Antara Kata & Rasa - 8

Posted by Unknown on 23 June 2011. Filed under: ,


KEMERIAHAN terasa apabila sesekali berkumpul teman senegara. Makanan yang dihidang, enak dan sedap terasa di mulut. Berulang pinggan bagaikan tidak tersedar. Tetapi, bagi yang menjaga badan, yang ingin sentiasa kelihatan ramping, begitu berhati-hati pula memilih makanan. Sunguhpun demikian, bagi tetamu lelaki yang datang, sedikitpun tidak di endah kandungan lemak, minyak ataupun ‘ajen-ajen’ penambah berat badan yang terkandung dalam makanan yang diambil. Hinggakan sesekali anak mata Puteri Jelita, gadis berkulit putih kuning dan mempunyai bentuk tubuh seperti model itu, kerap menyongsang pandang ke meja makanan di atas meja yang disusun khas untuk meletak makanan.

Aku, Humaira dan Guat Ling mencuri tempat di satu sudut di ruang makan. Tidak terlalu jauh dari ruang tamu. Masih lagi boleh dilayangkan pandangan sesekali ke ruang tamu. Yang kecoh dengan suara-suara mereka yang asyik bersembang. Kami bertiga bertukar cerita. Bersusun pinggan, piring dan gelas di hadapan kami. Gelas biru milik Humaira kosong tidak berisi. Pinggan putih kepunyaan Guat Ling, masih berbaki dengan sate dan kuahnya.

“Leen…”

Mendengar namaku dipanggil, aku segera menoleh. Walau sudah diketahui siapa pemanggilnya.

Satu senyuman aku lemparkan tanpa berkata. Cukuplah sekadar senyuman dan pandanganku menjawab panggilan dia.

“Kuah sate dah berkurang. Masih ada lagi kat dapur?” soal Abang Hamzah.

Aku cuba menjenguk ke meja makanan yang tidaklah terlalu dekat denganku itu. Biarpun tahu aku tidak mungkin dapat melihat isi kuah sate itu, tetap juga aku mencuba. Aku bangun berdiri. Berkeriuk bunyi kerusi bergesel dengan lantai rumah.

“Ada lagi rasanya kuah tu. Maisara tak isikan semuanya. Isn’t that correct, Maira?” tanyaku meminta kepastian.

“Yap, Maira tengok tadi ada sikit lagi dalam periuk kat tepi kabinet tu…” setuju Humaira dengan anggukan.

“Sekejap, Leen isikan semula.”

Abang Hamzah tetap berdiri dalam kumpulan Humaira dan Guat Ling. Sebaliknya aku menyusun langkah ke meja makanan. Aku mencapai tray buffet berisi kuah kacang. Hendak di bawa ke dapur dan ditambah isinya seperti yang Abang Hamzah sarankan secara kiasan. Mujur juga Abang Hamzah cepat perasan. Tak adalah yang perlu mengikis kuah kacang itu sesungguh hati demi untuk menjamah sate daging dan ayam yang dihidang.

“Oppss…” Operasiku terhenti di pertengahan jalan. Aku dan Abang Faid berselisih di penghujung meja. Mujur sahaja tak berlaku ‘accident’. Abang Faid terlebih dahulu memberi amaran.

“Dah habis ke kuah kacang?” tegurnya kemudian. Dijengahnya isi tray.

Aku menggeleng seraya mendekatkan kuah itu kepadanya sedikit. Agar matanya dapat menangkap isi tray yang sedang aku pegang.

“Leen nak tambah lagi kuahnya. Abang Faid nak ke?” kataku mempelawa.

Dia menggangguk lalu aku meletakkan seketika tray itu di ruang kosong di hujung meja makan itu. Aku mencedok baki kuah kacang yang ada lalu mengisinya ke dalam pinggan Abang Faid. Sedikit dari kuah kacang itu aku ‘siramkan’ ke atas sate daging yang telah dipilihnya.

“Sate daging aje? Abang Faid tak suka ayam ke?” Aku bertanya meledakkan rasa ingin tahu. Hairan juga apabila sate daging sahaja yang berada di pinggannya. Sedangkan sate ayam juga kami hidangkan.

Melihatkan sudah ‘banjir’ pinggan Abang Faid, aku meletakkan semula senduk di dalam tray.

“Abang Faid lebih prefer sate daging dari sate ayam. Ayam dan daging ni beli di mana?” soalnya. Seperti ingin tahu. Aku mengerti. Tinggal di sini, di kalangan bukan Islam, makanan perlu dijaga. Perlu dipastikan halal. Atau mungkin juga dia berminat ingin tahu agar dia juga boleh membelinya.

“Abang Jamil yang tolong belikan. Dia ke West Haven dua hari lepas, jadi kita orang minta tolong dari dia. Ada halal market di sana.”

“Hmm… Dah berapa kali Leen ke West Haven semenjak ke sini?”

Aku terdiam sejenak, mencongak di minda hari-hari yang pernah aku habiskan di tempat yang disoalnya. Dan disebabkan hari-hari itu boleh di bilang dengan jari sahaja, maka Abang Faid tidak perlu menunggu lebih lama untuk mendapat maklumbalas dariku.

“Dua kali.”

Terangkat kedua-dua keningnya. “How many years have you been here?” Tanyanya seperti tak percaya. Seolah-olah di fikirannya sudah bertahun aku tinggal di Amerika.

“Just a few months. Seven months to be exact…”

“Ooo…” Panjang dan meleret bunyi ‘o’ yang disebutnya. “Abang Faid ingatkan dah lama…”

Abang Hamzah datang menegur kami ketika itu. “Bila nak berisinya kuah sate tu cik adik, oi?” sergahnya dalam jenaka.

Cepat-cepat aku mengangkat tray. “I’m on my way…” balasku sambil membetulkan pegangan tray di tangan.

“Dah berpuluh minit abang tengok ‘tersangkut’ kat sini, ‘on the way’ apanya.”

“Somebody needs the gravy, I can’t hardly leave him staring wistfully at the tray, can’t I?” kataku cuba berjenaka. Abang Faid di hadapanku meleretkan senyuman. Manakala Abang Hamzah menjongketkan keningnya tanpa kata.

Takut ditegur lagi oleh Abang Hamzah, aku terus membawa diri dan tray ke dapur. Aku tinggalkan kedua-dua jejaka itu di situ. Membiarkan mereka berbual.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 8

Leave a Reply