Antara Kata & Rasa - 7

Posted by Unknown on 22 June 2011. Filed under: ,


KAMILIA, di antara kami berlima penghuni rumah ini, dia yang paling sibuk sekali. Dari awal pagi, sebelum bumi Hartford disuluh sinar pagi dia sudah siap-sedia berkerah tenaga di dapur. Sepanjang hari ini dialah yang bakal menjadi tunggak utama di rumah mewakili kami. Dialah yang bakal menjadi ‘orang kuat’ mengendalikan majlis yang aku dan dia rancangkan dua minggu lepas. Dan aku yang telah dilantik secara sebulat suara sebagai pembantu utama di persidangan meja bulat ruang tamu, sudah siap menyimpan tenaga untuk dikerah. Sudah bersedia untuk membakar kalori dengan kelasakkan ‘aktiviti’ku hari ini.

Menginjak waktu ke pukul 9 pagi, jemputan yang dihulur mula bersambut. Pelajar perempuan kumpulan yang pertama datang. Datang awal yang bersebab. Membantu menolong apa-apa yang perlu. Maka, ruang dapur kami itu jadi sedikit sesak. Dari kami berlima di tambah pula dengan lima orang lagi. Mujurlah lima sahaja. Kalau sepuluh, seperti di dalam tin sardin sahaja lagaknya keadaan kami mungkin.

Di kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di sini, tiga belas orang darinya adalah perempuan. Manakala yang selebihnya lelaki. Sepuluh orang pelajar perempuan tinggal di dua buah rumah yang berasingan. Dan tiga orang lagi yang sudah berkahwin tinggal sendiri bersama pasangan masing-masing.

Aku menjenguk rendang di atas api. Mengacau seketika kuahnya sebelum aku beralih membantu Humaira memotong timun untuk di makan bersama kuah sate.

“Leen, mana Kammy?” Tanya Zulaikha dari ruang hadapan dapur.

Aku menghentikan kerjaku. Lalu, menoleh mencari Kamilia. Sepasang anak mataku tidak dapat mengesan tubuhnya. “Entah, tadi dia ada.”

Wah, ghaib pula dia. Baru sekejap tadi dia bersama kami. Sudah terbang ke mana pula cik puan muda rumah kami tu?

“Kak Kammy ke tandas…” Maklum Intan Amira yang sedang berdiri di tepi peti ais. Ada juga yang tahu ke mana Kamilia menghilang.

“Kenapa?” Soalku pula pada Zulaikha. Kalau tiada sebab, mustahil dia mencari Kamilia.

“Ada orang cari dia. Aku tak kenal siapa. Tak berani aku nak panggil masuk,” terang Zulaikha. Wajahnya tertumpah padaku. Memohon ‘arahan’ seterusnya dariku. Dibenarkan sahaja tetamu itu masuk atau bagaimana?

“Siapa?” soalku dengan dahi berkerut. Agak hairan juga kalau Zulaikha tidak mengenali tetamu yang datang itu. Mungkinkah tetamu tak diundang? Tapi soalnya siapa gerangannya mereka? Ingin menumpang makankah? Atau ada hajat tertentu yang ingin di bawa? Atau mungkin jugakah wakil dari Kedutaan Malaysia membawa berita penting? Semakin aku pelik.

“Entah. Aku lupa nak tanya.”

Dalam rasa kehairanan dan ingin tahu, aku menyerahkan sepenuhnya tugasku pada Humaira. Lantas aku ke pintu masuk utama. Aku tak menanti Kamilia kerana aku tahu, kalau ‘misi’ besar yang sedang dia jalankan ketika ini, sekurang-kurangnya setengah jam lagi baru dia keluar. Takkanlah hendak dibiarkan tetamu di luar itu menanti dalam kesejukan?

Apatah lagi hari ini, keadaan cuaca tidak menentu. Awal pagi tadi rintik-rintik hujan turun sekejap dan seketika tadi, manik-manik salji pula gugur ke bumi. Dan kalau tidak silapku, ramalan berita semalam mengatakan angin hari ini akan bertiup sekitar 37km/h. Aku tidak berharap ada pula ‘snow man’ membeku di halaman rumahku. Biarpun aku mendapatnya secara percuma.

Kerana itu juga, aku dan Kamilia membuat keputusan untuk mengadakan majlis di dalam rumah sahaja. Pandai-pandailah tetamu menyesuaikan diri seandainya tidak cukup ruang nanti. Yang pentingnya kami tidak mahu tetamu yang datang menggigil di luar rumah.

Tergaris senyuman di bibir melihatkan gerangan orang yang dimaksudkan Zulaikha. Dua orang lelaki sedang berdiri di halaman rumah sambil memandang sekeliling. Seperti tidak tentu arah. Yalah, siapa yang tidak jadi begitu sekiranya ‘ditinggal’ dalam kesejukan menanti bagaikan orang yang tidak diundang. Kedua-duanya lengkap memakai jaket tebal. Keselamatan untuk menggelakkan diri kesejukan.

“Abang Khai! Abang Faid!” panggilku. “Jemputlah masuk.”

Dengan undangan mesra itu, mereka mengikutku ke dalam rumah.

“Dah ramai tetamu yang datang?” soal Abang Khaizuran menanggalkan jaket tebalnya.

“Biar Leen yang simpan,” sahutku melihatkan dia seperti tidak tahu hendak meletak di mana jaketnya itu. “Tetamu lelaki, abang dengan Abang Faid orang pertama sampai.”

Aku mengambil jaket yang dirintik dengan butir-butir salji itu. “Abang Faid nak pakai jaket tu masuk ke rumah ke?” soalku apabila Abang Faid tidak membuka jaket di tubuhnya.

Mata bertemu mata sejenak. Dia senyum. Terpaku aku dibuatnya. Terasa seolah bumi Hartford bertukar musim. Dilitupi musim bunga. Senyuman itu ku sambut jua bersama hati yang berubah rentak.

“Dibenarkan ke?” Abang Faid bersuara.

“Kalau ikut human law, tak boleh. Kalau ikut tuan rumah, lagi tak boleh… Nanti basah rumah kita orang…” jawabku menanti di tepi closet.

Dia menanggalkan jaket lalu disuakan kepadaku. “In that case, I have no choice…”

Masuk ke ruang tamu, aku mempelawa mereka duduk. Sempat juga ‘menawarkan’ agar rumah itu dibuat seperti rumah mereka sendiri. Setelah itu, aku tinggalkan mereka. Tetapi baru sahaja beberapa tapak aku melangkah, laungan salam kedengaran lagi. Kuat dan jelas. Tanpa perlu menggunakan pembesar suara.

Menapak lagi aku ke pintu utama rumah. Abang Hamzah, Khairi dan tiga orang lagi teman serumah mereka pula menanti untuk kali ini. Dan seperti selayaknya tetamu disambut, aku menjemput mereka menyertai tetamu yang lain. Aku perkenalkan Abang Khai dan Abang Faid pada mereka. Dan selepas itu aku kembali menyambung tugasku sementara menanti Kamilia ‘selesai’ dengan tugasnya. Seterusnya memaklumkan kehadiran abangnya.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 7

Leave a Reply