Antara Kata & Rasa - 5

Posted by Unknown on 20 June 2011. Filed under: ,


BAS CT Transit yang berbalut warna biru itu semakin lama semakin menambahkan kelajuan. Meninggalkan aku di tepi jalan sendirian. Terus sahaja langkahan kaki dihalakan ke rumah dalam derap langkah yang agak pantas. Aku mahu tiba di rumah terlebih dahulu sebelum abang Kamilia tiba.

Tak kesampaiankah harapanku yang tak sebesar mana itu?

Meluncur soalan itu di ruang fikiran tatkala dari kejauhan mataku sudah menangkap kelibat sebuah kereta yang tersadai di depan rumah. Sepertinya pernah kulihat kereta itu…

Kelihatan agak serupa dengan kereta yang berhenti bertanyakan arah di universiti tadi. Tapi, mungkinkah?

Ah, mungkin 'kembarnya' agaknya. Bukankah sebuah model kereta mempunyai beribu-ribu malah mungkin juga berjuta klonnya di seluruh dunia? Kalau kereta prototype mungkin lain ceritanya.

Aku melaungkan salam setelah memloloskan diri ke dalam rumah. Terpana seketika. Dua pasang kasut lelaki kelihatan tersusun kemas di atas rak kasut.  Benarlah, harapan kecilku hanya tinggal harapan. Abang Kamilia sudah tiba lebih awal dariku. Kasut lelaki mana lagi yang ada di situ melainkan abangnya? Dan mungkin yang sepasang lagi itu milik temannya.

Kamilia menjawab salamku nyaring. Suaranya datang dari arah ruang tamu. Aku menapak ke sana. Alangkah terkejutnya aku apabila memandang rupa tetamu yang duduk di sofa. Terhenti serta-merta langkahku. Betul-betul di tengah ruang yang memisahkan hallway dengan ruang tamu.

Kedua-dua lelaki itu yang baru mengangkat wajah pula memandangku tanpa berkelip. Sekali aku terkejut, ternyata dua kali ganda riak kejutan di wajah mereka. Lebih-lebih lagi lelaki yang 'diusik' Umi tadi.

"Leen, ini abang aku, Khaizuran. Yang sebelah tu, kawan sekursus dengan dia. Faid Azhan."

Ya Tuhan... Keciknya dunia. Jejaka yang bertanyakan arah tadi, kawan Abang Kammy rupanya. Dan semestinyalah mereka berdua waktu itu sedang mencari jalan ke rumah kami...

It's a small world, indeed!


Dalam kekakuan, aku cuba melempar senyuman. Entah cukup atau tidak 'gula'nya tidaklah aku tahu. Apa yang penting, 'salam' pertama tanda perkenalan sudah dihulur.

"Abang, kenalkan roommate Kammy, Ain Fadleen…"

Kamilia bangun dari tempat duduknya. Berjalan menghampiriku yang tidak 'pandai' mengatur langkah secara tiba-tiba.

"Kau layan abang aku sekejap, aku nak buat minuman. Dia orang baru sampai aje tu," ujar Kamilia seraya menepuk bahuku. Dan seterusnya dia menghilang ke dapur.

Dalam rasa kejutan yang belum surut, dalam rasa debar yang secara tiba-tiba galak ingin menghuni dada, aku mengambil tempat duduk di sofa single yang kosong ditinggalkan Kamilia. Kedudukan yang tidak menghadap kedua-dua lelaki itu secara langsung. Tidak secara terus-menerus. Dinding rumah yang tebalnya mungkin dalam 250mm yang menjadi santapan mata.

Seketika, ruang tamu dibalut rasa sunyi. Tiada siapa yang ingin berbicara.

"Dua orang temanmu tadi nggak pulang sekali?" Abang Kamilia memulakan bicara. Menghambat jauh kesunyian dari terus bermaharajalela.

Aku agak tersentak mendengar dia bertanya. Bukan kepada pertanyaan yang ditutur. Tetapi lebih kepada cara dia bertanya. Nadanya itu. Berbunyi seperti slanga Indonesia.

Cuba tidak menghiraukan perkara remeh seperti itu, aku membalas, "No, they don't live here." Gatal pula lidah nak berbahasa Inggeris. Itulah bahana menginap di negara orang putih. Cuba kalau tinggal di utara India, mungkin juga fasih aku membalas dalam bahasa Hindi.

"Apart from you, how many Indonesians live here too?" Kali ini temannya, Faid Azhan pula bertanya. Ingin turut serta dalam perbualan kami. Walaupun aku seakan dapat merasakan dia sebenarnya agak tidak selesa hendak berbual. Meskipun begitu, digagahinya juga. Dan sesungguhnya bukan hanya dia merasa, malah aku juga begitu. Mungkin disebabkan insiden di perhentian bas tadi. Insiden yang terjadi di luar sedar.

Indonesian? Selain dari aku? Something is definitely wrong…

"Saya seorang," dengan bahasa Melayu aku menjawab. Mungkin mereka…

Seakan tidak dapat menangkap cara aku menjawab, abang Kamilia bersuara lagi. Mengganggu andaian yang sedang aku fikirkan.

"Bisa kamu ya, tinggal seorang aja di sini. Kamu lebih senang dengan pelajar Malaysia, ya?" Tidak ditinggal slanga Indonesia dari nadanya.

Aku mengerutkan dahi. Bertambah hairan. Tiada senyuman di bibirku seperti yang wujud di wajah abang Kammy. Aku tidak tahu dari mana mereka mendapat tahu bahawa aku ini seorang warga Indonesia. Adakah Kamilia yang memaklumkan? Sebagai gurauan 'enak' untuk mengenakan abangnya?

Dan kalau benar, haruskan aku meneruskan gurauannya?

Dalam sedang aku berfikir, Kamilia kembali semula sambil menatang dulang.

"Roommate Kammy yang orang Malaysia tu dah pindah rumah ke?" Tanpa bertangguh, Abang Khaizuran bertanya.

Kamilia yang baru hendak duduk, tidak jadi berbuat begitu. Dia memandang muka abangnya. "Tak pun. Leen ni lah roommate Kammy. Kenapa? Abang dapat berita dari mana?"

Abang Khaizuran dan temannya saling berpandangan. Ada sesuatu yang saling mereka bicarakan lewat pandangan di antara mereka. Bicara tanpa kata. Sekadar pandangan yang menghantar maklumat dan isyarat.

"Leen ni orang Malaysia?" Lambat-lambat Abang Khaizuran menutur.

Kamilia memandang muka abangnya dengan wajah pelik. "Iyelah… habis abang ingat dia orang mana? Indonesia?" Bersahaja Kamilia berkata tanpa dia menyedari yang abangnya itu sememangnya memikirkan yang aku ini orang Indonesia. Kalau di agak-agak, aku rasa punca utama kenapa Abang Khaizuran berfikir begitu mungkin ada kaitannya dengan Umi dan July.

Manalah tahu, disebabkan aku bersama mereka tadi yang mengakibatkan terkeluar anggapan seperti itu di minda Abang Khaizuran dan kawannya.

Tiada sesiapa pun di antara mereka berdua yang menjawab mahupun mengangguk dengan kata-kata Kamilia tadi. Tetapi dari reaksi dan gerak-gaya mereka, aku tahu. Kedua-dua lelaki itu sedang dihambat rasa malu. Tersilap meneka tanpa mahu bertanya terlebih dahulu.

"Leen, Abang Khai minta maaf. Abang ingat Leen bukan orang Malaysia." Dalam rasa malu dan segan, Abang Khaizuran memohon.

Aku senyum nipis. "Tak apa. Abang tak perlu rasa bersalah. Small matter aje tu," sahutku cuba mengurangkan rasa bersalahnya.

Diterpa rasa hairan, Kamilia terus bertanya tentang kemaafan yang dipohon. Lalu Abang Khaizuran bercerita padanya. Apalagi terburai ketawanya tanpa sempat cerita dihabiskan. Aku yang melihat, sekadar tersenyum panjang. Mungkin tidak tahan melihat Kamilia ketawa seorang diri atau mungkin juga terasa lucu mengingatkan sikap mereka tadi, Abang Khaizuran dan kawannya itu turut sama tergelak kecil. Rasa malu dan bersalah lenyap di wajah mereka.

"Abang Faid tinggal di mana?" Soal Kamilia kemudian sesudah tawanya reda.

Oh, Kamilia memanggilnya Abang Faid. Makanya, mahu atau tidak, aku terpaksa juga memanggil lelaki itu begitu. Sewaktu hendak meredakan rasa bersalahnya tadi, aku langsung tidak memanggilnya apa-apa. Kerana aku berasa kekok. Aku tidak tahu panggilan bagaimana yang selayaknya aku gunakan untuk dia. Hendak menggunakan nama sahaja, terasakan tidak kena. Hendak dipanggil abang untuk menunjukkan rasa hormatku, terasa janggal pula.

Pada hematku, adalah lebik seandainya aku mengikut sahaja kata panggilan yang Kamilia gunakan. Lebih mudah. Selamat pun ya juga. Sekurang-kurangnya lelaki itu pun tidak terasa janggal.

Nada deringan telefon kedengaran. Memutuskan aku dari dunia sendiri. Mengheret aku kembali semula bersama mereka.

Abang Faid yang sedang berbual dengan Kamilia, segera menghentikan kata. Diseluk poket seluarnya. Lalu dikeluarkan telefon bimbit. Dilihatnya skrin seimbas lalu sebelum bangun dan meminta diri seketika.

"Assalamualaikum…," sapanya. "Dah sampai semalam… Kenapa.." Dan suaranya hilang di sebalik dinding.

Kami bertiga terus menyambung perbualan.

No Responses to Antara Kata & Rasa - 5

Leave a Reply