutnya tanpa bersuara apa-apa. Apalagi, teman-teman
sekuliahku yang lain pun bagaikan tidak kisah. Terpaksalah aku mengunci mulutku
rapat-rapat. Bimbang pula ia terlebih ‘berfungsi’. Dan dalam kekalutan itu,
sempat juga aku memikirkan ‘nasib’ Fariza di sini. Entah apa yang terjadi pada
dia.
“Yalah, yalah. Kemaafan diterima. Jomlah.
Perut aku dah tak tahan lapar,” Ujarnya. Lengan ku ditarik laju ke arah
kafeteria universiti. Aku hanya menurut. Takut nak membantah dan mendengar lagi
bebelan Fariza yang panjang. Tambahan pula, aku rasa bersalah kerana membuatkan
dia menunggu lama di situ.
Hatiku senang mendengar Fariza memaafkan
kelewatanku. Serta-merta aku teringatkan perempuan pagi tadi. Kenapa dia tidak
seperti Fariza? Senang memaafkan kesalahan orang lain. Kenapa perlu terlalu
berkira? Sedangkan Nabi Muhammad pun ampunkan umatnya. Selama ini, tidak ada
pulak aku terdengar, jika kita memaafkan orang lain, kita kena membayar duit
ataupun kena membunuh diri. Ish… susah betul nak faham kerenah manusia ini!
Suasana di kafeteria hiruk-pikuk bila kami
tiba. Tidak ubah seperti berada di pasar. Keadaan gamat dengan suara pelajar
bersembang dan berbincang. Juga kedengaran bunyi pinggan mangkuk berlaga.
Mataku memerhati ke sekitar ruang.
Mencari-mencari meja makan kosong. Kelihatan tidak banyak meja makan yang
tinggal. Kebanyakannya telah pun berpenghuni.
Setelah puas berfikir dan menimbang-nimbang
kedudukan yang strategik, aku dan Fariza memilih meja makan yang terletak
berdekatan dengan pintu. Boleh mencuci mata melihat pemandangan di luar. Senang
juga nak melarikan diri sekiranya ada kebakaran. Detik hatiku nakal.
Belum sempat aku duduk, Fariza bersuara.
“Kau tolong orderkan untuk aku, boleh? Seru
alam panggil ni!”
“Seru alam?” Ulangku dengan dahi berkerut
seribu. Apa benda yang Fariza cakap ini? Seru alam itu apa? Orang? Ish…
mustahil ada ibu bapa yang sanggup letak nama anak mereka ‘seru alam’. Pelik
semacam aje. Kalau Melati, Melur atau Kiambang, biasalah aku dengar. Hatiku
tertanya-tanya.
Fariza ketawa melihat reaksiku. Agaknya buruk
sangat riak wajahku kala itu. Aku pula terlupa nak membawa cermin. Kalau tidak,
bolehlah aku belek sekejap wajahku ini. Nak tengok juga, bagaimana ‘segaknya’
rupaku hinggakan Fariza boleh ketawa sebegitu.
“Aku nak pergi toilet lah… Tolong ek!” Terangnya dalam sisa ketawa yang masih ada.
Masya-ALLAH, aku ingatkan benda apa tadi. Buat panik saja Fariza ni. Omelku
dalam hati.
“Ok. Kau nak makan apa?” Soalku sambil
berfikir tentang apa yang aku hendak makan.
“Burger and fresh orange. Aku pergi
dulu. Tak tahan dah ni,” Pantas Fariza berkata. Cepat langkahnya diatur keluar
kafeteria. Meninggalkan aku keseorangan. Aku hanya menggeleng kepala melihat
kelakuannya. Kacau sungguh! Tadi sibuk cakap lapar, sekarang sibuk nak pergi
tandas pula. Makan pun belum, sudah nak membuang? Dahsyat! Senyuman kecil
terukir di bibirku.
Kurang lima minit selepas Fariza pergi, aku
menghayunkan langkah kaki ke kaunter. Pesanan menu tengahari, laju disampaikan
pada penjaga kaunter. Dan seminit kemudian, dua burger, satu fresh
orange dan satu pepsi terhidang di dalam tray coklat. Aku bergegas
ke kaunter juruwang pula. Membayar harga makanan yang diambil. Setelah itu, aku
membawa tray ke meja makan yang sedia menanti.
Tiba-tiba…
Buk! Melayang tray berisi burger,
fresh orange dan pepsi ke udara.
Pang!!! Lalu mendarat di atas lantai
kafeteria. Bunyinya bergema di segenap ruang. Serta-merta, ruang kafeteria yang
tadinya hiruk-pikuk menjadi sunyi-sepi. Seperti lepas dilanggar garuda. Semua
mata tertumpu ke arahku.
Malunya!!! Merona merah aku rasakan wajahku
di kala ini. Aku terpaku dan kaku di tempat aku berdiri. Percikan air gabungan fresh
orange dan pepsi mewarnai seluar dan bajuku.
Andai kata aku ahli silap mata, sudah lama
aku hilangkan diri daripada tatapan mata-mata mereka yang tidak tahu nak
mengalihkan pandangan ke arah lain. Pandang anak dara orang sikit-sikit,
sudahlah! Eeii, susah juga jadi orang glamour secara tiba-tiba ini,
rungutku.
Aku kembali semula ke dalam diri. Menghalang
diriku dari terus hanyut. Aku perlu berhadapan dengan kenyataan bahawa di kala
dan tika ini, aku, Nur Irdina Farhani berada di dalam keadaan yang genting. Aku
perlu memilih di antara berdiri di sini dengan muka selamba seraya menambahkan
ketebalan kulit mukaku menjadi sepuluh sentimeter ataupun terus lari seperti road
runner lalu menyembunyikan diri di dalam tandas. Manusia manalah yang buta!
Marahku dalam hati ketika aku masih berkira-kira dengan pilihanku. Namun,
pantas aku tersedar. Salah aku juga kejadian tidak terduga ini terjadi. Entah
di manalah aku dah lemparkan pancaindera yang ALLAH berikan padaku sebentar
tadi. Khusyuk berjalan hingga terlupa untuk memandang ke kiri dan kanan. Mujur
aku di dalam kafeteria, kalau di jalan raya? Alamatnya, dah lama aku tersadai
di katil hospital!
Aku menoleh ke kanan. Ingin memandang tuan
empunya badan di samping meringankan bibirku ini untuk meminta maaf.
Hampir tersembul biji mataku memandang seraut
wajah yang berdiri mematung di depanku.
Dia! Perempuan yang aku langgar pagi tadi.
Ini kes nak balas dendam ke? Mesti dia yang punya angkara.
Terasa darahku menggelegak tiba-tiba.
Perasaan malu yang membelenggu jiwaku sebentar tadi, terpadam serta-merta
dibakar api kemarahan. Aku merenungnya tajam. Lebih tajam daripada pandangannya
padaku pagi tadi. Matanya juga merenungku. Tapi, tidak setajam renungannya pagi
tadi.
Dia seolah-olah ingin berkata sesuatu.
Terkumat-kamit bibirnya namun sepatah perkataan pun tidak terkeluar. Kawannya
di sebelah yang kukira berbangsa Afrika membatu di sisinya.
“Didn’t you see where you’re going?! Next
time, if you wanna go out… please, put your glasses on. It could be a real help
for someone who’s longsighted as you!” Aku bersuara lantang. Sengaja aku
berbahasa Inggeris. Biar satu kafeteria dengar, aku tak kisah.
Tahap amarahku yang meninggi tatkala ini
menghalang pemikiranku dari berfikir secara logik. Berfikir tentang
segala kemungkinan lain yang mungkin mencetuskan kejadian ‘perlanggaran’ tadi.
Hatiku kuat mengatakan, dia sengaja mencari pasal. Aku yakin, dia memang ingin
membalas dendam.
Mukanya menjadi merah padam. Barangkali malu
dimarah begitu di hadapan orang ramai. Barangkali jua kerana amarah. Aku
terdengar dia mendengus kasar.
“I’m sorry,” Ucapnya. Suaranya tika
menuturkan sebaris ayat itu amat kasar. Seperti dalam terpaksa. Aku pura-pura
tidak mendengar.
Cepat-cepat aku mengutip tray dan burger
di atas lantai. Sebelum berlalu ke meja makan, aku berpaling semula ke arahnya
yang mula melangkah pergi. Sinis aku berkata,
“Lain kali, mata tu letak kat atas, bukannya
kat lutut. Faham?” Sengaja aku memulangkan ayat itu padanya. Biar dia pula yang
rasa.
Dia berhenti seketika. Berpaling menghadapku.
Tetapi, kawan perempuannya yang berambut plait itu cepat-cepat menarik
tangannya agar beredar dari situ tanpa sempat dia berkata apa-apa.
Aku turut melangkah ke meja yang sedia
menanti. Miss Snooty ni takkan nak suruh aku tambah satu lagi gelaran
untuk dia. Fikirku sambil menggelengkan kepala. Aku tidak percaya dengan sikap Miss
Snooty dan juga nasib malang yang menimpa ke atasku secara berturut-turut
pada hari ini. Aku yakin, dia memang sengaja mencari pasal.
* * *
SELESAI
makan malam, aku berehat sebentar di ruang tamu. Kak Ayu, Kak Suzi dan Kak
Syima, senior di rumah sewaku, turut sama merebahkan diri masing-masing.
Ada yang terbaring di atas karpet dan ada yang duduk di atas sofa sambil
membelek majalah. Fariza masih lagi berada di dapur. Entah apa yang dibuatnya
lama-lama di situ. Nak kata mencuci pinggan mangkuk, mustahil. Kami bukannya
memasak. Semuanya makan makanan segera saja. Habis makan, tong sampah menjadi
sasarannya.
Fariza muncul sesaat kemudian bersama piring
di tangan. Beberapa potong buah epal tersusun elok di dalamnya. Ringan saja
tangannya menyediakan pencuci mulut untuk kami. Dia meletakkan pinggan tersebut
di atas karpet lalu mengambil tempat di sebelahku.
Kak Ayu bangun dan duduk di sisiku yang satu
lagi. “Hani, ada perkara akak nak beritahu,” Suaranya membuka perbualan.
Aku hanya meminta dia meneruskan kata-katanya
melalui ekspresi wajah.
“Hujung minggu ni ada student baru nak
masuk.” Dia menepuk pahaku ringan.
“Ada lagi ke budak baru masuk universiti
kita? Mana Kak Ayu tau?” Soal Fariza dengan mulut yang penuh dengan buah
epal.
“Buruklah, Iza. Lain kali makan dulu, lepas
tu baru cakap.” Kak Syima menegur dengan lembut. Menyedarkan Fariza tentang
sikapnya yang kurang elok itu.
“Sorry. Over excited
tadi sebab terkejut, tetiba aje Kak Ayu dilantik jadi pegawai HR kat
universiti,” Usiknya pada Kak Ayu setelah habis ditelannya buah epal tadi.
Sengihan nakal terbit di bibirnya.
“Kenapa pulak Kak Ayu mesti bagitau Hani?”
Celahku. Aku hairan kerana Kak Ayu menyebut namaku. Dan, sudah semestinya
perkhabaran itu ditujukan khas untukku.
“Ish… adik-adikku sayang. Bukan masuk
universiti, cik adik oii. Masuk rumah sewa kitalah.” Serentak dengan itu, aku
terdengar Kak Ayu ketawa kecil. Diikuti Kak Suzi dan Kak Syima. Nampaknya Kak
Suzi dan Kak Syima dah tahu tentang perkara ini. Cuma aku dan Fariza yang terlewat
mendapat beritanya.
“Apalah Kak Ayu, lain kali cakap biar
terang!” Rungut Fariza. Tak puas hati sebab diketawakan. Aku tersenyum.
“Sorry… jangan marah yer dik, nanti
kena jual!” Giliran Kak Ayu pula mengusiknya.
Mendengar ayat yang diambil dari filem hitam
putih itu, Fariza mengulum senyum.
“Student baru tu nanti akan jadi roommate
Hani,” Tambah Kak Suzi. Dialihkan pandangannya padaku. Kegembiraan terpancar
dari mukanya. Agaknya dia gembira bagi pihakku.
Aku memang sedar akan hal ini. Awal-awal
lagi, Kak Suzi sudah maklumkan yang aku tidak akan berkelana seorang diri di
bilik yang aku duduki sekarang. Fariza tinggal sebilik dengan Kak Syima. Bukan
dia tidak sudi sebilik denganku, cuma katanya dia lebih senang kalau Kak Syima
merangkap kakak sepupunya yang menjadi teman sebiliknya. Aku tidak kisah jika
itu yang Fariza mahukan.
“Sebelum ni, dia tinggal kat mana?” Soalku
pada Kak Suzi. Berniat ingin mengetahui serba-sedikit tentang latar-belakang
bakal teman sebilikku itu.
“Dengan senior lain… Kak Rohana dan
geng dia, kenal?” Kak Suzi menyoalku kembali.
“Rasanya kenal kot,” jawabku teragak-agak.
Aku tidak berapa pasti sebenarnya. Gambaran wajah Kak Rohana seakan-akan
tenggelam timbul dalam bayangan yang aku cuba lukiskan di minda. Kulihat Fariza
sekadar menganggukkan kepala.
“Tapi, kenapa dia nak pindah ke sini?”
Persoalan yang ingin kuhamburkan terlebih dahulu diluahkan oleh Fariza.
“Rumah sewa Kak Rohana tak ada junior
sebaya dia. Selalu dia kena tinggal seorang kat rumah tu. Itulah sebab Kak
Rohana cadangkan dia pindah ke sini. Lagipun Hani kan tak ada roommate lagi.”
Aku menganggukkan kepala sebagai tanda faham.
Hatiku berlagu riang memikirkan yang aku bakal mendapat teman sebilik. Mesti best.
Ada teman berkongsi cerita waktu malam. Fikiranku sibuk membayangkan rupa
orangnya. Macam mana agaknya? Tinggi? Rendah? Putih? Hitam manis? Gemuk? Kurus?
Macam Miss Snooty ker?
Ish… kenapa aku teringatkan dia pulak ni?
Walaupun kejadian ‘perlanggaran’ itu sudah
tiga minggu berlalu, tapi Miss Snooty masih lagi ‘meninggikan
hidungnya’. Bila aku jumpa dia tiga empat kali di kelas pun, muka dia masih
macam itu. Tidak senyum langsung. Kenapa? Dia pakai gigi emas ke? Takut orang
culik gigi dia? Aku bersoal-jawab sendiri.
Kemarahan aku terhadapnya pasal kes memalukan
itu, masih lagi bersisa di hati. Aku pernah cuba melupakan hal itu tapi agak
susah. Lebih susah jadinya apabila dia sentiasa mempamerkan wajah ‘samseng’nya
itu padaku.
Nasib baik, dia tiada kena mengena dalam
hidupku melainkan teman sekelas. Itupun seminggu sekali baru bertemu. Syukur!
No Responses to Kasih Seharum Lavender - Bab 2
Leave a Reply